Kembalikan keagungan Maktab Enderun

Kembalikan keagungan Maktab Enderun

ISTANA Topkapi di Istanbul, Turki menempatkan Maktab Enderun semasa Empayar Uthmaniyyah. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUDAH tiba masanya kaum Muslimin khususnya di Malaysia memberikan perhatian dalam merangka agenda melahirkan barisan pemimpin peneraju terpuji untuk masa depan negara. Dilihat dari sudut sejarah dunia dan tamadun-tamadun besar, seorang pemimpin seharusnya terdiri dalam kalangan individu yang terulung dari segi mutu pemikiran dan budi pekertinya, berbeza dengan kecenderungan semasa yang menonjolkan pemimpin berdasarkan populariti atau pengaruh kewangannya.

Selain itu, seseorang pemimpin juga perlu memahami tanggungjawab moral dari sudut ketamadunan dan bukan semata-mata sudut faham pembangunan ekonomi yang sempit. Oleh yang demikian, untuk menjadi seorang pemimpin dari perspektif sedemikian adalah suatu amanah suci, yakni perlu memikul tanggungjawab untuk menangani cabaran-cabaran dihadapi oleh manusia dan perlu membela keadilan serta menentang kezaliman dengan mencontohi para Nabi (al-anbiya) yang merupakan model pemimpin terbaik dalam sejarah umat manusia.

Sehubungan itu, seseorang pemimpin mesti layak menerima amanah suci itu. Untuk layak menerima amanah tersebut menurut Syed Muhammad Naquib Al-Attas dalam bukunya, On Justice and the Nature of Man (2015) menyatakan bahawa seseorang mesti mempunyai pengetahuan mencukupi dan betul tentang Islam sebagai agama dan tamadun, mempunyai pengetahuan mencukupi tentang hakikat fitrah manusia serta tentang kualiti positif dan negatif yang wujud dalam dirinya melalui amalan muhasabah berterusan untuk mengelak kezaliman terhadap dirinya dan orang lain.

Justeru, prinsip hikmah paling penting untuk membolehkan kemunculan pemimpin hebat dalam masyarakat kita adalah dengan mengembalikan amanah kepada yang berhak dalam membimbing dan mendidik pemimpin masa depan kepada mereka yang paling layak menerima amanah tersebut.

Bagi kaum Muslimin, ini merupakan perintah Allah seperti yang dinyatakan dalam al-Quran: “Allah menitahkan kamu memulangkan amanah kepada yang berhak menerimanya.” (Surah al-Nisa, 4:58)

Selaras dengan perintah Ilahi ini, sejarah menunjukkan kepada kita bahawa pemimpin-pemimpin Muslim silam yang bertanggungjawab telah berusaha untuk memberikan peranan istimewa kepada guru dan ulama terbaik dalam masyarakat bagi memupuk dan melahirkan generasi pemimpin seterusnya atau sekurang-kurangnya untuk meluaskan kumpulan bakat (talent pool) yang cenderung kepada sifat-sifat terpuji, iaitu bertimbang rasa, berani, bijaksana dan adil.

Salah satu contoh unggul usaha sedemikian dalam sejarah tamadun Islam ialah Maktab Enderun Empayar Uthmaniyyah yang beroperasi selama 500 tahun di Istana Topkapi di Istanbul. Apabila maktab ini beroperasi, dilaporkan Sultan Empayar Uthmaniyyah sendiri meninjau kemajuan pendidikan sekumpulan individu terpilih yang bakal menerajui pemimpin dalam bidang ilmiah, pentadbiran dan ketenteraan.

KESATRIA UNGGUL

Menurut seorang saksi, Ogier Ghiselin de Busbecq, duta Austria di Empayar Uthmaniah pada abad ke-16: “Dalam membuat sebarang pelantikan, sultan tidak menghiraukan kekayaan atau status keluarga seseorang, dan juga tidak mengambil kira cadangan atau populariti. Dia melihat setiap individu mengikut meritnya sendiri dan meneliti setiap watak, keupayaan dan peribadi individu. Dengan merit atau sifat-sifat terpuji, seseorang dilantik atau dinaikkan pangkat. Ia adalah suatu sistem yang memastikan bahawa jawatan harus diberikan hanya kepada yang layak.”

Antara guru hebat di Maktab Enderun ialah lulusan maktab itu sendiri, iaitu Matrakci Nasuh (Masihi 1564). Ketokohan Matrakci Nasuh menarik perhatian Sultan Suleyman Kanuni (Masihi 1566) sendiri yang memuji beliau sebagai kesatria unggul, seorang rais (pemimpin) zamannya. Pendekatan yang berpandukan penerapan adab (ta’dib) di Maktab Enderun ini membolehkan Matrakci Nasuh sendiri menjadi seorang yang mahir dalam beberapa bidang. Beliau diiktiraf sebagai seorang guru, seniman, ahli sejarah, ahli matematik, ahli geografi, pelayar, pencipta, askar dan ahli pedang yang mahir.

Walaupun Maktab Enderun termasuk pengajaran dalam ilmu-ilmu agama, kemanusiaan, seni, matematik dan aktiviti fizikal, namun tumpuan utamanya adalah pada penerapan adab yang menjadi tunjang kepada segala ajaran, sikap dan amalan yang membimbing semua aspek kehidupan para pendidik dan pelajar. Lazimnya pada akhir pendidikan Maktab Enderun, para graduan akan dapat berbicara, membaca dan menulis sekurang-kurangnya tiga bahasa iaitu Turki, Arab dan Parsi.

Mereka juga berupaya untuk memahami perkara-perkara ilmiah, mempunyai kemahiran seni dan cemerlang dalam seni ketenteraan serta mempunyai kemahiran pertempuran jarak dekat. Yang terbaik antara mereka ialah pejuang-negarawan dan orang Islam yang setia, orang yang beradab dengan tutur kata dan fasih serta berakhlak tinggi.

Malaysia adalah antara tempat terbaik untuk mewujudkan usaha seperti Maktab Enderun ini dengan adanya Majlis Raja-Raja Melayu, para pendidik dan pemikir yang bijaksana serta golongan profesional pelbagai bidang yang berupaya untuk membina dan mengurusnya. Matlamat utama bagi inisiatif sedemikian jika dapat ditubuhkan di Malaysia atau di mana-mana negara Muslim adalah untuk menundukkan golongan pelampau dan zalim dalam pelbagai bidang secara bijaksana serta mengembalikan keadilan dalam masyarakat.

Bagi masyarakat berbilang budaya seperti Malaysia, penanaman adab yang betul seperti ditunjukkan oleh pengalaman Maktab Enderun dan contoh-contoh lain dalam sejarah Islam semestinya akan membawa kepada individu yang mempunyai pandangan lebih kosmopolitan, iaitu seseorang itu sensitif terhadap kepelbagaian budaya, terbuka mempelajari tentang pelbagai tamadun dan berusaha untuk berlaku adil terhadap semua orang tanpa mengira budaya dan kepercayaan.

Dalam semangat ini, sekumpulan ahli akademik dan penyelidik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menjalankan kajian tentang aspek-aspek kepimpinan terpuji dalam Islam dengan penekanan terhadap pandangan hidup yang perlu difahami, unsur-unsur penting dalam kepimpinan, hakikat integriti dan pertimbangan strategik yang diperlukan untuk melahirkan pemimpin Muslim terpuji. Projek penyelidikan sebegini yang menjurus kepada sesuatu kursus diharap menjadi pemangkin kepada program kepimpinan lebih menyeluruh seperti digambarkan oleh para bijaksana terdahulu dalam tamadun Islam. – UTUSAN

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Kanan di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×