PRU15: Kelantan masih milik Pas?

PRU15: Kelantan masih milik Pas?

BERDASARKAN analisis, Pas berkemungkinan mempunyai peluang tipis untuk mengekalkan pemerintahan kerajaan negeri pada PRU15 nanti. – UTUSAN/ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM satu kajian analisis menunjukkan kedudukan Pas Kelantan adalah tidak begitu selesa berbanding dengan situasi politik pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Daripada kajian ini menunjukkan pengundi perantau adalah kira-kira 25 peratus berbanding pengundi tempatan iaitu lebih kurang 75 peratus daripada keseluruhan pengundi berdaftar.

Dalam hal ini, kira-kira 20 peratus pengundi tempatan tidak keluar mengundi dan ada dalam kalangan mereka langsung tidak berminat untuk mengundi pada setiap kali pilihan raya diadakan.

Berbanding pengundi perantau hanya kira-kira dua peratus yang tidak pulang untuk mengundi dalam PRU14 atas sebab tertentu. Kesedaran politik dalam kalangan pengundi perantau adalah amat tinggi berbanding pengundi tempatan.

Daripada jumlah ini, kira-kira 15 peratus pengundi perantau adalah pengundi atas pagar berbanding pengundi tempatan atas pagar adalah lebih kurang 20 peratus. Ini bermakna 35 peratus daripada kira-kira 78 peratus pengundi mendaftar adalah pengundi atas pagar.

Walaupun begitu, jika dilihat kesetaraan kekuatan nisbah pengundi tempatan tanpa pengundi perantau antara pengaruh sokongan UMNO dan Pas dalam kajian ini sebelum PRU15 adalah nisbah 1:1.

Ini disebabkan sokongan pengundi secara keseluruhan ke atas Pakatan Harapan (PH) adalah kira-kira lima hingga lapan peratus, diikuti Pas (40-45%) seterusnya UMNO (35-40%) dan hanya lima peratus pengundi adalah berkecuali dan memilih parti lain selain PH, Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Dalam analisis lepas (PRU14), undi Pas meningkat melebihi 10 peratus adalah di 18 Dewan Undangan Negeri (DUN) diikuti peningkatan antara tiga hingga 10 peratus di 12 DUN. Undi Pas pula menurun melebihi lima peratus tetapi masih kekal di tangan Pas adalah di tujuh DUN. Ini bermakna UMNO berjaya memperoleh lapan DUN pada PRU14.

SENGIT

Tetapi yang menarik terdapat sembilan DUN yang mendapat majoriti kurang daripada 1,500 undi iaitu Melor, Apam Putra, Wakaf Bahru, Kota Lama, Kemahang, Semarak, Gaal, Kemuning dan Dabong.

Boleh dikatakan Parti Amanah Negara (Amanah) masih berpotensi mempunyai sokongan kurang daripada lapan peratus di 30 DUN. Berbanding PKR yang dilihat mempunyai potensi sokongan di lima DUN walaupun kurang daripada lima peratus sokongan undi.

Jika diteliti, PH mampu memecahkan undi Pas di 15 DUN berbanding memecahkan undi UMNO di 10 DUN. Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pula dilihat boleh memecahkan undi UMNO di 10 DUN.

Persoalannya, UMNO dilihat berpotensi menang antara 12 hingga 18 DUN jika dibuat berasingan daripada PRU15 nanti andai Kerajaan Persekutuan masih diperintah UMNO dan Pas bukan lagi sebahagian Kerajaan Persekutuan.

Ini menunjukkan bahawa pertambahan antara 12 hingga 18 DUN dengan lapan kerusi DUN sedia ada dipertahankan. Maka berkemungkinan Pas mempunyai peluang tipis untuk mengekalkan kerajaan sedia ada nanti.

