SEDAR atau tidak, ramai dalam kalangan kita pernah dibuli termasuk oleh orang yang dipercayai. Tanpa kita sedar, perbuatan membuli sering berlaku di depan mata. Alasan diberi, mereka cuma mengusik atau bergurau.
Lebih parah, ia berlaku dalam lingkungan keluarga melibatkan mereka yang sepatutnya menjadi pelindung kepada mangsa. Malah, ramai mangsa buli tidak menyedari mereka sedang dibuli sehinggalah kes tersebut menjadi serius atau mengakibatkan kecederaan fizikal.
Umumnya, ramai yang tidak ambil peduli untuk mempertahankan mangsa jika tidak melibatkan buli secara fizikal. Dalam banyak keadaan, aduan mangsa diabaikan. Mangsa pula dianggap tidak sporting, mengada-ngada atau mahu menagih perhatian.
Justeru, ramai mangsa hanya berdiam diri dan membiarkan keadaan ini berterusan. Sehinggakan mangsa menyimpan perasaan dendam dan bertindak membuli orang lain untuk melepaskan kemarahan dan kekecewaan mereka.
WARAS
Maka berlakulah kepincangan dalam masyarakat apabila institusi keluarga gagal berfungsi seperti mana dituntut oleh agama. Kecelaruan ini mengakibatkan generasi muda gagal membentuk sahsiah diri serta gagal memahami dan menghormati nilai moral dalam bermasyarakat.
Apabila anak sering dibuli oleh anggota keluarga yang lebih tua, tidak menghairankan jika mereka juga akan bertindak sedemikian suatu hari nanti.
Buli adalah penyakit dalam masyarakat yang merebak seperti api dalam sekam. Ia semakin membarah kerana sering didiamkan oleh pihak yang terlibat, khususnya apabila melibatkan ahli keluarga lebih berkuasa atau ketua berpengaruh.
Sebagai insan yang waras, kita hairan bagaimana seseorang individu boleh mendapat kepuasan daripada menyakiti orang lain. Namun, kepuasan itulah yang didapati oleh pembuli. Maka jelas, mereka adalah golongan bermasalah.
Persoalannya, setakat mana keseriusan kita dalam mencari jalan bagi menangani masalah ini? Masalah buli harus diselesaikan dengan tuntas kerana jika dibiarkan, ia akan meruntuhkan sistem masyarakat serta nilai mulia bangsa.
Jangan kita bersikap hangat-hangat tahi ayam dan cuma beretorik dalam mencari penyelesaian kepada masalah ini.
Kejayaan negara tidak sepatutnya hanya diukur dari sudut material. Negara yang kaya raya akan porak-peranda jika rakyatnya tidak berakhlak dan tiada pengisian kerohanian.
Aspek spiritual harus diberi penekanan selaras dengan sudut material dalam merangka dasar negara. – UTUSAN
PENULIS ialah pelajar program asasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).








