Jika bukan Melayu, nak harap siapa lagi?

Jika bukan Melayu, nak harap siapa lagi?

HAK orang Melayu, Islam dan bumiputera menjadi pasak negara dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. – UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JIKA bukan Melayu pertahankan Islam, nak harapkan siapa? Jika bukan Melayu yang pertahankan bangsa Melayu dan bumiputera, nak harapkan siapa?

Jika bukan Melayu yang pertahankan raja-raja Melayu, nak harapkan siapa? Jika bukan Melayu yang pertahankan adat budaya Melayu dan bumiputera, nak harapkan siapa?

Jika bukan Melayu yang pertahankan tanah-tanah Melayu dan bumiputera, nak harapkan siapa? Jika bukan Melayu yang pertahankan rizab Melayu, nak harapkan siapa?

Jika bukan Melayu yang pertahankan baju Melayu, nak harapkan siapa?

Jika bukan Melayu yang pertahankan nama-nama Melayu seperti Keretapi Tanah Melayu, nak harapkan siapa?

Jika bukan Melayu yang pertahankan untuk mengekalkan jati diri dan identiti Melayu, nak harapkan siapa? Jika bukan Melayu yang pertahankan Utusan Melayu, nak harapkan siapa? Bandingkan dengan China Press, Shin Chew, Nanyang Siang Pau?

Jika bukan Melayu yang mempertahankan bahasa Melayu, nak harapkan siapa? Inilah dilema Melayu, nasib Melayu di bumi Melayu.

Nama alam Melayu dan bangsa Melayu sehingga menerbitkan nama negaranya, Tanah Melayu, kemudian menjadi Malaysia, masih lagi ada nama Melayu. Malang apa jua berkaitan Melayu seolah-olah merempat di bumi sendiri. Melayu tidak mengakar di buminya sendiri.

Melayu masih miskin, merempat, ekonominya lemah, tanahnya banyak tergadai, adat budayanya begitu longlai, anak muda masih mamai dibuai mimpi.

Melayu terus dirundung pelbagai masalah. Melayu juara dadah, Melayu runtuh akhlak, Melayu mudah terjebak dalam kancah rasuah, Melayu gadai tanah Melayu. Melayu tikam Melayu, saling fitnah-memfitnah. Kata mengata, keji mengeji. Apa sudah jadi dengan Melayu?

Mudah sekali Melayu lupa siapa diri mereka sebenarnya? Suatu bangsa yang pernah hebat, bangsa berdarjat, rajanya berdaulat, bahasanya hebat sehingga orang luar hormat, seolah-olah ada keramat.

Hari ini, seolah-olah semua sudah terlambat. Orang luar sudah hilang hormat. Bahasa Melayu pernah menjadi bahasa hebat digunakan merata tempat, tidak dapat dipertahankan, diperkasakan dan didaulatkan.

Kini seolah-olah kelihatan negara asal usul Melayu, sudah negara bukan Melayu yang punya. Apa jua berkaitan dengan Melayu semakin hilang termasuk Keretapi Tanah Melayu.

Semua ini berlaku gara-gara Melayu tidak mahu Melayu, Melayu tidak suka sesama Melayu. Melayu membenci sesama Melayu. Melayu saling bercakaran. Melayu saling bertengkaran. Melayu saling bertentangan. Melayu saling tidak mempercayai, saling menuding jari.

Melayu terlalu pentingkan diri. Aku, aku dan engkau, engkau. Dalam kata lain, tangan-tangan Melayu sendiri yang merosakkan Melayu. Justeru, nak salahkan siapa?

MUALAF

Orang lain hanya mengambil kesempatan daripada kelemahan dan kekusutan Melayu. Nak harapkan Cina Muslim seperti saya, maaf, saya orang Cina, mualaf lagi. Sejauh mana kemampuan saya?

Saya tidak sepatutnya mempertahankan Melayu kerana akibatnya akan dilabelkan lebih Melayu daripada Melayu. Label itu sudah pun diberikan sehinggakan hidup tidak tentu keruan. Saya dipulaukan. Saya dilaknat dengan dikatakan pengkhianat.

Bukankah sepatutnya saya mempertahankan hak Cina kerana saya berbangsa Cina? Tetapi kenapa berlaku sebaliknya?

Inilah nasib Cina Muslim di bumi Melayu. Terjebak dalam dilema antara kepentingan bangsa dengan kepentingan agama yang menjadi anutan Melayu.

Apa pun, apabila berlaku pertembungan antara kepentingan bangsa dan agama, maka tidak mahu tidak, agama mesti dipertahankan.

Bukankah mahu pertahankan Melayu tetapi jika Melayu Islam lemah, Islam juga akan lemah? Kerana kekuatan Melayu bergantung kepada Islam. Kekuatan Islam bergantung kepada penganutnya, semua Melayu. Walaupun ada Melayu yang tidak suka kepada Islam dan Melayu.

Nak harapkan Cina Muslim, bilangannya tidak sampai 100,000 sedangkan Melayu dan bumiputera ada hampir 20 juta. Bagaikan langit dengan bumi jauhnya.

Tetapi kenapa saya mempertahankan Melayu? Kerana asas Melayu itu merupakan agenda hidup bernegara. Bahasa Melayu salah satunya.

Dalam kata lain, Melayu, Islam dan bumiputera menjadi pasak negara. Termaktub dalam perlembagaan. Jika tidak, masakan disebut dengan jelas berbanding bangsa lain.

Lagipun saya hidup di bumi Melayu, asalnya bernama Tanah Melayu walaupun kini bernama Malaysia. Ia tetap berjati dirikan Melayu meskipun penduduknya berbilang bangsa.

Kerana saya hidup di bumi Melayu. Di bumi Melayulah saya dapat menghela nafas. Jika bumi Melayu tidak menerima nenek moyang saya, mana mungkin saya ada pada hari ini. Jika tidak ada bumi Melayu ini, mungkin tidak ada Ridhuan Tee.

Hairannya, kenapa semasa Melayu tidak berhenti bercakaran? Kenapa Melayu tidak sayang kepada bahasa dan adat budayanya? Kenapa Melayu tidak sayang kepada agamanya?

Wahai Melayu, kamu sudah tidak mempunyai banyak masa. Kenapa baharu sekarangkan mahukan bahasa Melayu didaulatkan? Sedangkan sepatutnya lama berbuat demikian kerana inilah bumi Melayu. Bahasanya menjadi bahasa kebangsaan, termaktub dalam perlembagaan,

Walaupun hari ini sudah ada kesedaran, malangnya Melayu sendiri yang merosakkan. Ada segelintir Melayu sendiri menolak ia diperkasakan. Melayu tidak yakin dengan bahasa sendiri. Ada Melayu merasakan, memperkasakan dan mempertahankan bahasa Melayu, kita akan ketinggalan. Sedangkan orang lain mempertahankan bahasa ibundanya semakin jauh kedepan, tidak pula dipertikaikan.

Wahai Melayu, sedarlah. Jangan biarkan nasi menjadi bubur. Kamu pasti akan menyesal nanti kerana apabila nasi menjadi bubur, ia tidak boleh kembali menjadi nasi.

Namun, nasi masih boleh dibuburkan. Sebab itulah pentingnya nasi dipertahankan sebelum menjadi bubur kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. – UTUSAN

MOHD. Ridhuan Tee Abdullah ialah Profesor di Pusat Pengajian Teras, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×