Halal? Bukan masalah di bumi Scotland

Halal? Bukan masalah di bumi Scotland

PENULIS dan isteri, Wan Faizatul Azirah Ismayatim tidak berdepan masalah untuk menikmati makanan tradisional Scotland yang dihidangkan di restoran dan kafe di sana.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HAGGIS, Shepherd’s Pie, Beef Wellington, Diada Cake dan Apple Flory. Inilah antara hidangan enak yang menjadi kegemaran masyarakat Scotland di sini.

Pelbagai restoran dan kafe menyediakannya pada harga berpatutan dengan rasa autentik Barat sangat menyelerakan. Aroma pastri yang harum setiap kali melintasi kafe-kafe di sini seakan memanggil-mangil kami untuk mencuba dan menikmatinya bersama secangkir kopi tradisional Scotland yang harum sambil melayan kedinginan cuaca.

Di pasar raya, makanan-makanan ini turut dijual dalam bentuk sejuk beku dan sangat mudah disediakan di rumah. Betapa ringkasnya untuk menikmati makanan mereka.

Kesedaran umat Islam di Malaysia mengenai halal bukan baharu. Isu halal menjadi agenda penting kerajaan sehingga kita mempunyai satu badan khas yang mampu menilai penghasilan sesuatu produk dari mula proses penyediaan sehinggalah diberikan status halal dan dipasarkan di pasaran tempatan. Sijil pengesahan dan cop halal adalah sangat berharga untuk mengelak syak wasangka masyarakat sama ada makanan tersebut suci untuk dimakan di sisi Islam.

Bagaimanapun, berada jauh di negara yang mana penduduk Muslimnya minoriti, pilihan produk makanan berlabel halal adalah sangat terhad. Pilihan yang ada hanyalah berpandukan semakan kepada kandungannya. Namun begitu, pengetahuan mengenai istilah-istilah saintifik dan kod tertentu pada label produk makanan adalah sangat terhad difahami serta memerlukan masa lama untuk diteliti.

Justeru, kewujudan produk makanan berlabelkan vegan dan vegetarian merupakan alternatif dalam pemilihan makanan yang sangat bersesuaian dengan situasi di sini. Di Scotland, penggunaan label vegan dan vegetarian digunakan secara meluas dalam pemasaran produk makanan. Ini kerana ada dalam kalangan komunitinya menjadikan vegan dan vegetarian sebagai amalan pemakanan yang sangat berkait rapat dengan prinsip-prinsip kesihatan dan kerohanian yang dipegang.

SUSU, KEJU

Individu yang mengamalkan diet vegan tidak memakan apa-apa makanan berasaskan haiwan termasuk produk tenusu haiwan tersebut. Diet vegetarian pula adalah individu yang tidak memakan daging daripada mana-mana haiwan tetapi masih lagi boleh menikmati makanan berasaskan tenusu seperti susu dan keju.

Dengan perkembangan pesat teknologi pemprosesan makanan di bumi Eropah, makanan berasaskan tumbuh-tumbuhan diinovasikan sehingga terhasil produk mesra vegan dan vegetarian mempunyai rasa dan tekstur seakan-akan sama dengan produk daging asli. Antaranya vegetarian meatball, meat-free vegan sausage, vegan burger dan vegan nugget.

Oleh itu, bukan masalah kepada komuniti Muslim di sini untuk menikmati pelbagai makanan tradisional Scotland termasuklah pilihan ‘daging’ berasaskan tumbuh-tumbuhan. Sekiranya ingin menikmati hidangan makanan di mana-mana restoran, kafe atau kedai kek, tidak perlu lagi risau statusnya kerana boleh dilihat sendiri label vegan atau vegetarian di menu.

Pelayan restoran di sini juga kebanyakannya sangat mesra pelanggan dan sentiasa sedia membantu memberi penjelasan lanjut mengenai kandungan makanan yang disediakan.

Kami membayangkan, alangkah bagus jika makanan Malaysia dapat dikembangkan dan menembusi pasaran antarabangsa dengan lebih luas melalui label vegan dan vegetarian seterusnya memberi impak yang lebih besar terhadap ekonomi negara. – UTUSAN

PENULIS ialah Pegawai Hal Ehwal Islam lantikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Edinburgh, Scotland.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN