KONVENSYEN dan sambutan ulang tahun ke-48 Barisan Nasional (BN) sehari suntuk, kelmarin ternyata mendapat liputan meluas media massa. Empat ucaptama yang mendapat perhatian ialah ucapan pembukaan oleh Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan; ucapan Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Tun Razak; ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan ucapan dasar Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Terdahulu, Najib menggegar suasana dengan mahukan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak dilewatkan berdasarkan pengalaman beliau melewatkan PRU14 hingga menyebabkan kekalahan sedangkan BN akan menang besar jika PRU dilangsungkan selepas berakhirnya Sukan SEA. Hujah utama Najib ialah hari ini pembangkang dalam keadaan cacamarba. Inflasi pula tidak boleh dijadikan alasan untuk melewatkan PRU15 kerana dikatakan tidak akan mampu diselesaikan dalam tempoh dua, tiga bulan kerana ia mempunyai kitaran dua, tiga tahun.
Untuk itu, Najib menyeru top five UMNO agar membuat keputusan segera mengenai tarikh PRU15 berserta ingatan supaya mereka membuat keputusan yang tepat dan bijaksana, tidak memikirkan pasal hal diri tapi fikirlah pasal masa depan parti dan negara. Seruan ini disambut oleh Ismail Sabri yang menyebut betapa demi memastikan mimpi buruk 22 bulan tidak berulang, kita wajib bekerja keras, bersiap siaga dan bersatu padu dalam menghadapi PRU15 yang akan tiba bila-bila masa dari sekarang. Ini ditambah dengan penegasan bahawa beliau tidak akan melewatkan sesaat pun untuk bubar Parlimen.
Kenyataan ini disambut gembira oleh Ahmad Zahid yang terus meminta semua perwakilan yang mahu PRU15 dibuat dalam waktu terdekat pada tahun ini supaya bangun. Tindakan mereka bangun digunakan oleh Ahmad Zahid sebagai bukti bahawa BN sudah sedia untuk menghadapi PRU15.
Lantas Ahmad Zahid menggesa Ismail Sabri melaksanakan PRU15 secepat mungkin dengan ingatan supaya Ismail Sabri ‘pandai-pandailah cari dana pilihan raya.’ Serentak itu, Ahmad Zahid mengarahkan Jawatankuasa Pilihan Raya BN di setiap peringkat diaktifkan segera.
Laporan berita yang dikeluarkan pula memberi gambaran seolah-olah PRU15 akan terus dibuat sebaik sahaja memorandum persefahaman (MoU) antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) berakhir pada 31 Julai ini. Walhal Ahmad Zahid sendiri menyebut mengenai betapa Ismail Sabri akan membuat beberapa pengumuman dalam Bajet 2023. Melihat kepada tarikh pembentangan Bajet 2022 pada 29 Oktober 2021, maka pastilah PRU15 hanya akan dibuat selepas November ini.
Soalnya sekarang, benarkah BN seperti yang disebutkan oleh Ahmad Zahid sudah sedia untuk menghadapi PRU15? Bolehkah tindakan para perwakilan bangun digunakan sebagai bukti bahawa mereka mahu PRU15 dibuat secepat mungkin?
Sebahagian perwakilan menyahut seruan supaya yang mahu PRU15 dibuat dalam waktu terdekat pada tahun ini bangun adalah suatu taktik ketinggalan zaman. Dalam majlis begini, mereka pasti akan bangun sebagai mematuhi adab Melayu walaupun tidak setuju. Mereka sebaliknya lebih yakin dengan ucapan Mohamad yang menyebut BN tidak boleh leka dibuai nostalgia bahawa mereka akan memerintah semula hanya kerana sekarang menjadi sebahagian daripada kerajaan.
MENGECIL
Tegas beliau, apa yang berlaku, dalam semua kemenangan pilihan raya kecil dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Melaka dan Johor, bukan jaminan BN akan pasti menang dan menguasai kerajaan dengan mudah. Ini kerana pasca 2018, BN telah menjadi sangat mengecil bukan sahaja dari segi jumlah ahli Parlimen tetapi juga jumlah parti komponen, negeri yang ia kuasai malah sokongan popular masyarakat awam. Ini, ujar beliau, adalah realiti yang kesemuanya boleh disandarkan secara jelas kepada fakta dan data.
Tegas beliau lagi, pengalaman memerintah sudah tidak menjadi kelebihan yang mutlak dan BN harus diperkenalkan semula kepada masyarakat dengan tawaran-tawaran dan penampilan baharu.
Tambah beliau, BN mesti menggembleng segenap kudrat untuk menyingkirkan persepsi kuasa, korupsi dan kebejatan moral sebagai sesuatu yang sinonim dengan BN dan demi menghadapi PRU akan datang, BN mesti tampil dengan imejnya yang revolusional.
Semua perkara yang disebutkan oleh Mohamad ini pastilah memerlukan masa untuk dilaksanakan dan menunjukkan bahawa BN belum bersedia untuk menghadapi PRU15.
Datuk Seri Azalina Othman Said, Penasihat Khas kepada Perdana Menteri (Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia), malah lebih lantang sewaktu menjadi panelis sesi wacana bertajuk Masa Depan BN.
Jelas Azalina, kalau BN masuk PRU15 dengan ‘apa yang ada’, BN tidak akan memperolehi 148 kerusi, iaitu majoriti dua pertiga malah mungkin akan memperoleh maksimum 90 ke 100 kerusi sahaja yang tidak akan membolehkan BN membentuk kerajaan secara bersendirian. Kerajaan campuran yang akan dibentuk oleh BN, itupun dengan andaian semua parti lawan tidak mampu bergabung sesama mereka untuk membentuk kerajaan lain yang tidak disertai oleh BN, pastilah bukan sebuah kerajaan yang stabil.
Sebab itulah ramai perwakilan Konvensyen BN yang bersetuju dengan Azalina bahawa BN perlu membereskan semua agenda reformasi dahulu sebelum memasuki PRU15. Beberapa undang-undang yang Azalina tegaskan sebagai perlu dipinda atau diperkenalkan bagi memastikan BN boleh menang selesa dalam PRU15 juga memerlukan masa untuk dilaksanakan.
Fakta, data dan dana adalah senjata utama untuk memenangi PRU15, bukan sentimen dan emosi. Ramai perwakilan mengakui BN masih ketinggalan dari sudut fakta dan data apatah lagi dana.
Apatah lagi bila Ismail Sabri sendiri menyebut dalam ucapan beliau walaupun pada penilaian BN rakyat sudah kembali kepada BN, BN tidak boleh berasa selesa kerana masih banyak yang perlu dilakukan untuk memenangi hati rakyat bagi menjamin kejayaan dalam PRU15.
Oleh itu, ingatlah pepatah Melayu, dengar cakap enggang, makan buah beluluk, dengar cakap orang, terjun masuk lubuk. Semoga pengalaman Najib yang ‘dengar cakap orang’ hingga menyebabkan beliau dan BN ‘masuk lubuk’ dalam PRU14 tidak menimpa Ismail Sabri dan BN. – UTUSAN
DATUK Dr. Wan Hashim Wan Teh ialah Profesor Emeritus di Fakulti Pengajian & Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).










