Mana dahulu, pemilihan UMNO atau PRU15?

Mana dahulu, pemilihan UMNO atau PRU15?

APAKAH perkembangan terbaharu dalam UMNO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GESAAN supaya diadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan segera bergema dalam Perhimpunan Agung UMNO 2021 pada Mac lalu. Ini mungkin ada hubungan rapat dengan kemenangan Barisan Nasional (BN)/UMNO dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

Kemenangan besar dalam dua PRN ini dilihat sebagai satu kebangkitan semula sokongan pengundi kepada BN/UMNO. Sejauh mana benarnya pengundi telah kembali memberi sokongan kepada BN/UMNO adalah perkiraan lain. Apa yang lebih penting adalah keyakinan pimpinan utama UMNO akan kemungkinan meraih kemenangan dan menguasai semula pucuk pimpinan dan politik negara.

Adakah UMNO benar-benar mempunyai kata putus mutlak dalam menentukan sama ada PRU15 perlu diadakan segera? Ini kerana dalam kalangan UMNO sendiri ada yang mahukan PRU15 diadakan segera dan ada juga pemimpin agak berpengaruh tidak menyatakan dengan jelas.

Keadaan politik dan pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob relatifnya berada dalam keadaan stabil, secara bandingan dengan keadaan politik dan pentadbiran sebelum Ogos 2021. Kerjasama dan hubungan dengan pembangkang tidak menampakkan masalah serta konflik besar. Memorandum persefahaman (MoU) dengan parti pembangkang pada September 2021 memberikan kesan positif kepada darjah kestabilan politik dan pentadbiran Ismail Sabri.

Keputusan membubarkan Parlimen dan mengadakan PRU15 boleh berlaku dengan nasihat Perdana Menteri (PM) dan diputuskan oleh Yang di-Pertuan Agong. Nampak jelas yang mahukan PRU15 dengan cepat adalah pimpinan utama UMNO. Mereka yang mahukan PRU15 segera tidak berada dalam Kabinet.

Persoalan perlu difikirkan dan saya lihat sebagai suatu yang penting adalah manakah perlu didahulukan, pemilihan UMNO atau PRU15? Pemilihan UMNO sepatutnya diadakan sebelum hujung tahun ini. Apakah implikasi kepada Ismail Sabri jika PRU15 diadakan lebih awal dari akhir tahun ini? Dalam situasi ini, PRU15 besar kemungkinan diadakan antara 31 Julai hingga Disember ini.

Jika dalam tempoh Ismail Sabri sebagai Naib Presiden UMNO dan Presiden adalah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, kuasa menentukan calon PRU15 terletak di tangan Presiden. Secara logiknya, Ahmad Zahid akan memastikan ‘orang-orangnya’ menjadi calon. Ismail Sabri sebagai salah seorang Naib Presiden tidak mempunyai kuasa yang kuat dalam menentukan calon PRU15 walaupun beliau adalah ketua kerajaan. Ini berbeza dengan tradisi UMNO dan struktur kedudukan dalam kerajaan sebelum ini di mana PM juga adalah Presiden UMNO.

Dalam hal ini, adalah wajar pemilihan UMNO didahulukan sebelum PRU15 diadakan. Secara mudahnya kita dapat katakan struktur UMNO itu perlu diperkukuhkan terlebih dahulu sebelum PRU15. Situasi akan lebih kukuh dan stabil jika PM juga adalah Presiden UMNO.

Dua kemungkinan berlaku jika PRU15 diadakan sebelum pemilihan UMNO. Pertama, sokongan rakyat kepada calon BN/UMNO. Umumnya sebahagian besar rakyat tidak begitu suka dengan pemimpin yang ada kes rasuah dan salah guna kuasa menerajui kerajaan. Presiden UMNO masih dalam kes perbicaraan mahkamah. Hubungan rapat Presiden dan bekas Presiden/PM dilihat suatu yang tidak disukai rakyat umum.

Perkara paling jelas adalah peratus undi yang rendah dalam kedua-dua PRN Melaka dan Johor. Jumlah tidak keluar mengundi, iaitu sekitar 40 peratus, ke mana arah sokongan mereka dalam PRU15? 40 peratus ini adalah jumlah besar yang boleh menentukan pola keputusan PRU15.

Cabaran lebih besar bagi BN/UMNO, jika parti-parti pembangkang menyusun struktur kerjasama baharu. Dalam kedua-dua PRN, parti-parti pembangkang dilihat berada dalam keadaan berpecah-belah dan tiada pertandingan satu lawan satu dengan BN/UMNO. Jika berlaku satu lawan satu, besar kemungkinan jumlah kerusi dimenangi BN berkurangan daripada yang diperoleh dalam dua PRN itu.

Kestabilan dalaman UMNO juga persoalan besar perlu difikirkan oleh seluruh pimpinan dan ahli parti jika mahu kemenangan yang benar-benar terjamin. Kenyataan seperti ‘kita tumpukan pada PRU15 dan ketepikan dahulu pemilihan parti’ mungkin akan membawa kesan buruk kepada darjah kemenangan UMNO. PAU 2015 dan tahun-tahun seterusnya sebelum PRU14 (2018) menyatakan perkara sama. Akibatnya keputusan PRU14, BN/UMNO ditolak rakyat. Bagaimana mahu berjuang dan menang PRU15 kalau keadaan dalaman UMNO tidak benar-benar stabil? Bagaimana kapal UMNO mahu belayar menempuh gelombang kalau terumbang-ambing, retak dan bocor di sana-sini?

Kedua, siapa bakal menjadi PM jika BN/UMNO menang majoriti? Adakah Ismail Sabri akan terus menjadi PM? Atau Presiden UMNO akan mengambil-alih sebagai PM baharu? Adakah ini akan diterima oleh sebahagian besar rakyat? Adakah mungkin seorang yang belum selesai kes mahkamah dengan pelbagai pertuduhan akan menjadi seorang PM?

Jadi, antara PRU15 sebelum atau selepas pemilihan UMNO adalah persoalan besar perlu difikirkan oleh semua yang terlibat. Rakyat sedang memerhati, mendapat dan mengumpul maklumat sebanyak mungkin bagi membuat keputusan serta pengundian yang tepat.

UMNO jangan salah sangka dan salah tafsir dengan kemenangan dua PRN lalu. PRU dan PRN adalah dua situasi berbeza. Jangan yang dikejar tak dapat, yang dikendong pula keciciran. Fikir semasak-masaknya sebelum bertindak. Asas keputusan seharusnya berteraskan kebenaran mutlak dan prinsip kejujuran, bukan sekali-kali perasan rakus memikirkan kuasa semata-mata. Keputusan tergesa-gesa tanpa analisis tepat situasi semasa, kemungkinan membawa padah di luar jangka. – UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. Mohd. Noor Yazid ialah Pensyarah di Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×