BANYAK pihak memberi komen kejayaan lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selama empat hari ke Amerika Syarikat (AS) bagi menghadiri Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS dari 12 hingga 13 Mei lalu di Washington D.C. terutama dari segi menarik pelaburan.
Bagaimanapun, tak terlepas pandang keberanian dan kelantangan Ismail Sabri ketika sidang tersebut yang dipengerusikan oleh Presiden AS, Joe Biden membawa suara rakyat Palestin yang beberapa hari sebelum itu hangat dengan tragedi pembunuhan wartawan Al-Jazeera beragama Kristian kerakyatan AS-Palestin, Shireen Abu Akleh, 51.
Shireen yang terkenal kerana sering membuat pendedahan penderitaan rakyat Palestin selama 25 tahun terbunuh akibat tembakan ketika masih lagi memakai jaket biru dengan perkataan Press semasa membuat liputan pencerobohan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) ke kem pelarian Jenin, Tebing Barat.
Seperti dipertegaskan Ismail Sabri menerusi satu hantaran di Facebook mengenai pendirian Malaysia, AS digesa menggunakan pengaruhnya secara jujur bagi menyelesaikan isu berkenaan yang telah berlarutan selama 74 tahun.
Tegasnya, kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin harus dihentikan segera dan Malaysia menggesa AS supaya jujur menggunakan pengaruhnya untuk menyelesaikan secara tuntas.
“Negara Palestin perlu diwujudkan seperti yang terkandung di dalam resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), iaitu persempadanan sebelum perang 1967 dengan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara,” katanya.
Ismail Sabri menegur kuasa besar dunia itu yang laju dalam isu Russia-Ukraine tetapi lambat menyelesaikan konflik Israel-Palestin. Sebelum itu, Biden meminta sokongan negara-negara ASEAN termasuk Malaysia bagi menangani krisis Russia-Ukraine.
Difahamkan, Ismail Sabri ialah satu-satunya pemimpin ASEAN yang berani dan vokal menyuarakan isu Palestin pada sidang yang dihadiri oleh semua pemimpin dari rantau Asia Tenggara kecuali Myanmar dan Filipina.
Pendekatan beliau membangkitkan isu ini kepada Biden adalah tindakan tepat bagi mengambil ‘peluang’ pada saat kemerosotan pengaruh pelobi pro-Israel, Jawatankuasa Hal Ehwal Awam Amerika-Israel (AIPAC) setelah mencapai zaman kemuncaknya ketika pemerintahan Donald Trump dari parti Republikan.
KRITIK
Biden mengambil pendekatan lebih sederhana seiring peningkatan golongan anti-Zionis (bukan anti-Yahudi) yang cenderung bersimpati dengan perjuangan Palestin yang bertambah dalam hierarki kepimpinan parti Demokrat diterajuinya. Bagaimanapun, ada pihak mengkritik dasar pentadbiran Biden yang tidak banyak berubah dengan pendirian dan polisi masih lagi samar-samar. Ada waktu pula nampak menyebelahi Israel apabila Naib Presiden AS, Kamala Harris sendiri pernah menyatakan beliau menyokong Israel kepada umum.
AS juga dilihat cuba untuk meminimumkan konflik Israel-Palestin. Contohnya, lawatan Biden ke Israel pada bulan depan, beliau dijangka melawat Baitulmuqaddis Timur.
Baitulmuqaddis Timur yang terletaknya Masjid Al-Aqsa tidak pernah dijejak kaki oleh mana-mana Presiden AS boleh dianggap menyokong desakan rakyat Palestin supaya bandar itu menjadi ibu negara mereka pada masa depan.
Dalam pada itu, kelantangan Ismail Sabri mendapat pujian Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali. Dalam satu kenyataan, Walid merakamkan penghargaan kepadanya yang membela nasib Palestin dan rakyatnya yang berjuang menentang kekejaman Israel.
“Dunia telah menutup mata terhadap penderitaan Palestin selama beberapa dekad, Malaysia sebaliknya sentiasa konsisten dengan pendirian dalam konflik Israel-Palestin.
“Kami, rakyat Palestin menghargai dan mengagumi sokongan diberikan Malaysia dan Perdana Menteri ketika pertemuan dengan Biden, mengukuhkan lagi kedudukan dan pendirian Malaysia terhadap perjuangan Palestin,” kata Walid.
Duta itu juga menghargai pendirian Malaysia di bawah kepimpinan Ismail Sabri untuk tidak menormalkan hubungan dengan Israel ketika beberapa negara Islam telah berbuat demikian serta sokongan tidak berbelah bahagi kepada perjuangan Palestin mencapai kebebasan daripada penjajahan haram Israel.
Nampaknya Ismail Sabri tidak keseorangan dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin apabila Ahli Kongres wanita dari parti Demokrat, Rashida Talib pada 15 Mei lalu mengusulkan satu resolusi bagi mengiktiraf Nakba Palestin di Dewan Perwakilan AS. Usul bagi memperingati pemindahan secara paksa ratusan ribu penduduk Palestin menjelang penubuhan Israel pada 1948 itu tidak mungkin diluluskan oleh dewan perwakilan berkenaan, sama halnya dengan suara pemimpin negara kecil seperti Malaysia mungkin tidak dapat memberi impak besar tetapi tindakan seberani itu wajarlah dipuji dan kita julang.
Kita tidak perlu berperang menggunakan kekerasan bagi membela nasib rakyat Palestin. Mungkin ‘kelembutan’ sebegini adalah jalan yang paling tepat.
Ketegasan Perdana Menteri dalam isu ini juga membuktikan kepimpinan kerajaan sekarang bermaruah kerana sentiasa komited dan tidak pernah berpaling tadah dalam apa jua keadaan. Sama-samalah kita mendoakan suatu hari nanti Palestin akan kembali damai. Syabas Pak Long Mail! – UTUSAN
PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.










