RABU lalu, tersebar klip video seorang pensyarah memarahi pelajarnya yang tidak mempunyai komputer riba walaupun sudah berada di semester lima. Pensyarah berkenaan dikecam teruk oleh warga maya di media sosial. Malah sampai ke tahap membuli dan mencederakan peribadi.
Malah ada hantaran di media sosial yang mengugut dan mengancam keselamatan. Alamat rumah dan nombor telefon didedahkan kepada umum untuk memberi tekanan.
Kelakuan ini ternyata melampaui batas dan tidak mencerminkan pekerti yang baik.
Tindak balas melampaui ini disebabkan sesetengah warga maya tidak memahami isu dalam konteks premis asal – kuliah dalam talian. Khalayaknya pelajar dan jumlah terhad. Apabila dicuri sebar, premis asal berubah menjadi terbuka kepada umum. Apabila berubah premis dan medium, makna dan tanggapan juga turut berubah.
Bagaimanapun, mereka yang memberi tindak balas melampaui tidak memahami premis asal video berkenaan. Mereka melihat seperti siaran di televisyen yang ditujukan kepada semua orang. Hakikatnya, sama seperti dalam kuliah, tertutup dan berlaku antara pensyarah dengan pelajar.
Bayangkan kalau seorang bapa bercakap dengan suara agak tinggi kepada anaknya di rumah. Kemudian dirakam dan disebarkan. Hasilnya makna dan tanggapan sebenar sudah berubah. Tujuan juga berubah malah timbul pelbagai tanggapan yang menyimpang.
Warga maya boleh melatah, terloncat atau marah sebagai tindak balas daripada yang ditonton di media sosial. Bagaimanapun, pada masa sama mereka perlu belajar membaca yang tersirat. Terimalah hakikat bahawa hidup ini ada kalanya seperti iceberg yang terlindung lebih besar daripada yang kelihatan.
Kata-kata yang seolah-olah menghina B40 (golongan isi rumah berpendapatan rendah) secara tersiratnya mencabar pelajar supaya keluar dari lingkungan itu. Salahkah pensyarah membawa anak-anak muda yang dibimbingnya keluar daripada pusaka kemiskinan yang membelenggu B40?
Kalau untuk khalayak umum, pensyarah itu sudah tentu tidak berkata demikian. Tentu realistik tidak mampu mengubah khalayak yang sudah sebati dengan B40. Beliau pensyarah, bukan ahli politik. Malah ahli politik pun tidak berjaya mengubah. Maka yang dilakukan ialah membentuk rebung menjadi bentuk yang dikehendaki – keluar dari belenggu kemiskinan.
Kita mesti berlaku adil kepada pensyarah berkenaan dan setiap warga maya perlu meletakkan kembali video itu dalam premis asal – kuliah dalam talian. Letakkan diri mereka sebagai pelajar dan menghayati makna kemarahan pensyarah itu. Inilah cara orang bijak dan berfikir berdepan dengan media sosial.
Tindak balas melampau berkumpulan dan berduyun-duyun ini hanya berlaku kepada individu yang tenggelam dalam keadaan disebut mentaliti massa (mob mentality).
Antara ciri-ciri mentaliti massa adalah menjadikan arus pendapat utama sebagai satu tanda aras kebenaran.
Sebahagian besar memberi tindak balas mengecam menggunakan perkataan yang menunjukkan rendahnya nilai budi dan pekerti. Mereka tidak memberikan hujah tetapi serangan kepada hal-hal peribadi. Itulah kerendahan pekerti disebabkan prasangka melampau kepada yang dianggap ‘elit.’
MANUSIA TEWAS
Peristiwa yang berlaku itu adalah suatu yang memalukan bangsa (Melayu) dan negara. Warga maya tidak melihat hasrat meninggikan tahap pendidikan kerana dibelenggu emosi golongan daif yang bercelaru. Maka tidak ada gunanya mempunyai telefon pintar kalau tidak diselarikan dengan ketinggian pekerti dan akhlak.
Banyak yang rasa terhina kerana tidak mampu menghadam makna sebenar untuk mengeluarkan daripada belenggu B40. Mereka tidak memahami frasa yang menjadi teras dalam video itu, “Saya dulu ada lima pasang pakaian saja.” Maknanya beliau dahulu pun pernah susah dan hanya orang susah lebih bertekad mengeluarkan orang lain daripada keadaan itu.
Dalam konteks isu ini, kualiti warga maya sebahagian besarnya rendah dan dibelenggu emosi sebagai ‘manusia tewas’ dalam perlumbaan di bidang ekonomi, pendidikan malah budaya dengan kaum lain. Pensyarah itu hanya menjadi sasaran melepaskan kemarahan.
Kalau benarlah mereka dalam kalangan B40 terhina dari sudut ekonomi, tunjuklah mereka tetap menang kerana memiliki sisi peribadi yang menjulang pekerti. Malangnya sebahagian besar daripada mereka sudah muflis pekerti.
Bagaimanapun pada Khamis, banyak bekas pelajar pensyarah berkenaan mendedahkan perkara sebenar. Walau apa sekalipun, jiwa dan perasaan individu yang dikecam sudah terluka. Parah dan cedera.
Peristiwa tragis ini mengingatkan saya pada buku The Crowd: A Study of Popular Mind (1895) tulisan Gustare Le Bon. Buku ini memaparkan mentaliti massa memberikan kesan buruk dan berpenjangan kepada masyarakat. Untuk mengatakan faktor majoriti bukan tanda aras kebenaran adalah suatu yang amat sukar.
Apa lagi pada era di mana definisi kejiranan, sahabat dan sosialisasi antara individu merentas geografi berbanding sebelum kewujudan media sosial. Arus pendapat utama sering menenggelamkan pandangan daripada minoriti atau yang menongkah arus itu.
Maka tidak hairanlah apabila sesetengah individu hilang pendapat atau pemikiran apabila berada dalam kelompok maya. Sebahagian besar yang tidak ada pendapat atau pemikiran akan larut dalam pendapat utama, sama ada benar atau sebaliknya.
Le Bon menggariskan beberapa ciri psikologi khalayak iaitu impulsif, cepat marah, ketidakupayaan menaakul, tiada pertimbangan yang kritis dan terlalu emosi. Kemudian mereka tenggelam dalam khalayak majoriti dan tidak ada lagi diri atau pendirian terhadap sesuatu perkara.
Tidak semua perkara yang menjadi arus pendapat utama di media sosial berlaku secara semula jadi. Banyak yang dibentuk atau dirancang untuk mencapai matlamat tertentu. Hal-hal beginilah menuntut keupayaan menaakul supaya tidak masuk perangkap.
Pihak yang mempunyai agenda menggunakan media sosial membentuk pendapat utama yang kemudiannya memerangkap individu yang tidak punya apa-apa – pemikiran dan keyakinan.
Saya percaya Profesor Roshana Takim realistik dengan dengan permasalahan popular mind seperti yang diungkapkan oleh Le Bon dalam bukunya. Semoga jiwa dan peribadi beliau tidak cedera dengan kejadian berkenaan. Memilih berterus terang demikianlah adatnya – tidak disukai oleh yang tidak memahami. – UTUSAN
PENULIS ialah Editor Kuseman.com.










