APABILA diusulkan untuk menjenamakan semula bahasa kebangsaan pada Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu baru-baru ini, ramai yang tersasar dalam penerimaan dan tanggapan mereka. Liputan dan tafsiran oleh surat khabar bahasa Melayu pun kurang tepat.
Penjenamaan semula bukanlah asing atau luar biasa. Dalam sektor pengiklanan, pemasaran dan promosi, proses menonjolkan sesuatu jenama produk atau perkhidmatan sentiasa dilakukan. Kali ini maksudnya bukan menjenamakan semula produk atau perkhidmatan yang bersifat perdagangan, tetapi sesuatu idea dan nilai merujuk kepada bahasa Melayu atau bahasa kebangsaan tidak pernah dimulakan secara sedar dan terancang oleh mana-mana agensi awam selama ini.
Penjenamaan semula melibatkan perancangan strategik dalam melakarkan suatu naratif bertujuan membina imej yang dapat diterima oleh sasaran. Dan sasarannya ialah semua warganegara. Ini suatu kempen. Sasarannya bukanlah bahasa Melayu itu sendiri. Tidak ada masalah dengan bahasa Melayu.
Tetapi wujud masalah dalam kalangan warganegara dari segi penerimaan dan penggunaan bahasa itu – prasangka dan kebencian. Hal ini bermula dari 1957. Sebahagian daripada tonggak pembinaan sesebuah negara bangsa itu ialah bahasa kebangsaan.
Selama 2,000 tahun sebelum ini tidak ada masalah dalam kalangan masyarakat dan politik Melayu, pedagangan dan petualang di seluruh gugusan Kepulauan Melayu. Bahasa Melayu sebagai sebahagian daripada rumpun bahasa Austronesia, menjalar luas, digunakan di semua peringkat kehidupan. Ia bahasa global. Jangan kita katakan bahasa Melayu itu lingua franca yang digunakan untuk perdagangan sahaja.
Bahasa Melayu adalah bahasa lama. Ramai menafikan ini termasuk para sarjana. Kita mesti faham, bunyi, sebutan, kosa kata dan intonasi bahasa Melayu yang dipertuturkan sepanjang zaman mengalami perubahan. Ia tidak sama dan statik. Bahasa Melayu kini berbeza dengan bahasa Melayu 100 tahun dahulu. Janganlah kita membuat kesimpulan bahawa jika terdapat tulisan dalam aksara Pallava atau Kawi yang kita jumpa di Semenanjung Tanah Melayu itu bukan dalam bahasa Melayu.
Namun pasca 1957, bahasa Melayu menghadapi kegawatan. Ia tidak diterima oleh sebahagian masyarakat bukan Melayu yang sejurus sebelum tahun itu diberi status kewarganegaraan. Setelah 65 tahun, keadaan ini menjadi keruh. Ada yang tidak tahu bertutur atau membaca ungkapan mudah dalam bahasa Melayu tetapi memegang kad pengenalan Malaysia. Bukannya mereka dipaksa mentelaah Sulalatus Salatin atau Hikayat Hang Tuah!
Tidak kurang juga segelintir masyarakat Melayu yang tidak bangga dan tidak setia kepada bahasa Melayu. Mereka termasuk kelompok minoriti bukan Melayu yang signifikan menjadi sasaran kepada inisiatif menjenamakan semula bahasa Melayu.
TEGAS, MANTAP
Selama tiga hari, sudah tentu kita dapati pelbagai saranan sepanjang simposium itu diadakan. Daripada hampir 80 kertas kerja, hanya satu menyarankan peranan dan kewartawanan serta memperkukuhkan media Melayu. Ini sebahagian daripada penjenamaan strategik ke arah itu.
Selama 65 tahun, bahasa Melayu wujud dalam kancah sosial dan politik. Kewujudan dan asal usulnya mesti diceritakan semula dengan tegas dan mantap. Menjenamakan semula bahasa Melayu juga memerlukan penjenamaan semula etnisiti dan identiti Melayu, juga sejarah orang Melayu termasuk di Kepulauan Melayu.
Secara khususnya, penjenamaan semula ialah satu inisiatif khusus. Dalam hal ini yang dinaungi oleh sebuah negara, kerajaan, institusi awam untuk mengubah secara keseluruhan atau memperbaharui semula jenama, yakni bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Ia mempertimbangkan beberapa faktor dalaman dan luaran; penggunaan, pengeluaran dan penyebarannya; warganegara dan masyarakat yang menggunakannya; institusi persekolahan dan pendidikan, organisasi dan profesion serta persekitaran dan alam bina yang boleh dibentuk semula untuk tujuan tersebut.
Salah satunya, soal imej yang telah diselewengkan, dirampas oleh pihak antinasional dan antiperpaduan. Penggunaan seluruh kelengkapan dan pelantar maklumat dan budaya amat kritikal dalam hal ini. Mengarusperdanakan bahasa Melayu untuk semua warganegara merupakan matlamat utama.
Di mana fungsi, peranan dan sumbangan kewartawanan dan media Melayu dalam hal ini – surat khabar, radio, televisyen, media dalam talian, syarikat pengiklanan, pemasaran dan komunikasi? Dan apakah perancangan dan operasinya strategik?
Apakah media Melayu dapat bersaing, kompetitif dari segi kandungan dan strategi? Bagaimana pula dengan hujah, pendapat, komentar kewartawanan Melayu? Di mana kekuatan suara dan ekpresi kewartawanan Melayu? Bukankah ini semua sebagai strategi pembinaan negara?
Suara Melayu di Malaysia diremehkan. Surat khabar Melayu dipandang serong oleh cerdik pandai dan cendekiawan Melayu. Rakan sejawat ahli akademik, profesor dan sarjana Melayu pernah menyatakan, mereka tidak lagi percaya dan membaca surat khabar Melayu. Mereka menyifatkan kewartawanan Melayu sebagai tidak penting.
Mereka melihat kegiatan media, surat khabar dan kewartawanan Melayu sebagai picisan. Mereka mendakwa liputan dalam media itu dangkal dan terpesong. Wajarkah media Melayu juga dijenamakan semula?
Kita akui media, surat khabar dan kewartawanan Melayu perlu melonjakkan nilai kandungan dan imejnya. Tidak lupa kemantapan bahasa dan kekuatan hujah lidah pengarangnya. Dalam menjenamakan semula bahasa Melayu, media Melayu juga wajar dijenamakan semula ke arah kedudukan yang strategik setanding media serantau dan global. – UTUSAN
PROFESOR Datuk Dr. Ahmad Murad Merican ialah profesor sejarah sosial dan intelektual di Institut Antarabangsa Pemikiran & Tamadun Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (ISTAC-UIAM).











