SELAMAT ulang tahun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang ke-66. DBP ditubuhkan pada 22 Jun 1956 sebagai hasil perjuangan ahli bahasa, sasterawan, wartawan, pendidik dan agamawan melalui Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Kedua (1954) serta Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga (1956). Sebagai sebuah badan penerbitan kerajaan, DBP bukan sahaja terlibat dalam penerbitan buku teks sekolah dan majalah, bahkan turut terlibat dalam penerbitan buku umum dalam pelbagai bidang ilmu seperti sains sosial dan kemanusiaan, sains dan teknologi serta buku agama, falsafah dan tamadun Islam sama ada buku ilmu mahupun buku kreatif.
Tonggak dalam melaksanakan tanggungjawab membina dan menguruskan bahan persuratan terutama bahan persuratan Melayu pada masa ini digalas oleh 11 bahagian utama di DBP, iaitu satu daripadanya Bahagian Ensiklopedia di bawah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera. Bahagian ini bertanggungjawab membina, memperkaya dan mengembangkan bahasa Melayu dalam pelbagai bidang ilmu melalui penerbitan pelbagai jenis ensiklopedia dan menjadi keutamaan.
Ensiklopedia ialah sejenis karya rujukan, sebuah kompendium mengandungi ringkasan maklumat daripada semua cabang ilmu atau secara khusus. Ensiklopedia terbahagi kepada beberapa artikel atau entri, iaitu selalunya tersusun mengikut abjad melalui tajuk artikel. Kemasukan entri dan maklumat ensiklopedia lebih panjang dan terperinci berbanding kamus-kamus biasa dan sudah tentu bagi mengangkat prestij DBP ke peringkat antarabangsa, adalah dicadangkan kepada Kementerian Pendidikan untuk menjalinkan kerjasama dengan pihak di peringkat antarabangsa sebagai rakan strategik khususnya memugar berkaitan sejarah trafik maritim alam dan manusia yang membawa kepada perkembangan peradaban pesat di Alam Melayu dan impaknya boleh dilihat sehingga ke hari ini.
Entri dan maklumat untuk ensiklopedia umumnya tidak seperti kemasukan kamus yang hanya fokus kepada maklumat linguistik perkataan manakala artikel-artikel yang disediakan untuk melengkapkan struktur kandungan ensiklopedia berfokus kepada fakta meliputi isi atau konsep tajuk. Pendigitalan ensiklopedia perlu diselaraskan dengan Revolusi Perindustrian 4.0 yang boleh dijadikan rujukan sehingga ke pentas dunia. Strategi DBP yang menjurus kepada inovasi dan pendigitalan, kelestarian dan pertumbuhan inklusif dijangka dapat mewujudkan satu ekosistem yang kondusif dan menyeluruh akan menyemarakkan lagi pengantarabangsaan DBP.
Mengapa ensiklopedia? Menurut Kamus Dewan Perdana, ensiklopedia bertakrif buku, biasanya dalam banyak jilid yang mengandungi maklumat lengkap tentang pelbagai topik dalam sesuatu bidang ilmu atau subjek tertentu yang disusun mengikut urutan abjad. Ensiklopedia dikatakan terbit daripada bahasa Yunani, enkyklios yang bermaksud umum, menyeluruh, lengkap atau sempurna manakala kata paideia bermaksud pendidikan.
SISTEMATIK
Ini bermakna buku atau ensiklopedia ini sudah dihasilkan oleh abad-abad sebelum masihi bagi merakamkan dan merekodkan ilmu pengetahuan peradaban agar dapat dikhazanahkan dan dirujuk oleh setiap isi manusia khusus untuk pendidikan. Oleh yang demikian bagi tujuan memperkasa bidang keilmuan tinggi dan selaras dengan kemahiran berfikir aras tinggi generasi Keluarga Malaysia hari ini, pembudayaan membaca ensiklopedia haruslah dipupuk sejak awal lagi.
DBP memfokuskan kegiatan pembinaan ensiklopedia sebagai satu langkah memperkaya khazanah rujukan pelbagai bidang ilmu dalam bahasa Melayu. Ilmu-ilmu mempunyai keintelektualan tinggi watan seperti bersifat kearifan tempatan dalam bidang sains dan teknologi, sejarah dan warisan tempatan diberikan tumpuan utama dalam bidang penerbitan bacaan bermutu tinggi ini. Menerusi Bahagian Ensiklopedia ini, DBP menguruskan penerbitan ensiklopedia khusus antaranya Ensiklopedia Ikan Yu, Ensiklopedia Penyakit Berjangkit, Ensiklopedia Serangga, Ensiklopedia Seni Bina Melayu, Ensiklopedia Nanoteknologi dan Ensiklopedia Endau Rompin.
Selain itu, ensiklopedia umum yang paling mendapat sambutan ialah Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu dan telah pun mempunyai edisi kedua. Menerusi ensiklopedia ini, pembaca dibekalkan secara menyeluruh sejarah, warisan, persuratan, kebudayaan, kesenian malah tokoh-tokoh sasterawan dan budayawan yang signifikan dengan kesenian dan kebudayaan sama ada era sejarah mahupun moden. Pembinaan ensiklopedia umum oleh DBP ini dilaksanakan dengan kerjasama pakar bidang dari pelbagai agensi dan kerajaan negeri berkaitan.
Melalui bahagian ini juga berdasarkan standard, panduan dan rujukan penerbitan yang ditetapkan, DBP bertanggungjawab dalam membimbing penulis, penilai dan pereka bentuk serta menguruskan penerbitan untuk pelajar. Penerbitan oleh DBP ini amat terancang dan sistematik bagi menghasilkan bahan bacaan bermutu tinggi dalam bahasa Melayu.
Masyarakat haruslah menyedari kepentingan membaca bahan bacaan ini dan mungkin peluang menggiatkan kempen Dekad Membaca Kebangsaan dan Dekad Bahasa Kebangsaan, Kementerian Pendidikan dan DBP serta agensi berkaitan boleh mengangkat tema pembudayaan ensiklopedia ini dilaksanakan bagi mencapai matlamat kita membina bangsa Malaysia yang mempunyai kemahiran berfikir aras tinggi.
Pelbagai jenis ensiklopedia berada di pasaran dan tidak hanya DBP, ada banyak lagi penerbit menghasilkan ensiklopedia yang boleh dimiliki dan dijadikan bahan bacaan utama masyarakat. Membaca ensiklopedia adalah pelaburan kepada membentuk jati diri dan minda Keluarga Malaysia. Usah rasa ragu dan bimbang untuk memiliki bahan terbaik ini kerana melabur tidak hanya kepada wang ringgit tetapi menjana kebijaksanaan juga bermula dari aksara yang terkandung dalam buku-buku terbaik.
Syabas DBP 66 tahun! Api dari suatu zaman! – UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Jessica Ong Hai Liaw ialah Pakar Psikologi Bahasa di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Felow Majlis Profesor Negara.
RABI’AHTULADAWYAH Md. Saleh ialah Perancang Bahasa di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).










