Mengubat rindu Ramadan

Mengubat rindu Ramadan

KITA perlu sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga meskipun prosedur operasi standard (SOP) dilonggarkan kerana dibimbangi boleh dijangkiti Covid-19 sekali gus terpaksa dikuarantin semasa Hari Raya Aidilfitri nanti. – UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERCAKAP soal Ramadan, tentu kita tidak lagi dapat melihat lesung indik, mendengar alu bertingkah dan gotong-royong tumbuk padi pulut dan padi jawi untuk buat tepung sebagai persediaan juadah berbuka. Segala jenis lesung dan alu itu sudah berpindah ke muzium, jadi pameran orang ramai.

Nostalgia Ramadan selalunya menghimpit perasaan terutamanya orang Islam. Banyak istilah berkait-rapat dengan Ramadan. Selain daripada istilah-istilah yang sebati dengan suasana Ramadan di kampung seperti lesung, alu, padi pulut, padi jawi, terawih, moreh, bertukar juadah dan sebagainya, setiap perubahan zamannya dilengkapi dengan pelbagai elemen sebagai pengisi.

Zaman sekarang, generasi muda sudah tidak kenal lagi alu, lesung indik, padi pulut gantung alu dan sebagainya tetapi mereka lebih kenal bazar Ramadan, bufet berbuka puasa di restoran dan hotel pelbagai bintang. Istilah-istilah dan pendekatan baharu menyambut Ramadan tetap meriah mengikut zaman dan apa yang ada sekarang tentu menjadi nostalgia pula berpuluh-puluh tahun akan datang.

Rencana ini bukannya hendak mengimbau Ramadan zaman lampau tetapi sekadar mengingat balik beberapa Ramadan sebelum ini. Dua kali sambutan bulan Ramadan tidak dapat diadakan dengan rutin seperti sebelumnya. Kesan pandemik Covid-19 ternyata menjejaskan segala bentuk aktiviti termasuk perniagaan dan keagamaan serta kemasyarakatan.

Ini tidak bererti umat Islam tidak boleh berpuasa tetapi banyak perkara lain yang bersangkut-paut dengan puasa tidak boleh diadakan seperti selalu. Ramai yang bertarawih di rumah selama dua tahun berturut-turut atau kalau boleh bersembahyang di masjid atau surau pun, jumlah jemaah dikurangkan.

Peniaga-peniaga tetap masih boleh menjalankan perniagaan mereka tetapi bukanlah di bazar atau gerai. Mereka masih boleh menjalankan perniagaan menerusi dalam talian, buka pesanan kemudian menghantar makanan dan minuman ke rumah-rumah. Bezanya, perniagaan tidak semaju mana.

Oleh sebab perintah kawalan pergerakan (PKP), ramai yang bekerja dari rumah atau tidak bekerja langsung. Jadi, peluang menyediakan juadah berbuka dan bersahur boleh dilakukan sendiri. Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan sepanjang dua kali Ramadan dan Hari Raya Raya Aidilfitri sebelum ini, sudah ramai jadi tukang masak.

Daripada tidak tahu memasak sudah pandai memasak. Malah mungkin ada yang lebih pandai daripada cef di restoran-restoran ternama atau hotel-hotel.

DOS PENGGALAK

Jadi, sepanjang dua kali Ramadan disambut pada 2020 dan 2021, keadaannya hambar sekali. Walaupun aktiviti jualan juadah dibuka selama dua minggu sepanjang Ramadan 2020, orang ramai masih takut-takut untuk keluar berbelanja. Peniaga-peniaga juga tidak dapat mengaut keuntungan seperti selalu kerana mereka juga memikirkan risiko seperti kekurangan pelanggan oleh sebab ramai yang memesan makanan secara dalam talian atau menyediakan sendiri di rumah.

Tahun ini, kita sudah mula dapat melihat usaha-usaha hendak menghidupkan Ramadan menjadi seperti biasa. Oleh sebab ramai yang sudah mendapat vaksin lengkap termasuk dos penggalak, orang ramai bebas keluar dari rumah sama ada untuk bekerja dalam pelbagai sektor, makan di restoran atau gerai, melancong, berjumpa rakan, bersembahyang Jumaat dan berjemaah seperti biasa.

Gerai-gerai persendirian untuk menjual juadah berbuka sudah mula disediakan. Bagi yang tinggal berhampiran jalan besar atau jalan utama di sekitar pekan dan kampung, mereka yang berminat dalam perniagaan akan menjual pelbagai jenis juadah untuk berbuka, tidak kira makanan berat, kuih-muih dan juga minuman. Walaupun ini dianggap ‘gerai sementara’ kerana berniaga hanya sebulan, peluang tidak akan dilepaskan kerana Ramadan memang menjadi lubuk rezeki peniaga.

Dalam pada itu, tempahan untuk mendapatkan tapak berniaga di bazar Ramadan sudah dibuka di mana-mana. Kain pemidang sudah tergantung di mana-mana yang menunjukkan Ramadan kali ini akan menjadi seperti biasa. Inilah antara pengubat rindu Ramadan selepas dua tahun suasana ini tidak dinikmati oleh kebanyakan kita.

Apa pun, apa yang perlu kita fahami ialah kita sebenarnya masih terdedah kepada bahaya Covid-19 kerana kes harian di negara ini masih tinggi. Walaupun nampak orang ramai sudah tidak lagi takut-takut dengan Covid-19 kerana kita sudah hidup bersama pandemik ini, kewaspadaan terhadapnya tetap perlu ada.

Pada masa ini, ada beberapa perkara perlu dilihat sebagai faktor yang boleh menyebabkan Covid-19 sukar dikekang. Pertama, pintu sempadan dibuka semula semalam.

Kedua, pelajar sekolah juga belajar seperti biasa bulan ini. Ketiga, penjarakan fizikal sudah dilonggarkan. Ini bermakna fasa endemik menjadikan pergerakan dan aktiviti pelbagai golongan menjadi normal semula. Ini juga memperlihatkan wabak ini mudah menjangkiti jika kepatuhan terhadap pemakaian pelitup muka diabaikan.

Bagi yang bergejala, duduklah sahaja di rumah dan begitu juga mereka yang masih belum mendapatkan dos penggalak, juga sebaiknya tidak perlu ke mana-mana atau bercampur dengan orang lain. Dalam soal ini, kita mestilah berdisiplin agar wabak ini tidak terus menekan hidup kita. Jangan jadikan kelonggaran yang diberi sebagai batu loncatan untuk bertindak sewenang-wenangnya tanpa memikirkan risiko yang menanti.

Kita bimbang, jika kita tersalah langkah, silap-silap hari bulan, kena kuarantin pula di rumah, apatah lagi menjelang Hari Raya Aidilfitri nanti. – UTUSAN

PENULIS ialah penganalisis sosial dan bekas guru.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×