TULAR video perbuatan seorang individu yang memperolok-olokkan pergerakan orang kurang upaya (OKU) fizikal sebagai bahan jenaka sehingga memaksa komuniti OKU bersuara dan melaporkan tindakan berkenaan kepada pihak berkuasa. Tindakan individu yang sama sebelum ini juga tular dengan perbuatan menjengkelkan, seolah-olah ingin mengekalkan perhatian masyarakat kepada dirinya.
Perbuatan yang mengundang laporan polis, kecaman daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) OKU serta surat terbuka oleh senator yang mewakili OKU di Dewan Negara, Senator Ras Adiba Radzi memaparkan isu menyindir OKU kali ini serius dan sensitif. Sikap ini menggambarkan segelintir masyarakat negara kita masih ketinggalan dari segi adab dan pemahaman nilai-nilai murni terhadap kumpulan istimewa dalam masyarakat.
Sikap empati segelintir masyarakat terhadap komuniti OKU nampaknya masih belum mencapai tahap yang seiring dengan kemajuan negara.
Seperti acara bermusim, tindakan menyindir atau memperolok-olokkan OKU menjadi pilihan buat segelintir masyarakat untuk menarik penonton dan pengikut di media sosial.
Apakah segelintir masyarakat ini masih lagi terperangkap dengan minda dan mentaliti kelas ketiga? Atau adakah mereka mempunyai pemikiran katak di bawah tempurung yang menganggap perbuatan jenaka tentang individu OKU sebagai gurauan yang boleh diterima masyarakat?
Umum mengetahui, individu OKU sebahagian besarnya menjadi OKU sejak lahir manakala sebahagian lagi terjadi kerana kemalangan, penyakit dan sebagainya. Menurut takrifan dalam Akta Orang Kurang Upaya 2008 (Akta 685), OKU adalah mereka yang mempunyai kekurangan jangka panjang fizikal, mental, intelektual atau deria yang apabila berinteraksi dengan pelbagai halangan, boleh menyekat penyertaan penuh dan berkesan dalam masyarakat.
Mencari maklumat asas tentang OKU dari laman web agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, semudah hanya menaip perkataan ‘OKU’ di enjin carian dan hasil carian tersenarai di tempat pertama yang membawa kepada laman web untuk menjawab apa itu OKU di Malaysia. Namun, perbuatan menyindir, memperolok-olokkan malah menghina OKU bukanlah pertama kali atau asing.
Sekiranya diimbau kembali, isu menyindir dan memperolok-olokkan OKU ini kebiasaannya berakhir dengan sesi permohonan maaf selepas diberi perhatian dan diasak. Malangnya isu ini terus berlaku seolah-olah kecaman masyarakat sebelum ini tidak dijadikan teladan.
OKU MALAYSIA
Sindiran ini turut terzahir kepada satu kumpulan yang tidak dikategori secara khusus dalam kategori OKU Malaysia, iaitu kumpulan penyakit jarang jumpa. Sindiran netizen ini dapat diikuti dalam hantaran yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan di media sosial sempena Hari Penyakit Jarang Jumpa 2022 baru-baru ini, di mana sesetengah komen yang ditulis sangat mengecewakan malah ada masyarakat yang melakukan buli siber dengan mengaitkan penyakit jarang jumpa sebagai penyakit yang terjadi kerana kempen vaksin Covid-19, menuduh penyakit jarang jumpa sebagai penyakit yang direka-reka dan ada yang menganggap penyakit jarang jumpa adalah penyakit yang disengajakan.
Sebagai solusi jangka panjang, Akta 685 yang ada wajib dipinda dengan memasukkan saranan-saranan baharu yang telah banyak disampaikan oleh NGO OKU dalam pelbagai sesi penyerahan memorandum kepada pelbagai kementerian sebelum ini. Akta ini seharusnya mempunyai kuasa yang selayaknya dan menjadi pencegah daripada diskriminasi segelintir masyarakat terhadap komuniti OKU Malaysia.
Saranan pindaan ini bukan baharu disuarakan. Penangguhan pihak berwajib mengangkat pindaan ini telah membuka peluang isu sebegini tular saban tahun. Pindaan ini perlu disegerakan selari dengan usaha kerajaan yang menerima pakai Matlamat Pembangunan Mampan 2030 (SDG 2030) yang diperkenal oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Lazimnya, tidak semua individu mempunyai pengalaman mempunyai ahli keluarga atau kenalan dalam komuniti OKU. Hal ini membuatkan majoriti masyarakat tidak peka dengan cabaran dan halangan yang dihadapi individu OKU.
Namun, memahami sensitiviti komuniti OKU tidaklah sukar seperti dekad sebelum ini, bilamana kewujudan internet dan media sosial membantu menambah baik penyampaian maklumat berkaitan komuniti OKU kepada masyarakat.
Maklumat ini sekiranya dicari telah tersedia dalam rujukan penulisan, video dan ulasan yang mana kandungan-kandungan perkongsian telah disediakan oleh agensi kerajaan, NGO dan orang perseorangan. Sejak kewujudan platform TikTok dan Instagram, semakin ramai individu OKU turut tampil mengambil peluang untuk berkongsi cabaran dan kehidupan seharian.
OKU hari ini bersikap terbuka, positif dan meraikan perbezaan. Lebih utama lagi, OKU juga tidak lagi mahu dipandang hanya untuk simpati atau sebagai liabiliti. Ini terbukti bilamana saban tahun ramai OKU mendaftar masuk ke menara gading dan membuktikan sistem pendidikan khas yang diusahakan oleh kerajaan sebelum ini mula membuahkan hasil untuk OKU berdikari.
Di samping kisah-kisah kejayaan usahawan OKU yang memberi inspirasi. Tidak lagi tersisih daripada masyarakat, komuniti OKU turut ingin mengikis imej negatif yang digambarkan masyarakat sebelum ini yang telah banyak menyukarkan individu OKU dan keluarga dalam mendapatkan kesaksamaan pelbagai aspek sosial dan ekonomi.
Akan datang sekiranya ada pengguna media sosial yang memberi alasan perbuatan tiada niat, tiada maklumat sebagai justifikasi untuk memperlekehkan golongan OKU, ia tidak dapat diterima lagi. Ini kerana komuniti OKU pada hari ini telah ke hadapan dalam berkongsi dengan awam secara terbuka tentang keupayaan dan keilatan mereka. – UTUSAN
PENULIS ialah belia penyakit jarang jumpa. Pernah terpilih sebagai Hero Kempen Hari Penyakit Jarang Jumpa Sedunia 2021 dan Pengasas WAUlahh by Malaysian RD Youth (Platform Kempen Kesedaran Penyakit Jarang Jumpa).










