BENAR sekali bahawa dunia boleh berubah dalam sekelip mata. Lihat sahaja yang berlaku ekoran wabak Covid-19. Sebelum ini ramai yang tidak pernah membayangkan akan berlakunya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta penutupan sektor ekonomi dalam skala besar secara tiba-tiba.
Turut teruk terkesan adalah sektor pendidikan. Penutupan sekolah bagi tempoh panjang mendesak kerajaan mencari kaedah alternatif demi memastikan sesi persekolahan dapat diteruskan walaupun dalam keadaan pandemik. Ini memaksa berlakunya anjakan paradigma kaedah pembelajaran di mana ia mungkin sukar diterima jika kita tidak berhadapan dengan cabaran sebegini.
Hakikatnya dalam keadaan terdesak, kita lebih terbuka menerima cara dan kaedah baharu yang jauh berbeza daripada kaedah konvensional.
Memanfaatkan kemajuan teknologi maya, para pelajar diperkenalkan dengan kelas dalam talian. Pembelajaran cara ini amat berbeza daripada kaedah secara bersemuka. Pelajar mengikuti kelas secara maya tanpa perlu hadir ke sekolah secara fizikal.
Persoalannya, setelah negara beralih kepada fasa endemik dan sekolah kini dibuka seperti biasa, adakah kaedah pembelajaran secara dalam talian akan dihentikan secara total? Telah banyak masa, tenaga dan kos dilaburkan ke arah pendidikan dalam talian.
Setelah berusaha keras selama dua tahun, kini ramai tenaga pengajar mengendalikan kelas secara maya dengan lebih baik dan efektif.
ASRAMA
Walaupun dianggap baharu di negara ini, kaedah pembelajaran secara dalam talian telah lama dipraktikkan di beberapa negara lain. Malah kaedah ini dilihat sebagai penyelesaian kepada beberapa masalah khususnya melibatkan pergerakan pelajar. Ini termasuk masa perjalanan, pelepasan bahan cemar udara daripada kenderaan, perbelanjaan di sekolah, tambang, kos penginapan serta sara hidup di asrama.
Namun selera manusia berbeza, ada yang lebih suka belajar secara bersemuka dan tinggal di asrama. Tambahan, belajar dalam talian memerlukan komitmen tinggi daripada pelajar dan tenaga pengajar. Pelajar mesti bersikap bertanggungjawab serta berdisiplin tanpa perlu dikawal secara fizikal oleh guru. Bagi saya, ini adalah satu kelebihan dan membantu kita menjadi insan yang lebih berdikari kerana perlu menjaga disiplin diri walaupun tiada guru yang mengawal secara fizikal.
Untuk memastikan kita mampu bersaing di peringkat global, kerajaan harus menyediakan prasarana lengkap yang mampu dinikmati oleh semua pelajar. Kita juga mesti berani melangkah dan tidak hanya terhenti di takuk lama. Jika kita takut kepada cabaran, kita akan ketinggalan. Pelajar harus dilatih untuk berfikir di luar kotak. Kaedah pendidikan yang terlalu memanjakan atau secara spoon-feeding hanya membataskan daya kreativiti serta kebolehan berfikir.
Lain padang, lain belalang. Bagi saya, pelajar dan tenaga pengajar mesti diberi pilihan untuk memilih kaedah pembelajaran terbaik mengikut kesesuaian masing-masing.
Atau kita boleh mempraktikkan kaedah hibrid sebagai jalan tengah kepada masalah ini. Jika enggan berinovasi, kita akan ketinggalan dan tidak mampu bersaing di peringkat global. – UTUSAN
PENULIS ialah pelajar program asasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










