MENGIKUT data 2021, penduduk Malaysia adalah keenam paling ramai di ASEAN selepas Indonesia, Filipina, Vietnam, Thailand dan Myanmar. Namun jika diukur mengikut nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), Malaysia merupakan ekonomi ketiga terbesar ASEAN selepas Indonesia dan Thailand. Mengikut KDNK per kapita pula, Malaysia (AS$11,399) berada di tempat ketiga selepas Singapura (AS$72,794) dan Brunei (AS$44,808).
Sepertimana laporan ekonomi suku pertama 2022 yang baru dikeluarkan, KDNK Malaysia berkembang pada kadar lima peratus, iaitu peningkatan 4.3 peratus bagi Januari diikuti 5.2 peratus (Februari) dan 5.4 peratus (Mac). Perkembangan ini menepati ramalan para penganalisa mengenai pengukuhan ekonomi negara hasil daripada pembukaan semula sektor ekonomi dan pekerjaan.
Suku kedua 2022 juga dijangka menunjukkan trend pengukuhan serupa. Antara kekuatan utama yang akan menjadi tonggak adalah eksport minyak kelapa sawit negara yang bakal menikmati permintaan dan harga lebih tinggi. Kajian oleh Reuters menyatakan, hasil daripada unjuran lonjakan permintaan untuk beberapa bulan akan datang, stok kelapa sawit Malaysia untuk April 2022 meningkat buat kali pertama dalam masa enam bulan.
Selain krisis geopolitik Russia-Ukraine, langkah Indonesia menghentikan eksport minyak kelapa sawit menyebabkan permintaan global berpindah ke Malaysia dan Thailand. Negara pengguna utama seperti India kini terpaksa berpaling kepada Malaysia untuk memenuhi keperluan pasaran tempatan mereka, sekali gus menjadikan harga minyak sawit semakin meningkat. Disebabkan sekatan berkenaan juga, eksport minyak sawit Indonesia ke India dijangka menurun kepada 35 peratus menjelang Oktober 2020, berbanding 75 peratus pada sedekad lepas.
Pembukaan sempadan negara bermula 1 April lalu, pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta sambutan Hari Raya Aidilfitri pada awal bulan ini dijangka turut memberi suntikan tambahan kepada inisiatif pengukuhan ekonomi Malaysia pada suku kedua 2022.
INFLASI
Di sebalik prestasi eksport Malaysia yang semakin memberangsangkan dan permintaan domestik yang kukuh, wujud ketidaktentuan apabila kadar tukaran ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) semakin merosot pada Mac dan April lalu. Walaupun kemerosotan ini berpunca daripada faktor luaran iaitu tindakan Rizab Persekutuan AS menaikkan kadar faedah sebagai sebuah ekonomi terbuka, Malaysia tidak dapat tidak turut terkesan dengan perubahan kadar faedah ini.
Inilah yang mendorong Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengambil tindakan serupa iaitu menaikkan kadar faedah. Langkah BNM menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas itu juga merupakan kejutan yang positif. Tidak ramai penganalisa yang menjangkakan pengumuman sedemikian memandangkan ringgit sudah kembali menunjukkan trend pengukuhan berbanding dolar AS.
Adalah dipercayai selain membantu meningkatkan permintaan sekali gus pengukuhan ringgit, dorongan utama peningkatan OPR ini adalah langkah pencegahan dan pengawalan risiko inflasi yang berpunca daripada kenaikan harga komoditi, rantaian bekalan yang tertekan dan keadaan permintaan yang kukuh khususnya di AS. Sebagai ekonomi terbesar dunia, perkembangan di AS seperti kenaikan harga petrol secara langsung akan mempengaruhi pasaran Malaysia yang turut menyebabkan kenaikan harga yang sama.
3D
Risiko inflasi ini juga cukup jelas jika dilihat kepada perkembangan ekonomi negara di mana kini berlaku krisis kekurangan pekerja yang kritikal di sektor perladangan, perhotelan dan pelancongan. Kekurangan tenaga kerja ini dikhuatiri akan menyebabkan penawaran tidak mampu memenuhi permintaan sekali gus mencetuskan kemungkinan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan. Kekurangan pekerja ini merupakan antara cabaran terbesar terhadap perkembangan ekonomi negara.
Walaupun terdapat sejumlah 669,200 orang pencari kerja berdaftar pada Mac lalu, kebanyakan mereka ini enggan mengambil bahagian dalam sektor pekerjaan kategori 3D (kotor, sukar dan berbahaya) seperti pembinaan dan perladangan. Lebih membimbangkan, kini sektor lain yang tidak dikategorikan sebagai 3D seperti perhotelan dan restoran turut berhadapan tempias kekurangan pekerja.
Kenaikan OPR akan menyebabkan peminjam terpaksa membayar ansuran seperti pinjaman perumahan dan peribadi pada kadar lebih tinggi. Ia juga akan memperlahankan peningkatan pinjaman perniagaan oleh institusi perbankan, memaksa para pemain industri menangguhkan sementara sebarang rancangan untuk memperkembangkan kapasiti perniagaan masing-masing.
Namun, kenaikan kadar faedah ini sesuatu yang dilihat perlu ke arah ekosistem pemulihan ekonomi yang lebih mampan untuk menggelakkan overheating dalam ekonomi. Terdapat dua faktor utama yang berpotensi menyebabkan overheating ini iaitu kadar penggangguran yang terlalu rendah dan kadar inflasi yang meningkat secara mendadak. Ekonomi Malaysia sudah mula menunjukkan tanda-tanda ini dan langkah BNM meningkatkan kadar faedah mungkin langkah tepat ke aras menjamin pemulihan ekonomi yang lebih terurus dan bertahan lama.
Dalam pada itu, negara masih memerlukan pelaburan langsung asing (FDI) untuk membantu merancakkan kegiatan ekonomi. Kita bersaing dengan beberapa negara jiran yang mempunyai pasaran domestik lebih besar dan sumber semula jadi lebih strategik seperti Vietnam dan Indonesia dalam menarik FDI. Dalam aspek ini, kita yakin lawatan Perdana Menteri ke AS pada minggu lepas akan dapat membuahkan hasil dalam bentuk peningkatan FDI dari AS. Malah, lawatan serupa perlu diadakan dengan lebih kerap agar pelabur antarabangsa terus maklum tentang kelebihan strategik Malaysia sebagai hab utama perniagaan mereka di rantau Asia Pasifik. – UTUSAN
PENULIS ialah akauntan bertauliah dan penganalisis ekonomi bebas.










