Shusha berwajah baharu

Shusha berwajah baharu

TAHUN ini, rakyat Azerbaijan menyambut ulang tahun ke-270 kota Shusha.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA tahun ini, rakyat Azerbaijan menyambut ulang tahun ke-270 kota Shusha yang diasaskan oleh Khanat Karabakh Azerbaijan, Panahali Khan pada 1752. Dalam usaha untuk mempercepatkan pemulihan Shusha yang baharu dimerdekakan semula pada Disember 2020, Presiden Ilham Aliyev mengisytiharkan 2022 sebagai Tahun Shusha di seluruh Azerbaijan.

Pada 5 Januari 2021, Presiden Aliyev menandatangani satu deklarasi pengisytiharan kota Shusha sebagai pusat kebudayaan Azerbaijan.

Deklarasi ini penting dalam usaha menaik taraf dan membangunkan semula Shusha serta mempromosikannya di peringkat antarabangsa sebagai mutiara Azerbaijan.

Saya berpeluang menjejakkan kaki ke bumi Shusha beberapa bulan lalu dan melihat sendiri bagaimana kemusnahan dahsyat yang telah dilakukan oleh tentera penceroboh Armenia. Antara jenayah yang telah dilakukan mereka termasuklah merosakkan bangunan atau monumen sejarah, menghancurkan segala rumah dan apa sahaja yang ada di atas bumi kota itu.

Namun dari satu sudut lain, saya dapat perhatikan betapa cepatnya pembangunan semula di kota itu, buruh dan kenderaan berat tidak putus-putus keluar masuk. Ini menunjukkan betapa seriusnya kerajaan Azerbaijan dalam mengembalikan sinar Shusha yang telah terpadam sejak hampir 30 tahun lamanya.

Menurut Kementerian Kebudayaan Azerbaijan, antara gerak kerja yang giat dijalankan di kota itu ialah memulihkan monumen bersejarah, muzium dan perpustakaan serta institusi kebudayaan lain.

“Ia juga dirancang untuk diadakan acara tempatan dan antarabangsa, konsert dan festival di bandar sepanjang tahun, menganjurkan lawatan media dan penggambaran filem baharu,” jelas Maryam Gafarzade, jurucakap Kementerian Kebudayaan Azerbaijan.

Menurutnya lagi, mereka merancang untuk menjalankan acara kebudayaan tradisional seperti kharibulbul, Hari Puisi Vagif dan Festival Muzik Antarabangsa Uzeyir Hajibayli, seorang komposer terkenal Azerbaijan pada abad ke-20.

Kementerian itu juga merancang pada tahun ini untuk mengadakan festival sastera di Shusha bagi meraikan ulang tahun ke-190 Khurshidbanu Natavan, penyair terkenal Azerbaijan abad ke-19.

Mengikut sejarah, Panahali Khan memutuskan untuk membina sebuah ‘kubu abadi di kawasan yang kukuh dan sukar dilalui di pergunungan’ memandangkan lokasi istana sebelumnya tidak memuaskan.

Pembinaan bandar itu bermula pada 1752, kira-kira 1,600 meter di atas paras laut di Karabakh. Setelah itu, ibu kota Khanate dipindahkan ke sana pada 1756 hingga 1757.

Shusha telah lama menjadi salah satu pusat pentadbiran, ekonomi dan kebudayaan utama Azerbaijan sejak penubuhannya oleh penduduk asal Azerbaijan. Bandar ini memainkan peranan penting dalam pembangunan industri tenunan permaidani Azerbaijan.

PARIS

Shusha juga merupakan pusat menganyam permaidani di wilayah Karabakh pada separuh kedua abad ke-19 dan permaidani yang dihasilkan di Shusha dieksport ke pasaran global pada akhir tahun abad sama. Penenun permaidani Shusha mengambil bahagian dan memenangi anugerah dalam pertunjukan antarabangsa di Paris pada 1867.

Pada akhir abad ke-18, Shusha menjadi salah satu pusat perdagangan penting di seluruh wilayah Kaukasus Selatan. Pedagang membawa pelbagai barangan ke Shusha dari seluruh kota di Azerbaijan lainnya seperti Baku, Sheki, Nakhchivan dan Ganja.

Selain itu Empayar Uthmaniyyah, Rusia, Iran, India dan negara-negara Eropah turut memainkan peranan penting dalam hubungan perdagangan dengan Shusha. Pedagang dari Shusha adalah peserta tetap di pameran terkenal di Leipzig, Jerman dan Nizhny Novgorod, Rusia.

Shusha sangat hebat sehinggakan ramai tokoh terkemuka Azerbaijan berasal dari kota ini. Muzik antara perkara terpenting di kota ini sehingga mendapat julukan sebagai pusat muzik Azerbaijan dan konsert di Kaukasus Selatan.

Saya rasa cukup bertuah kerana mendapat pengalaman menziarahi kota Shusha, namun saya dapat rasakan kurang dari dua tahun lagi, kota itu bakal berwajah baharu.

Saya yakin sekiranya berpeluang ke sana lagi, kota Shusha pasti berubah secara drastik.

Kerajaan Azerbaijan mengalu-alukan kedatangan para penyumbang dan pelabur dari negara kita untuk turut bersama-sama membangunkan bumi Shusha. Apa pun, kita berharap bumi Shusha akan sentiasa terpelihara dan dilindungi daripada tangan-tangan musuh. Kejayaan Azerbaijan membebaskan bumi Shusha harus diambil iktibar oleh kita semua. – UTUSAN

PENULIS ialah peneliti isu semasa dan antarabangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×