SOSMA bukan agenda politik

SOSMA bukan agenda politik

KERAJAAN melihat semula keperluan unit-unit elit Polis Diraja Malaysia seperti Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) yang dibubarkan sebelum ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMERKASAAN kesejahteraan dan keselamatan sosial adalah amat penting dalam mengekang jenayah terancang di negara ini. Pindaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) sebenarnya boleh digunakan bagi tujuan tersebut supaya mana-mana individu yang berkemungkinan terlibat dengan jenayah terancang boleh ditahan tanpa bicara sehingga 28 hari bagi tujuan siasatan.

Peningkatan kes penipuan melalui scammer, dadah dan lain-lain jenayah terancang pada hari ini memerlukan kerjasama memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dan pembangkang untuk menyelesaikan isu yang semakin membelenggu kehidupan rakyat. Akta tersebut patut dibentang semula dan disokong oleh semua ahli Parlimen untuk kepentingan keselamatan negara. Siapa yang tidak sokong bermakna mereka tidak peduli kepentingan keselamatan negara.

Adalah kurang tepat mengatakan SOSMA akan disalah guna oleh kerajaan atas kepentingan agenda politik. Hujah ini perlu dilihat bahawa kerajaan amat mementingkan keperintahan undang-undang. Pada masa kini, kepemerintahan undang-undang kerajaan adalah lebih stabil dan mengikut perundangan negara. Rakyat masih ada hak untuk bersuara, mengkritik dan tidak bersetuju dengan kerajaan tanpa dikenakan apa-apa tindakan perundangan.

Tetapi ramai tidak tahu bahawa kerajaan telah melihat semula Pasukan Tindakan Khas Judi, Maksiat dan Gengsterisme (STAGG), Pasukan Tindakan Khas Jenayah Terancang (STAFOC) dan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) yang telah dibubarkan sebelum ini.

Matlamat asal penubuhan tiga unit pasukan polis ini bertujuan melawan dan melumpuhkan habis-habisan jenayah terancang di Malaysia dengan memburu serta menangkap jerung-jerung yang menjadi dalang. Ini disebabkan tanpa adanya ketiga-tiga unit pasukan tersebut, sukar untuk kerajaan membanteras kegiatan jenayah terancang seperti judi dalam talian, scammer dan sebagainya.

Mungkin ramai perlu bertanya kepada parti pembangkang, apakah kaedah terbaik dalam mengawal dan menghapuskan jenayah terancang ini yang semakin lama semakin berani dalam masyarakat hari ini?

Permasalahan ekonomi pascapandemik ini menyebabkan ramai yang terjebak ke dalam kancah jenayah terancang sama ada sedar atau tidak. Ini boleh dilihat dengan peningkatan kadar ketagihan dadah dan bahan terlarang dalam kalangan belia yang semakin mengancam keselamatan sosial negara.

Apa yang membimbangkan adalah masalah dadah ini merupakan jenayah tiga serangkai dalam negara ini iaitu penyeludupan, gengsterisme dan narkotik. Mungkin ramai tidak sedar bahawa ketagihan dadah adalah bermula dengan ketagihan bahan seperti alkohol, vape dan ketum.

MELACUR

Walaupun bahan-bahan tersebut dilihat tidak berbahaya tetapi merupakan punca permulaan seseorang individu mengarah kepada ketagihan yang lebih serius, iaitu narkotik dan ganja. Apabila seseorang terlibat dengan narkotik dan ganja akan mencetus kepada berlakunya kegiatan pecah rumah, menyamun dan melacur.

Bahawa pada hari ini, ketagihan narkotik dan ganja dalam kalangan wanita semakin meningkat disebabkan tekanan hidup, mengikut serasi pasangan yang menagih dan sebagainya. Akibatnya, berlaku perceraian dan pengabaian ke atas anak-anak di bawah tanggungan mereka.

Kita jangan lupa, isu kesejahteraan dan keselamatan sosial amat penting dalam keharmonian sesebuah masyarakat dan negara. Tanpa ada instrumen polisi yang boleh meningkatkan kesejahteraan dan keselamatan sosial, negara bakal terjerumus ke dalam kancah gengster ala mafia, seterusnya mengancam keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

Jadi, semua ahli Parlimen perlu menyokong pindaan SOSMA untuk kemurnian hidup rakyat. Melalui penguatkuasaan SOSMA yang boleh menahan seseorang sehingga 28 hari perlu direnungkan semula dengan pelbagai kekangan yang wujud dalam pihak kerajaan.

Antaranya jenayah yang berlaku di negara ini adalah lebih bersistematik dan dilatih secara profesional tanpa disedari oleh masyarakat awam hari ini. Setiap hari, sistem jenayah terancang sentiasa terkehadapan dari segi teknologi, peralatan dan sokongan rangkaian sosial.

Kita tidak boleh memandang golongan yang terlibat dengan jenayah terancang ini adalah budak-budak yang terkeluar dari sistem persekolahan. Ada dalam kalangan mereka mempunyai pendidikan tinggi dan kepakaran yang lebih mahir daripada pasukan polis sedia ada. Bukan semua anggota polis terlatih dalam jenayah terancang.

Malahan jenayah terancang semakin berkembang dan maju dari segi pengetahuan teknologi.

Jadi, kerajaan pada hari ini amat memerlukan satu akta yang boleh mengutamakan soal keselamatan dan kesejahteraan rakyat. Ini memerlukan sokongan bukan sahaja ahli Parlimen tetapi juga masyarakat awam. Isu kesejahteraan dan keselamatan negara merupakan instrumen penting bagi kerajaan dalam menarik pelaburan luar dan pembangunan sosioekonomi negara. Tanpa adanya elemen-elemen yang mengganggu gugat kelancaran kehidupan sosioekonomi rakyat, maka setiap perancangan kerajaan untuk meningkatkan kehidupan rakyat akan dijayakan dalam masa terdekat. Ini amat penting dalam menangani krisis ekonomi dan sosioekonomi negara dalam pascapandemik Covid-19 di negara ini. – UTUSAN

DR. Iskandar Hasan Tan Abdullah ialah Pensyarah Kanan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×