Raya di Edinburgh tampil budaya Keluarga Malaysia

Raya di Edinburgh tampil budaya Keluarga Malaysia

SAMBUTAN rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri dengan pelbagai juadah dan berpakaian kebangsaan anjuran rakyat Malaysia di Edinburgh baru-baru ini berjaya menarik perhatian masyarakat setempat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Di hari raya,
Terkenang daku kepada si dia,
Kampungku indah nun jauh di sana,
Ayah serta bondaku.

Begitulah bait-bait lagu yang sering bermain di bibir para perantau seperti kami. Lirik lagu begitu syahdu yang sering mengusik jiwa dan perasaan terutamanya apabila takbir hari raya dilaungkan pada 1 Syawal di saat diri jauh daripada riuh rendah suara sanak-saudara dan keluarga yang berada di tanah air.

Tanggal 2 Mei lalu, seluruh umat Islam di Malaysia menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan penuh gembira walaupun ramai yang terkejut dengan pengumuman hari raya yang tidak dijangka disambut sehari awal berbanding apa yang diramalkan ramai.

Namun begitu, sambutan hari raya ‘terkejut’ pada tahun ini tidak mampu menunda kegembiraan umat Islam mahupun yang bukan Islam di tanah air, dengan semuanya sama-sama berkongsi pengalaman menerima kejutan di malam hari raya dengan pelbagai persiapan seperti rendang, ketupat dan baju raya yang masih belum dapat disiapkan. Tukang jahit, pembuat kek dan ramai lagi turut panik dan kelam-kabut seketika apabila baju raya, tempahan kek, biskut raya dan sebagainya belum dapat disiapkan atau diambil oleh pelanggan.

Media sosial terus rancak dengan adanya pelbagai ciapan lucu seperti ‘Raya terkejut’, ‘Opocot raya’ dan pelbagai lagi ciapan-ciapan kreatif yang bukan sahaja mencuit hati seluruh masyarakat di tanah air, malahan rakyat Malaysia yang berada jauh di perantauan. Begitu indahnya suasana hari raya di Malaysia pada tahun ini setelah dua tahun tidak berpeluang beraya bersama keluarga akibat pandemik Covid-19 yang melanda dunia.

Dari kejauhan, dapat kami saksikan detik-detik indah suasana hari raya di Malaysia dan ia sungguh menjadikan kami sangat rindu pada tanah air tercinta.

AROMA

Untuk mengubat kerinduan pada keluarga, maka dengan berbekalkan semangat serta budaya rumah terbuka seperti lazim rakyat Malaysia lakukan di kala Hari Raya Aidilfitri, maka komuniti kecil Malaysia di Edinburgh, Scotland merancang dan turut mengadakan sambutan rumah terbuka di sini. Namun, tempatnya ialah di padang awam terbuka.

Tujuan asalnya hanyalah untuk kami berkumpul, bersembang, merasai juadah hari raya serta berkenal-kenalan tanpa ada sempadan agama, bangsa dan negara.

Hasilnya, Melayu, Cina, India dan kaum bumiputera lain di Malaysia turut serta dalam majlis yang dinamakan Open House Raya Edinburgh 2022. Yang lebih memeranjatkan lagi, majlis tersebut mendapat sambutan luar biasa sehinggakan ada rakyat Brunei dan Singapura malahan ada juga rakyat England dan Scotland dalam kalangan rakan-rakan rakyat Malaysia di sini yang turut serta.

Apabila majlisnya berlangsung di tempat terbuka, sudah tentu aroma makanan dihidangkan mampu menarik minat orang lain untuk melihat majlis yang dianjurkan. Ramai yang tertarik dan ingin turut serta dalam majlis ini dan ingin merasa pelbagai juadah Hari Raya Aidilfitri yang disediakan.

Secara tidak langsung, mereka semakin tertarik dengan budaya Malaysia dan teringin untuk lebih mengenali negara kita secara lebih dekat. Kami sangat berbangga kerana budaya kita seperti pakaian kebangsaan, makanan dan keindahan Malaysia ditanya oleh bangsa luar dan mereka ingin turut serta pada masa akan datang.

Tujuan asalnya hanyalah untuk mengumpulkan seramai mungkin rakyat Malaysia di Edinburgh untuk sambut hari raya bersama-sama dengan konsep rumah terbuka di padang awam, namun yang terjadi kami sebenarnya dapat memperkenalkan Malaysia di mata dunia.

Budaya rumah terbuka, pakaian seperti baju kurung dan baju Melayu yang unik serta makanan menyelerakan berjaya menarik perhatian masyarakat tempatan dan antarabangsa di bumi Scotland ini.

Terima kasih Malaysia, kami berbangga menjadi rakyat Malaysia yang unik dan kaya dengan budayanya yang tersendiri.

Salam Aidilfitri, maaf zahir dan batin daripada kami warga Malaysia di Edinburgh, Scotland. – UTUSAN

PENULIS ialah Pegawai Hal Ehwal Islam lantikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Edinburgh, Scotland.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya