Jangan toleh ke belakang lagi

Jangan toleh ke belakang lagi

AHMAD MASLAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

RUANG pejabat DATUK SERI AHMAD MASLAN di Menara Dato’ Onn di ibu negara penuh dihiasi bendera UMNO, seolah-olah menunjukkan tidak sesekali semangat beliau luntur untuk mengembalikan kegemilangan parti itu yang tersungkur dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Bagi Setiausaha Agung UMNO itu, UMNO tidak perlu lagi menoleh ke belakang kerana sudah memasuki tahun keempat penggal Parlimen.

“Kita sedang menuju ke tahun kelima, jadi kita tahu bila-bila masa selepas ini pilihan raya boleh berlaku. Ia pasti akan berlaku, jadi buatlah persiapan,” katanya.

Ikuti temu bual wartawan Utusan Malaysia, ZAREEN HUMAIRAH SEJAHAN dan jurufoto SHIDIQQIN ZON bersama Ahmad, baru-baru ini.

MN belum terkubur tetapi tidak subur
Kita telah lalui tiga peristiwa bersejarah dengan Pas. Ia bermula dengan penubuhan Perikatan Nasional (PN). Apabila Pas bersama dengan PN tanpa menghiraukan UMNO yang tidak mahu bersama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), kemudian wujud kerjasama mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

Keputusan untuk meneruskan kerjasama dengan Pas ini kita serahkan pada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan saya tidak boleh buat keputusan yang besar ini. Muafakat Nasional (MN) merupakan satu sejarah yang sangat baik pada 14 September 2019 yang menjadi himpunan penyatuan ummah. Pada ketika itu, tiada masalah orang ketiga.

BN dan PKR bersama?
Itu juga satu keputusan besar dan Barisan Nasional (BN) sudah kata akan bersendirian untuk PRU15. Namun, apa yang berlaku selepas PRU15, kita tidak tahu lagi. Kita tidak dapat mengagak apa yang kita akan putuskan selepas itu nanti.

Bagaimanapun, BN tahu dan faham realiti politik bahawa selepas PRU15, kita perlukan komponen untuk menjadi kerajaan dan siapakah komponen itu, kita belum pasti kecuali untuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang sememangnya telah lama bersama sebagai parti diwakili dari Sarawak.

MCA kembali raih undi Cina
Tidak dinafikan MCA kembali mendapat kerusi mereka yang membuktikan undi masyarakat Cina dengan peratusan tertentu sudah kembali pada MCA. Kita saksikan perkara positif itu di PRN Melaka dan Johor. Kita harap jumlah itu akan terus bertambah.

Saya ada menemui masyarakat Cina di Pontian dan mereka menyatakan kekesalan kerana telah memberikan undi mereka pada Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya lalu. Masyarakat bukan Melayu yang telah memberikan undi mereka kepada DAP akui janji-janji tidak ditepati.

Mereka kesal melihat perkara yang tidak sewajarnya berlaku terutama penjualan-penjualan aset sepanjang PH memerintah negara serta penambahan cukai-cukai baharu.

Mereka buang cukai barang dan perkhidmatan (GST) tetapi terdapat penambahan enam cukai baharu dan kenaikan tiga cukai lama.

BN sudah turunkan jentera
Saya memanggil 191 bahagian untuk membuat persiapan secepat mungkin kerana masing-masing telah diberi latihan jentera di PRN.

Dalam bulan Ramadan dan menjelang 1 Syawal ini, kerja-kerja untuk mendekati rakyat harus diteruskan. Ziarah kasih dan turun padang perlu dilakukan dengan konsisten terutama bagi wakil rakyat baharu atau mereka yang berhasrat untuk menjadi wakil rakyat serta ketua-ketua bahagian BN harus bergerak dengan berstrategi.

Jangan toleh belakang lagi kerana apabila sudah masuk tahun keempat, pilihan raya umum itu pasti akan berlaku. Kita sedang menuju ke tahun kelima, jadi kita tahu bila-bila masa selepas ini pilihan raya boleh berlaku. Ia pasti akan berlaku, jadi buatlah persiapan.

Apa yang berlaku selepas PRU15 nanti, panjang lagi cerita tapi untuk sekarang fokuskan pada strategi ini.

Zahid sendiri tidak mahu dirinya jadi calon PM
Pada malam yang amat penting iaitu semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak lagi mendapat sokongan sebagai perdana menteri, kalau Zahid (Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) berkeras mahu dicalonkan sebagai perdana menteri kerana beliau adalah presiden parti dan sebagai parti yang paling besar, beliau boleh menjadi perdana menteri.

Namun, Zahid tidak berbuat demikian. Jika dia mahu lepaskan diri daripada kes mahkamah, sudah tentu dia mahu menjadi perdana menteri. Orang ramai tidak tahu, beliau menarik diri daripada dicalonkan.

Orang ramai tidak tahu bahawa beliau sendiri telah menarik diri daripada dicalonkan sebagai calon perdana menteri ketika itu.

Simpati dengan Dr. Mahathir
Saya simpati dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana beliau merupakan seorang negarawan, namun keseluruhan ahli Parlimen Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dalam Parlimen hanya empat orang itu yang bererti Dr. Mahathir sendiri menjadi pengikut parti beliau. Ini menunjukkan begitu kecil jumlah pengikut Dr. Mahathir ketika ini berbanding dahulu. Baru-baru ini juga Pejuang hilang deposit di 42 kawasan (PRN Johor).

Khemah besar pembangkang tidak akan berjaya
Saya tidak yakin pembangkang hendak buat ‘khemah besar.’ Saya tidak nampak khemah mereka itu akan menjadi besar dan biarlah mereka terdiri daripada khemah yang banyak.

Ini kerana saya kira ideologi mereka tidak serasi terutama antara Bersatu dan Pas, mereka tidak mungkin serasi dengan DAP. Ini bermaksud PH dan PN akan bergabung.

Untuk yang lain pula, saya tidak nampaklah respons Pejuang positif selepas pertemuan Muhyiddin dengan Dr. Mahathir malah ia seperti ‘memakan diri’ apabila Dr. Mahathir juga mengatakan Muhyiddin punca beliau tidak lagi menjadi perdana menteri. Biarlah mereka gagal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×