Dalam pertembungan Parlimen Kelantan pula, UMNO dilihat berpotensi menang di Machang, Tanah Merah, Jeli, Gua Musang, Ketereh dan Kota Bharu dan Pas masih berpotensi menang di Pasir Mas, Pasir Puteh, Pengkalan Chepa, Kubang Kerian, Tumpat dan Rantau Panjang jika calon sedia ada masih dikekalkan.

Tetapi jika calon ditukar dan digantikan dengan parti selain UMNO dan Pas, maka kemenangan adalah berpihak kepada salah satu UMNO atau Pas yang masih kekal. Parlimen Kuala Krai dan Bachok akan menjadi perebutan sengit antara Pas dan UMNO pada PRU15 nanti.

Sentimen pengundi Kelantan adalah berbeza dalam soal pemilihan parti yang memerintah negeri dengan parti yang memerintah Kerajaan Persekutuan.

TGNA

Boleh dikatakan majoriti sama ada pengundi perantau atau pengundi tempatan masih memilih parti yang berlainan dalam soal kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan pada PRU15. Pada kebiasaannya dalam PRU lepas, kerajaan negeri diberikan kepada Pas dan Kerajaan Persekutuan kepada UMNO.

Kedudukan Pas Kelantan pada hari ini sudah jauh berbeza kerana dalam PRU14 kemenangan mereka disebabkan sokongan kumpulan TGNA (Tuan Guru Nik Aziz) dan mungkin beralih angin nanti.

Malahan dalam pemilihan Pas yang lepas, dilihat kumpulan yang menyokong usaha Muafakat Nasional (MN) telah dikalahkan.

Kekalahan kumpulan MN di peringkat Pas Pusat turut melanda Pas Kelantan. Impaknya terdapat usaha untuk membersihkan kumpulan MN dalam Pas Kelantan dengan mengetengahkan kumpulan yang menang dalam pemilihan Pas Pusat lalu.

Ini menjadikan lebih kurang 12 hingga 18 DUN Kelantan akan terjejas nanti jika kumpulan MN Pas Kelantan dan kumpulan TGNA membuat kejutan jika PRU15 dibuat berasingan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan.

Persaingan sokongan dan pengaruh turut berlaku dalam kalangan Pemuda Pas Kelantan antara beberapa kumpulan berbeza. Walaupun begitu, perpecahan dalam Pas tidak begitu kelihatan secara terang seperti umum ketahui dengan suasana dalam politik rumah tangga UMNO.

Memang menarik bagi pengundi Pas Kelantan yang memprotes kelihatan tidak akan mengundi Pas mahupun UMNO dalam PRN Kelantan nanti. Tetapi mereka hanya mengundi UMNO untuk Parlimen dalam PRU15.

Justeru, pilihan mereka juga bukan untuk Amanah. Andai DAP tidak masuk campur dalam PRN Kelantan, kelihatan memberi satu kelebihan kepada PKR dan Amanah bagi pengundi yang kritikal dengan PN dan BN.

Kemasukan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) sebenarnya mampu memecahkan undi Pas walaupun secara zahirnya kelihatan ditujukan kepada UMNO.

Ini disebabkan terdapat banyak isu yang bakal dibangkitkan apabila melibatkan Pas Kelantan yang menerajui kerajaan negeri. Bukan hanya soal isu air, jalan raya, peluang pekerjaan, pembangunan tidak seimbang dan sebagainya.

Tetapi yang paling kritikal adalah keputusan Pas Kelantan adakalanya berbeza dengan keputusan kepimpinan pentadbiran kerajaan negeri Pas Kelantan.

Daripada temu bual dilakukan mengatakan terdapat dua nakhoda berbeza dalam kepimpinan Pas Kelantan dan kepimpinan pentadbiran kerajaan Pas Kelantan dalam membuat keputusan. Sama ada benar atau tidak, memang menarik untuk dikaji selanjutnya. – UTUSAN

DR. Iskandar Hasan Tan Abdullah ialah Pensyarah Kanan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×