Bentang segera strategi tangani krisis makanan

Bentang segera strategi tangani krisis makanan

PARA graduan perlu didedahkan tentang peluang sebenar yang mereka boleh peroleh melalui penyertaan dalam sektor pertanian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KRISIS bekalan makanan negara kini dilihat memberi kesan yang besar kepada masyarakat. Peningkatan kos barangan keperluan harian turut memberi impak kepada kenaikan kadar inflasi negara iaitu 2.2 peratus.

Walaupun masih pada kadar munasabah, situasi ini boleh terus membarah sekiranya tiada sebarang penyelesaian konkrit diambil oleh kerajaan. Jika masalah sedia ada kekal berlarutan sehingga hujung tahun ini, kadar inflasi boleh mencecah tiga peratus.

Dengan isu peningkatan kos bahan api dunia, sudah pasti memberi tekanan kepada rantaian bekalan makanan negara.

Kebergantungan tinggi kepada import makanan menyebabkan harga barang tidak dapat dikawal. Ditambah nilai ringgit tidak menentu menyebabkan ketidakstabilan harga sering berlaku dan tidak boleh dikawal dengan baik.

Peningkatan kos ini bukan sahaja berlaku kepada bekalan makanan, bahkan memberi kesan besar dalam rantaian seperti bekalan baja dan dedak ternakan.

Sebagai contoh, kos baja meningkat dari RM120 kepada RM250 seguni menyebabkan kenaikan harga sayur-sayuran di pasaran antara RM1 hingga RM3 sekilogram.

Langkah agresif daripada kerajaan perlu dibentangkan segera agar rakyat tidak gelisah untuk menghadapi krisis ini. Antara langkah awal boleh diambil adalah mengambil alih tanah-tanah terbiar untuk dijadikan kawasan pertanian jangka pendek.

Langkah bersifat komuniti ini mampu mengurangkan kesan peningkatan harga bekalan makanan dalam komuniti kecil terutama golongan berpendapatan rendah (B40) dan kawasan berkepadatan tinggi.

Selain itu, pembukaan kawasan pertanian baharu berskala besar perlu disegerakan. Ini perlu, agar satu kawasan khas pertanian negara diwujudkan.

Kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan negeri perlu diperkukuh. Sebagai contoh, Kedah terkenal dengan jelapang padi negara.

Namun, pengeluaran padi dilihat masih tidak mampu menampung keperluan beras negara. Justeru, perancangan dan dasar Persekutuan dan negeri perlu seiring dalam merangka kewujudan kawasan pertanian baharu ini.

Seterusnya adalah memperkasakan insentif dan latihan pertanian moden kepada graduan yang baharu sahaja menamatkan pengajian.

Ketika ini kebanyakan tawaran dan insentif yang diberikan adalah berbentuk keusahawanan moden dan kepada ekonomi gig.

Walaupun ini adalah satu usaha yang baik dari sudut mengurangkan kadar pengangguran, namun kebanyakan graduan tidak didedahkan tentang peluang sebenar yang mereka boleh peroleh melalui penyertaan dalam sektor pertanian.

Insentif ini boleh dilaksanakan ketika graduan masih di peringkat pengajian melibatkan kerjasama institusi pengajian tinggi seperti penyediaan modul latihan atau kursus persediaan berkaitan.

SUBSIDI

Penyediaan subsidi yang besar untuk menstabilkan harga barangan keperluan bukan satu langkah yang boleh dilaksanakan dalam jangka masa panjang.

Pemberian subsidi hanyalah seperti ubat tahan sakit yang hanya menghilangkan rasa sakit, bukannya penyakit.

Wang subsidi yang digunakan seharusnya ditukar kepada bentuk pelaburan yang mampu memberi penyelesaian kepada permasalahan ini.

Insentif pinjaman mudah, pinjaman tanpa faedah atau geran projek perlu diperluaskan dengan penglibatan sektor swasta yang berkepakaran untuk membuat pelaburan dalam sektor pertanian.

Kesukaran memperoleh pinjaman atau insentif dalam projek pertanian merencatkan penglibatan sektor swasta untuk melakukan projek pada skala lebih besar.

Kerajaan disaran memulakan projek pertanian berskala besar dengan penglibatan syarikat dari luar negara yang terbukti berjaya.

Hal ini penting bagi memastikan bekalan makanan negara kekal dan mampu berdiri sendiri dalam jangka masa panjang.

Kerjasama sebegini melibatkan pengalihan pengetahuan kepakaran. Subsektor pertanian seperti penternakan untuk bekalan daging dan tenusu boleh dipelajari daripada syarikat dari Australia atau New Zealand, kemajuan penanaman padi boleh dipelajari dari Thailand atau Vietnam.

Dengan sumber daya alam dan bumi negara yang sememangnya sesuai untuk pertanian, adalah amat rugi sekiranya ia tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan dan tanpa pengetahuan yang baik.

Selain itu, kerajaan digesa memberi fokus pemerkasaan industri berasaskan pertanian yang mengutamakan bekalan dan pasaran dalam negara. Ini bagi meningkatkan penawaran sekali gus menstabilkan harga di pasaran.

Sebelum ini, sesuatu produk yang diimport dari luar negara telah menjadikan penawaran terhad menyebabkan wujud usaha monopoli dan pencatuan bekalan oleh penjual bagi mendapat keuntungan berlebihan.

Sekurang-kurangnya, kepelbagaian produk mampu merancakkan ekonomi domestik dan mengurangkan kebergantungan kepada produk luar.

Isu keselamatan makanan kini bukan lagi suatu perkara yang boleh dipandang enteng. Tindakan dan pelan strategik yang segera daripada kerajaan amat dinantikan oleh rakyat.

Menyingkap kisah hidup Nabi Yusof a.s dimana baginda menggagaskan langkah awal dan melaksanakan perancangan yang rapi dalam pengurusan makanan negara.

Mengutamakan bekalan dalam negara dan menyiapkan stok makanan untuk rakyat bagi waktu yang sukar perlu menjadi agenda utama negara buat masa ini.

Sesuatu keputusan yang bakal dibuat oleh kerajaan semestinya meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan, bukannya politik. – UTUSAN

DR. Muhammad Azwan Sulaiman & Dr. Anis Syazwani Sukereman ialah Pensyarah Kanan di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×