GENAP 64 tahun usia Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini. Walaupun usianya muda dalam kalangan perkhidmatan lain Angkatan Tentera Malaysia (ATM), TUDM telah mencatatkan banyak kejayaan dalam pelbagai bidang.
Peranan TUDM sejak zaman konfrontasi sehinggalah Ops Daulat semasa mempertahankan tanah air daripada pencerobohan pengganas Sulu pada 2013 juga tidak boleh dinafikan dengan segala aset serta anggota dikerahkan.
Bagaimanapun dengan perkembangan teknologi, banyak perubahan disaksikan terutama keperluan aset dan juga sumber manusia.
Kedua-dua elemen yang berkait rapat ini juga merupakan tuntutan yang perlu dilihat dan ditambah baik untuk satu tempoh tertentu.
Kini, tinggal lebih kurang enam bulan lagi menjengah ke tahun 2023, keperluan aset ATM dan TUDM terus diperkatakan untuk proses modenisasi.
Tidak keterluan juga jika dikatakan ia satu keperluan mendesak dan tumpuan utama sudah semestinya kepada pemilikan pesawat tempur pelbagai guna (MRCA) selain enam fokus pembangunan aset yang dinyatakan Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Mohd. Asghar Khan Goriman Khan sebelum ini.
Sehingga artikel ini ditulis, TUDM bergantung sepenuhnya kepada pesawat SU-30MKM, F/A-18D Hornet dan Hawk bagi tugas memintas dan memusnahkan sasaran.
Pesawat jenis Hawk yang mula diterima secara berperingkat sejak 1994 sudah dikategorikan usang dengan beberapa insiden terhempas pernah dicatatkan sebelum ini.
Apa yang boleh diharapkan hanyalah SU-30MKM dan F/A-18D untuk menjaga ruang udara kita daripada ancaman terutama di Laut China Selatan.
Akan tetapi, dua jenis pesawat ini juga belum mencukupi bagi menjaga keseluruhan ruang udara daripada pencerobohan. Jadi apa pilihan yang ada untuk TUDM bagi jangka masa pendek untuk mengisi ruang kekosongan yang ada?
Adakah pesawat Hornet milik Kuwait masih menjadi ‘buruan’ Malaysia untuk kegunaan TUDM sebagaimana yang pernah dinyatakan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebelum ini?

TERPAKAI
Walaupun terdapat pelbagai desas-desus dan tentangan bahawa Hornet Kuwait merupakan barang lama, saya percaya ia setidak-tidaknya dapat memenuhi keperluan kritikal kekangan aset pasukan keselamatan.
Malah sekiranya ia direalisasikan dan bukan sekadar cakap kosong, kekuatan TUDM bertambah dengan kos yang lebih efektif kerana pengalaman TUDM yang pernah mengoperasikan pesawat sama.
Di samping itu, tidak timbul isu berbangkit mengenai perolehan pesawat berkenaan kerana ia mempunyai banyak persamaan daripada segi sistem dan persenjataan.
Kerajaan juga tidak perlu membelanjakan peruntukan besar bagi melatih kru teknikal dan juruterbang disebabkan persamaan sistem serta cara latihan. Begitu juga dengan sistem persenjataan.
Itu antara hujah mengapa perlunya kerajaan mempertimbangkan untuk perolehan pesawat berkenaan walaupun ia pesawat terpakai. Jika mahu menunggu pesawat MRCA baharu, rasanya ia akan mengambil tempoh masa yang lebih lama berdasarkan kemampuan negara.
Sebab itu saya berpandangan Hornet Kuwait tepat untuk kegunaan TUDM setidak-tidak untuk jangka masa tertentu sementara kerajaan membuat perolehan MRCA baharu.
Cuma kita masih ternanti-nanti apakah kerajaan Malaysia dan TUDM sudah memulakan langkah bagi mendapatkan pesawat dari negara Arab tersebut?
Setakat ini, Mohd. Asghar Khan sendiri telah bersetuju dan menyatakan hasrat untuk mendapatkan Hornet dan ia antara fokus yang perlu diberi perhatian untuk menjadi angkatan udara yang digeruni serta disegani di rantau ini.
Jadi, langkah seterusnya terletak kepada Kementerian Pertahanan yang diterajui Hishammuddin bagi mendapatkan pesawat berkenaan.
Rakyat dan semua pemerhati pertahanan kini ternanti-nanti, malahan tertanya-tanya disebalik cerita Hornet Kuwait yang sejak dulu hanya berkisar di ruang lingkup yang sama sahaja.
Apa yang dibimbangi, cerita Hornet Kuwait hilang bagai dihembus angin begitu sahaja disebabkan usaha yang hanya sekadar melepaskan batuk di tangga. – UTUSAN











