Membina wajah Malaysia yang terguris - Utusan Malaysia

Membina wajah Malaysia yang terguris

KONSEP Keluarga Malaysia adalah permulaan pasca politik negara ini yang menyatukan semua kaum di bawah panji perpaduan rakyat. – UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BIARPUN usia pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri boleh dianggap masih berada pada tahap permulaan, tetapi pendekatan politik beliau yang bijaksana telah merubah wajah landskap politik negara ini ke arah era penyatuan rakyat Malaysia secara reformasi kemakmuran dan perpaduan yang lebih tersusun bagi menghadapi gelombang arus masa depan negara yang lebih mencabar.

Penyatuan strategi negara menghadapi pandemik Covid-19 sebenarnya adalah anugerah buat masa depan politik pemimpin negara ini kerana pada ketika inilah usaha penyatuan dan perpaduan rakyat menghadapi gelombang mencabar.

Ini menjadi tanda aras kebijaksanaan Ismail Sabri membina sebuah wajah Malaysia yang terguris dengan pelbagai masalah dan rintangan semasa berlakunya pergolakan politik tanah air.

Pasca politik baharu yang disifatkan memberi gambaran kematangan rakyat memahami dan mengharungi realiti di sebalik kehidupan berisiko yang menuntut keadilan dan pemusatan gaya pengurusan negara yang lebih dipenuhi ciri-ciri transparensi, menyanjung etika tadbir urus dan bijaksana melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.

Bermula dengan idea penyatuan nasional menerusi konsep Keluarga Malaysia sebagai teras dan kayu ukur pentadbiran beliau, Ismail Sabri telah mengorak suatu gagasan permulaan pasca politik Malaysia yang menyatukan semua kaum di bawah panji perpaduan rakyat, sekali gus menjadi saksi kemegahan rakyat membina negara yang ketika ini kalut diselubungi pandemik.

Usaha-usaha kerajaan yang mantap dalam membendung wabak Covid-19, khususnya tindakan cepat dan cekap kerajaan dalam memberikan vaksinasi bukan sahaja kepada golongan dewasa tetapi juga kepada kanak-kanak, menyebabkan kerajaan dapat membendung wabak ini dari berleluasa.

Pelbagai usaha dan inisiatif kerajaan pimpinan Ismail Sabri memperlihatkan penyantunan beliau terhadap kemahuan rakyat dengan mendahulukan keperluan rakyat membina semula nilai kehidupan mereka yang terjejas akibat kehilangan pekerjaan, wabak bencana dan peningkatan kos kehidupan akibat ketidakstabilan ekobomi global.

Pembukaan ekonomi secara berhemah menyebabkan rakyat dapat kembali bekerja dengan cepat yang dibantu pula oleh bantuan-bantuan dari kerajaan seperti Bantuan Khas Covid-19 (BKC), Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), Bantuan Keluarga Malaysia (BKM), Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP), Geran Khas Prihatin (GKP) dan sebagainya.

Menerusi Program Subsidi Upah (PSU), sebanyak RM20.34 bilion telah disalurkan bagi membantu lebih 350,000 majikan di seluruh negara manakala Program Insentif Pengambilan Kerja (PenjanaKerjaya) pula telah membantu mewujudkan lebih 320,000 peluang pekerjaan baharu untuk pencari kerja, diberhentikan kerja, graduan menganggur dan golongan rentan seperti orang kurang upaya (OKU).

TEMPIAS

Bagi membantu mereka yang masih terkesan dari segi ekonomi, hilang pendapatan dan sedang membina semula kehidupan, kerajaan membenarkan pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui tiga skim iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra berjumlah RM101 bilion dan terbaru membenarkan pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000.

Bagi menyokong peminjam dari golongan pertengahan dan rendah (B50), industri perbankan bersama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) pula melaksanakan Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (URUS) bagi peminjam B50 yang terkesan akibat pandemik Covid-19 yang membenarkan mereka membuat penangguhan bayaran pinjaman atau moratorium.

Bila negara dilanda banjir besar, kerajaan mengumumkan pemberian Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah, baucar tunai sebanyak RM500 bagi pembelian barangan elektrik, baucar tunai sebanyak RM1,000 bagi tujuan pembaikan atau pembelian kenderaan, bantuan tunai sehingga RM5,000 untuk kerja-kerja pembaikan rumah dan membantu sehingga kos RM56,000 untuk membina rumah baharu.

Banyak lagi pengumuman yang dibuat oleh Ismail Sabri mutakhir ini yang menunjukkan beliau ialah pemimpin yang amat prihatin kepada nasib semua golongan rakyat.

Ini termasuk kenaikan kadar gaji minimum kepada RM1,500, pelancaran program ePemula kepada dua juta belia seluruh negara, penubuhan jawatankuasa Kabinet untuk melindungi golongan rentan serta pemberian tol percuma dan diskaun sempena Aidilfitri 2022.

Ismail Sabri masih dapat mengemudi negara dengan baik serta meneruskan segala projek yang telah diumumkan dalam Bajet 2022 yang lepas di sebalik pelbagai kekangan yang ada seperti kedudukan ekonomi luar negara yang turun naik, geopolitik antara negara China dan Amerika Syarikat yang tidak menentu serta perang antara Russia dan Ukraine.

Bukan mudah untuk mengimbangi tuntutan pelbagai pihak, sama ada dari dalam dan luar, tetapi Ismail Sabri masih dapat meneruskan kerja-kerja beliau dengan penuh bersemangat dalam membantu rakyat.

Rakyat perlu bersyukur dan berterima kasih kerana negara masih aman dan damai serta tidak ada gangguan yang menyebabkan rakyat terus menikmati kesejahteraan.

Konsep bersyukur perlu sentiasa kita amalkan seperti yang disebut dalam al-Quran yang bermaksud: “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.” (Ibrahim:7)

Kebijaksanaan Ismail Sabri mengemudi negara dengan baik dalam suasana yang mencabar ini tidak boleh diperkecilkan, sebab itulah Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada 14 April lalu telah memberikan undi keyakinan mereka kepadanya dengan bersetuju supaya beliau akan menjadi calon Perdana Menteri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Memang ada ruang-ruang yang masih boleh diperbaiki yang menyebabkan beliau terkena tempias kritikan rakyat ekoran prestasi kurang memberangsangkan menteri dan timbalan menteri tertentu.

Untuk mengatasi perkara ini mungkin sudah tibalah masanya untuk Ismail Sabri segera membuat rombakan Kabinet bagi memantapkan lagi Kerajaan Keluarga Malaysia. – UTUSAN

DR. Syed Agil Alsagoff ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Komunikasi, Jabatan Komunikasi, Media dan Industri Kreatif, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×