Jangan jadi seperti disorong bantal - Utusan Malaysia

Jangan jadi seperti disorong bantal

Tumpuan para jemaah akan lebih terganggu apabila teks khutbah yang disediakan ibarat membaca buku tanpa penghayatan. – MINGGUAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Setiap Jumaat kaum Adam akan menantikan solat Jumaat yang difardukan. Biar pun sudah banyak kelonggaran dilaksanakan namun para jemaah masih dilihat mematuhi pemakaian pelitup muka dan ramai juga yang membawa sejadah sendiri.
Masyarakat di Malaysia umumnya masih menjadikan disiplin ini sebagai sebahagian daripada kehidupan mereka. Apatah lagi pada hari Jumaat dapat diperhatikan jemaah mendengar dengan khusyuk setiap butir bicara khatib yang menyampaikan khutbah tanpa ada yang bercakap-cakap.
Namun adakalanya penyampaian khutbah sedikit terganggu dengan cara bacaan segelintir khatib yang tidak lancar membaca ayat-ayat al-Quran atau petikan hadis. Tumpuan para jemaah akan lebih terganggu apabila teks khutbah yang disediakan ibarat membaca buku tanpa penghayatan.
Hal ini kerana Rasulullah pernah berpesan dalam hadis diriwayatkan oleh Imam Muslim yang bermaksud: “Berbicaralah kepada manusia menurut kadar kemampuan akal mereka masing-masing”.
Peringatan Rasulullah ini boleh dijadikan panduan oleh para khatib dan penulis khutbah yang biasanya disediakan oleh negeri-negeri atau ditulis sendiri oleh khatib.
Walaupun teks khutbah itu ditulis oleh individu berautoriti atau pegawai yang dilantik namun tidak bermakna teks tersebut benar-benar memberi kesan kepada jemaah. Hal ini kerana teks khutbah memerlukan sentuhan kreatif dalam menyusun ayat dan kata-kata sehingga boleh menimbulkan minat lebih-lebih lagi kepada jemaah untuk mendengar.
Antara perkara yang perlu diberi perhatian oleh pengarang teks khutbah adalah seperti berikut:
Dalam al-Quran banyak ayat yang menyeru dan mengajak manusia untuk melaksanakan tuntutan Allah. Sesuai dengan situasi di Malaysia, kata-kata seperti – “Ayuhlah saudaraku se-Islam”, “bangkitlah wahai Bani Adam”, “kembalilah kita mendukung tuntutan..” lebih segar didengar berbanding dengan ayat biasa seperti “Wahai umat Islam, kita hendaklah..” atau “Kita disarankan untuk..”
Kata-kata ini mungkin menyegarkan minda jemaah yang rata-ratanya agak keletihan dan mengantuk pada waktu tengah hari apatah lagi dalam masjid berhawa dingin.
Adalah elok sekali-sekala penggunaan ayat yang menyentuh perasaan jemaah sebagaimana Allah turut menyeru kita dengan cara demikian supaya manusia benar-benar terpanggil dengan seruan begitu.
Contohnya, firman Allah dalam surah al-A’raf ayat 184 yang bermaksud: “Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi al-Quran? Kalaulah al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya”.
Bagi penyediaan teks khutbah boleh diaplikasikan kepada ayat begini sebagai contoh – “Tidakkah kita semua berasa malu dengan Allah lantaran membiarkan keluarga tanpa pendidikan sedangkan Allahlah Yang menghantar kita ke dunia ini sebagai pemegang amanah?” atau “Patutkah kita membuang sampah sarap sesuka hati dan bagaimana pula perasaan kita apabila orang meletakkan sampah di pintu rumah kita?”
Penulis teks khutbah boleh menggunakan kreativiti masing-masing agar ayat-ayat yang menyentuh perasaan terkesan dalam hati jemaah.
Sebagaimana peringatan-peringatan dalam al-Quran, penulisan teks khutbah tidak dapat lari daripada memetik ayat-ayat tersebut untuk dibaca oleh khatib. Namun penggunaan ayat ancaman dan peringatan wajar dibaca dengan intonasi agak tinggi atau keras ditambah dengan pengolahan ayat menarik.
Contohnya, firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 275: “… dan sesiapa yang mengulangi lagi perbuatan mengambil riba itu maka mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya. Sidang Jumaat sekelian, adakah kita masih berani menghalalkan riba’ dalam masyarakat dan langsung tidak takut Allah membakar wajah, merobek tubuh badan dengan api neraka? Atau “Allah bukan sekadar mengancam sebagai ahli neraka bahkan kita perlu ingat bahawa api neraka itu tidak akan padam selama-lamanya jika telah menyambar tubuh si pemakan riba”.
Sebaiknya penggunaan ayat ancaman begini disertakan dengan dalil dari al-Quran atau hadis yang menyatakan hukuman bagi mereka yang melanggar perintah Allah.
Dalam penggunaan teks khutbah disarankan ayat pertanyaan ini diselang-seli dengan ayat lain kerana ia akan mengupas perbahasan. Dalam erti kata lain, ayat pertanyaan ini perlu disertakan jawapan agar jemaah tidak terlalu berat memikirkan solusi sebaiknya sebagaimana dikehendaki syariat Islam.
Sebagai contoh dalam surah Ghafir ayat 15 hingga 17 Allah memberi pertanyaan dan Allah juga memberi jawapan. Oleh itu dalam penyediaan teks khutbah konsep ini boleh dijadikan contoh seperti – “Tidakkah kita semua pernah terfikir bagaimana sikap boros berbelanja itu boleh meruntuhkan maruah seseorang?
Mengapa tidak, sekiranya habis wang ringgit dikeluarkan maka segala berkaitan dengan kewangan bulanan akan terjejas seperti tunggakan rumah, kereta, bil api dan air termasuklah nafkah kepada keluarga” atau “Bagaimana yang dikatakan seorang Muslim itu benar-benar mengimani Allah dan Rasul-Nya sekiranya hal ehwal jirannya pun tidak dipedulikan? Inilah yang paling dibimbangi berlaku dalam kalangan umat Islam. Oleh itu cubalah bertegur sapa dan bertanya khabar mereka yang tinggal bersebelah dengan rumah kita”.
Penggunaan ayat sebegini sedikit sebanyak menjentik emosi jemaah.
Demikianlah Islam menyampaikan seruan kepada seluruh manusia dalam keadaan yang boleh diterima oleh semua lapisan masyarakat. Para khatib juga perlu membaca teks sekurang-kurangnya tiga kali ulangan sebelum berkhutbah untuk membiasakan sebutan perkataan apatah lagi yang melibatkan ayat-ayat al-Quran.
Penyediaan teks juga digalakkan mempamerkan teks bermutu walaupun sekadar 10 minit sehingga dapat menyedarkan jemaah tentang keindahan bahasa dan penyampaian khutbah mampu memberi ilmu dan kesan mendalam setiap kali mendengar khutbah Jumaat.
Dengan saranan dan panduan ini sedikit sebanyak harapan penyediaan teks khutbah bukan lagi sekadar seperti melepaskan batok di tangga dan jemaah pula tidak mengantuk seolah-olah orang yang disorongkan bantal apabila mendengar khutbah.

PENULIS ialah Pensyarah Kolej GENIUS Insan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN