SEJAK filem Naan Oru Malaysian (1991) arahan Pansha (Panchacharam Nalliah) muncul sebagai filem Tamil tempatan pertama ditayangkan di pawagam, industri filem Tamil di Malaysia mencapai pelbagai kemajuan dan kejayaan yang membanggakan. Saya secara peribadi amat selektif dalam menonton filem mana-mana bahasa dan dari mana-mana negara. Malah, filem Tamil tempatan seterusnya yang saya tonton di pawagam ialah Jagat (2015) arahan Shanjhey Kumar Perumal. Malah, beberapa bulan sebelum filem bermutu itu ditayangkan, saya menasihati Shanjhey supaya tidak mengehadkan promosi kepada kaum India sahaja.
Walaupun Jagat amat berjaya, Shanjhey menerusi catatan di media sosial pada Oktober 2016 menyelar kaum India kerana sibuk dengan filem Kollywood, iaitu filem Tamil dari Tamil Nadu, India. Katanya, kejayaan filem Jagat adalah semata-mata sokongan penonton bukan kaum India.
Kenyataan angkuh seperti ini pasti memberi kesan kepada khalayak kaum India di Malaysia. Tambahan pula, sesungguhnya mereka memang ada pilihan filem bermutu bahasa Tamil, Hindi, Malayalam, Telugu, Marathi dan sebagainya dari India. Belum lagi mengambil kira filem bahasa-bahasa lain dari seluruh dunia.
Saya perhatikan cahaya harapan baharu apabila filem Sughamaai Subbulakshmi ditayangkan di pawagam pada Mei 2018. Pengarah baharu, Karthik Shamalan terpaksa merayu sokongan penonton menerusi media sosial. Hal-hal seperti ini menggambarkan realiti filem Tamil tempatan yang terpaksa bersaing dengan pelbagai filem lain sama ada filem tempatan, India atau antarabangsa.
Dalam keadaan ini, judul filem Paramapatham (2021) menarik perhatian saya kerana dua sebab. Pertama, judulnya sama dengan sebuah cerpen saya dalam kumpulan fiksyen Putaria (2020). Kedua, permainan paramapatham amat lazim dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia tetapi ramai yang tidak tahu asal-usulnya.
ULAR DAN TANGGA
Kita tentu biasa bermain ular dan tangga sejak kecil. Setiap pemain melontar dadu untuk mengetahui berapa langkah perlu diambil. Pergerakan itu mungkin membawa kepada ‘tangga’ (mara) atau ‘ular’ (undur). Fakta yang ramai orang tidak tahu adalah permainan ini yang terkenal di seluruh dunia sebenarnya berasal dari India. Pada masa dahulu, ia turut dikenali dengan nama seperti Moksha Patam, Vaikunthapali, Mokshapat dan Parama Sopana Patam.
Fakta lebih menarik, permainan ini asalnya ada kaitan dengan unsur Hindu, iaitu konsep karma (diwakili ular) dan moksha (diwakili tangga). Malah, paramapatham secara tradisi menjadi permainan semasa sambutan keagamaan Vaikuntha Ekadesi (Disember/Januari).
Maka, saya teruja untuk menonton filem Paramapatham arahan Thanesh Perrabu dan Viknes Perrabu. Tentu sahaja penanda aras yang saya letakkan amat tinggi. Saya tidak mahu menyokong sebuah filem semata-mata kerana ia keluaran tempatan.
Pada masa sama, saya teringat juga filem Kollywood, Paramapadham Vilayatu (2021) dan filem Hollywood, Jumanji (1995). Apakah keistimewaan Paramapatham yang menang 16 anugerah peringkat antarabangsa serta tercatat dalam The Malaysia Book of Records? Filem ini ditayangkan di pawagam tempatan pada tahun lalu tetapi kurang sambutan kerana situasi penularan Covid-19. Kini, Paramapatham ditayangkan di peringkat global menerusi pelbagai pelantar berbayar seperti MXPlayer, Film Wallet, Hungama Play dan Amazon.
Pada penelitian saya, 30 saat pertama filem ini mampu mencengkam minat penonton. Unsur sejarah dan mistik serta grafik menarik membuatkan saya teruja. Apatah lagi apabila disentuh tentang kuil misteri di Kerala, India.
MISTERI
Namun begitu, apa yang disajikan seterusnya dalam filem hampir dua jam ini bukanlah sesuatu yang baharu bagi sesiapa yang sudah banyak menonton filem thriller, pengembaraan, misteri dan penyiasatan dari India dan luar negara. Maka, saya tidak akan menyentuh mengenai jalan cerita atau sudut artistik filem ini. Sebaliknya, saya lebih tertarik dengan pelbagai unsur sejarah dan budaya India yang dimasukkan khususnya berkaitan paramapatham iaitu permainan ular dan tangga.
Viknes mengaku mendapat idea bagi filem ini selepas membaca sebuah buku dan mendapat tahu asal-usul permainan paramapatham dari India. Sedikit maklumat turut diselitkan dalam filem. Dinyatakan paramapatham dibawa oleh Rajendra Chola ke Kadaram (Kedah).
Dalam filem ini, diceritakan pada 1800-an, seorang pegawai British membawa pelbagai barangan termasuk papan permainan paramapatham dari sekitar Gunung Jerai ke sebuah rumah agam di Pulau Pinang. Dia dan rakan-rakannya hilang selepas bermain paramapatham. Pada 8 Januari 2017, empat rakan pada masa kini menemui permainan itu. Apa yang menarik, tarikh itu ialah sambutan Vaikuntha Ekadesi.
Digambarkan bagaimana pengalaman bermain paramapatham memberi kesan kepada hidup empat rakan berkenaan. Malah, kesan buruk juga melanda kerana mereka tidak menamatkan permainan.
Filem ini tidak sepenuhnya berkaitan alat permainan paramapatham yang penuh mistik. Fakta yang dipaparkan tentang misteri permainan ini juga sekadar rekaan. Lebih kurang seperti unsur fiksyen yang diketengahkan dalam Jumanji.
Pada hakikatnya, paramapatham dimainkan secara tradisional oleh individu pelbagai peringkat umur khususnya pada malam sambutan Vaikuntha Ekadesi. Selain mengisi masa dan memastikan mereka dapat berjaga sepanjang malam, permainan ini juga digunakan untuk menyampaikan ajaran agama Hindu. Kanak-kanak, remaja dan orang dewasa diajar dan diingatkan pelbagai konsep agama dan budaya menerusi permainan ini. Tentulah lama-kelamaan, paramapatham hanya tinggal sebagai sebuah permainan bagi tujuan hiburan.
Maka, usaha pasangan adik-beradik Thanesh dan Viknes menyelitkan beberapa maklumat tentang sejarah dan asal-usul permainan ini wajar dipuji. Filem Paramapatham mungkin tidak berjaya menarik minat khalayak bukan kaum India seperti Jagat. Sekurang-kurangnya, generasi muda kaum India di Malaysia berpeluang menimba sedikit ilmu dan fakta menarik tentang paramapatham dari sudut sejarah dan budaya. Semoga Thanesh dan Viknes tidak mengulangi kesilapan yang dilakukan Shanjhey, lalu menyebabkan sumpahan paramapatham menjadi kenyataan. – UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.










