Demokrasi kita tahap amat sihat

Demokrasi kita tahap amat sihat

SELEPAS Ismail Sabri Yaakob mengambil-alih tampuk pemerintahan negara pada 21 Ogos 2021, Indeks Demokrasi 2021 menempatkan Malaysia di tempat ke-39 daripada 167 negara dan wilayah di seluruh dunia. – IHSAN ISTANA NEGARA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEORANG ahli Parlimen pembangkang dari DAP menyelar kerajaan dengan mendakwa Putrajaya kurang minat dan tidak memberi keutamaan kepada isu hak asasi manusia. Alasan yang beliau berikan, kerajaan lewat melantik pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) setelah ia mengalami kekosongan, baru-baru ini.

Beliau juga menyelar Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan mengatakan demokrasi dan hak asasi manusia jelas tidak wujud dalam konsep Keluarga Malaysia. Beliau malah mendakwa sepanjang enam bulan selepas Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri tidak pernah berkata apa-apa tentang hak asasi manusia dan demokrasi.

Dari segi kelewatan lantikan pesuruhjaya Suhakam, perlu disedari bahawa ia perlu dibuat mengikut prosedur tertentu seperti yang diperuntukkan dalam Akta Suhakam 1999. Di bawah Seksyen 5 (2), ada dinyatakan bahawa lantikan pesuruhjaya Suhakam hendaklah dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas syor Perdana Menteri. Begitu pun, sebelum memberikan nasihat, Perdana Menteri dikehendaki berunding dengan jawatankuasa lantikan mengikut Seksyen 11A.

Amat tidak wajar untuk menggunakan keperluan mematuhi prosedur lantikan ditetapkan untuk mendakwa kerajaan kurang minat dan tidak memberi keutamaan kepada isu hak asasi manusia.

Adalah satu fakta bahawa demokrasi di Malaysia sedang berada pada tahap yang amat sihat sejak Ismail Sabri mengambil-alih tampuk pemerintahan negara pada 21 Ogos 2021. Ini terbukti bila Indeks Demokrasi 2021 yang dikeluarkan oleh Economist Intelligence Unit (EIU) menempatkan Malaysia di tempat ke-39 daripada 167 negara di seluruh dunia. Malaysia dengan 7.24 mata, berada pada tempat tertinggi dalam kalangan seluruh anggota ASEAN mengatasi negara-negara jiran seperti Indonesia (6.71 mata), Filipina (6.62), Singapura (6.23) dan Thailand (6.04).

Sejak menjadi Perdana Menteri, Ismail Sabri telah melakukan banyak perkara bagi memperbaiki kedudukan demokrasi di negara ini. Pada 10 September 2021, beliau menyatakan semangat kerajaan untuk terus menjunjung Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi yang menjadi teras kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

TERPINGGIR

Serentak itu, beliau menyatakan kerajaan komited untuk memperkenalkan lebih banyak transformasi dari semasa ke semasa dengan Tawaran Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan meliputi:

1. Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti.

2. Pelaksanaan Undi18.

3. Mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.

4. Keseimbangan keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen melibatkan ahli-ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

5. Setiap RUU termasuk RUU Perbekalan yang dibentangkan di Parlimen akan dirunding dan dipersetujui secara bersama.

6. Pembangkang akan dilibatkan dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) untuk memberikan pandangan dan cadangan penambahbaikan.

7. Ketua Pembangkang akan diberikan saraan dan kemudahan setara dengan seorang menteri.

Hasil daripada tawaran inilah maka Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) terzahir pada 13 September 2021.

Komitmen kerajaan untuk menghormati kebebasan institusi kehakiman serta memperkasakan kedudukan Parlimen termasuk mewujudkan semula kebebasan kewangan dan pentadbiran yang terkandung di dalam MoU itu sudah semestinya akan menyuburkan lagi amalan demokrasi negara.

WARTAWAN

Lebih mutakhir, dalam ucapan sempena Hari Wartawan Nasional 2022 pada 29 Mei lalu, Ismail Sabri menekankan betapa kerajaan menjamin kebebasan bersuara serta tidak pernah menghalang media daripada menyiarkan sebarang laporan berita.

Dalam Perutusan Sempena Tahun Baharu 2022 pula, Ismail Sabri menyatakan kerajaan akan mengadakan transformasi sistem kehakiman bagi memperkukuhkan demokrasi dan insya Allah, ini akan dilaksanakan tidak lama lagi.

Dalam konteks hak asasi manusia, tidak berlaku apa-apa pelanggaran yang nyata sepanjang pentadbiran Ismail Sabri, malah sebaliknya beliau memperjuangkan golongan terpinggir baik di dalam mahupun di luar negara.

Dalam pelbagai majlis, Ismail Sabri sering menekankan mengenai pelbagai polisi, inisiatif dan insentif yang telah dan akan diperkenalkan oleh kerajaan demi memastikan tidak ada Keluarga Malaysia yang ketinggalan dalam merasai nikmat dan kemakmuran negara, no one will be left behind.

Dalam konteks hak Sabah dan Sarawak, kerajaan melalui Majlis Khas Perjanjian Malaysia (MA63) sentiasa memberi perhatian terhadap isu berkaitan kepentingan Sabah dan Sarawak. Malah RUU Perlembagaan (Pindaan) 2021 berkaitan MA63 sudah diluluskan pada 14 Disember 2021.

Dalam konteks hak kaum minoriti, Ismail Sabri menekankan dalam ucapan sulung sebagai Perdana Menteri pada 22 Ogos 2021 bahawa beliau akan memastikan tiada mana-mana rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan kaum yang tercicir atau terpinggir. Ini beliau tegaskan lagi dalam Perhimpunan Agung MIC Ke-75 pada 12 Disember 2021 dan dalam Perhimpunan Agung MCA Ke-68 pada 19 Disember 2021.

Begitulah juga dengan Orang Asli, orang kurang upaya (OKU), warga emas, wanita, kanak-kanak serta golongan B40 dan M40 yang terkesan akibat pandemik dan bencana alam.

Begitupun, seperti yang ditekankan oleh Ismail Sabri sewaktu menjawab soalan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen pada 1 Mac lalu, hak asasi di negara kita mungkin berbeza daripada nilai yang digunapakai oleh badan antarabangsa. Jika hak asasi itu adalah membawa makna seruan untuk menghapuskan semua peraturan dan undang-undang yang menjadikan homoseksualiti sebagai satu jenayah seperti yang pernah disuarakan oleh ahli Parlimen DAP, maka benarlah Ismail Sabri tidak pernah bercakap mengenainya. – UTUSAN

DR Kamarul Zaman Yusoff ialah Pegawai Khas Perdana Menteri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×