Henti untungkan penjenayah, rakyat asing

Henti untungkan penjenayah, rakyat asing

ALEXANDER NANTA LINGGI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

ISU penyelewengan barangan subsidi khususnya petrol dan minyak masak terus membelenggu sekali gus mendatangkan kesan buruk kepada rakyat dan negara. Malah lebih mengejutkan, sejumlah 63 syarikat dikenal pasti di seluruh negara menyeleweng bantuan subsidi kerajaan itu untuk tiga tahun dengan nilai dianggarkan mencecah RM1 bilion.

Bagi tahun lalu sahaja, kerajaan menampung sub­sidi produk petroleum, gas petroleum cecair (LPG) dan minyak masak sehingga RM8 bilion demi membantu mengurangkan kesan kenaikan harga komoditi di peringkat global ke atas kos sara hidup rakyat.

Ekoran harga lebih murah yang dinikmati rakyat, ia membuka peluang kepada penjenayah untuk mengaut keuntungan berlebihan.

“Sekiranya penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi ini gagal dibendung, rakyat tidak dapat menikmati sepenuhnya, sebaliknya memberikan keuntungan berlipat kali ganda kepada penjenayah, malah rakyat asing pula lebih menerima manfaat subsidi,” tegas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, DATUK SERI ALEXANDER NANTA LINGGI kepada wartawan Utusan Malaysia, MAISARAH SHEIKH RAHIM di Putrajaya, baru-baru ini.

UTUSAN: Berapa banyak kes penyelewengan bahan api petrol, diesel serta minyak masak subsidi berjaya ditumpaskan dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini?
ALEXANDER: Sepanjang tempoh lima tahun kebelakangan ini, sebanyak 351 kes penyelewengan petrol dikesan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang mana pada 2018 sebanyak 35 kes, 95 kes (2019), 93 kes (2020), 115 kes (2021) dan 13 kes (sehingga Februari 2022).

Bagi penyelewengan diesel pula, dalam tempoh sama, sebanyak 396 kes iaitu pada 2018 sebanyak 75 kes, 119 kes (2019), 56 kes (2020), 110 kes (2021) dan 36 kes (sehingga Februari 2022).

Sementara itu, bagi penyelewengan minyak masak, dalam tempoh sama sebanyak 401 kes iaitu 2018 sebanyak 62 kes, 47 kes (2019), 79 kes (2020), 188 kes (2021) dan 25 kes (sehingga Februari 2022).

Berapa nilai sitaan atau rampasan?
Berdasarkan statistik sepanjang tempoh lima tahun kebelakangan ini, jumlah nilai sitaan atau rampasan melibatkan penyelewengan petrol adalah RM2.18 juta di mana pecahannya RM346,863 (2018), RM1.17 juta (2019), RM271,188 (2020), RM256,188 (2021) dan RM140,456 (2022 sehingga Februari lalu).

Bagi penyelewengan diesel, dalam tempoh sama, nilai sitaan atau rampasan adalah berjumlah RM13.85 juta di mana pecahannya RM2.54 juta (2018), RM5.33 juta (2019), RM1.97 juta (2020), RM3.45 juta (2021) dan RM553,736 (sehingga Februari 2022).

Bagi penyelewengan minyak masak pula, dalam tempoh sama, nilai sitaan atau rampasan adalah berjumlah RM15.57 juta di mana pecahannya RM806,413 (2018), RM12.86 juta (2019), RM664,856 (2020), RM1.2 juta (2021) dan RM42,560 (sehingga Februari 2022).

Apa bentuk kerugian dialami masyarakat dan negara akibat ketirisan subsidi?
Sudah tentu subsidi yang diperuntukkan kerajaan saban tahun sekiranya diseleweng mendatangkan kesan buruk kepada Keluarga Malaysia dan negara. Sekiranya penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi ini gagal dibendung, rakyat tidak dapat menikmati sepenuhnya sebaliknya memberikan keuntungan berlipat kali ganda kepada penjenayah yang melakukan aktiviti-aktiviti haram ini, malah rakyat asing pula yang lebih menerima manfaat subsidi.

Setiap tahun kerajaan menyediakan sejumlah peruntukan besar bagi membantu rakyat dalam menangani peningkatan kos sara hidup dengan memberikan subsidi ke atas barang-barang keperluan asas tertentu seperti petrol, diesel, minyak masak dan sebagainya yang membolehkan rakyat menikmati barangan tersebut pada harga lebih berpatutan selain mudah diperoleh.

Apa akan berlaku jika kegiatan penyelewengan dan penyeludupan barang kawalan subisidi tidak dikawal?
Sekiranya kegiatan penyelewengan dan penyeludupan barang kawalan dan bersubsidi ini tidak dikawal dengan tegas, ia menyebabkan bekalan terganggu. Gangguan ini boleh mengakibatkan rakyat sukar untuk mendapatkan bekalan di pasaran sekali gus akan menimbulkan suasana panik yang boleh menyumbang kepada keadaan dan situasi lebih buruk dalam konteks bekalan dan harga barang kawalan dan bersubsidi ini yang menjadi keperluan utama kepada Keluarga Malaysia.

Apa tindakan dikenakan kepada pihak yang terlibat dalam kegiatan penyeludupan termasuk pengilang yang bersubahat?
Tindakan oleh kementerian ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan penyelewengan barangan kawalan berjadual, khususnya barangan bersubsidi ialah di bawah peruntukan Akta Kawalan Bekalan 1961 dan perundangan subsidiarinya yang berkaitan.

Antaranya menggantung atau menarik kuota dan lesen ke atas syarikat atau mana-mana pihak yang didapati terbabit melakukan penyelewengan dan penyeludupan.
Penjenayah yang melakukan penyelewengan atau penyeludupan bahan api dan minyak masak ini juga boleh ditangkap dan direman sementara dikenakan kompaun atau dihadapkan ke mahkamah.

Mana-mana orang yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan juga perundangan subsidiarinya, jika membabitkan individu boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi syarikat boleh didenda tidak melebihi RM2 juta.

Bagi memberi lebih kesan kepada penjenayah, mereka juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Haram (AMLATFPUAA) 2001. Jika mana-mana orang disabitkan dengan kesalahan di bawah Seksyen 4 (Akta 613) AMLATFPUAA 2001 boleh dipenjarakan tidak melebihi 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Bagi harta-harta yang dapat dibuktikan terlibat dengan pengubahan wang haram akan dilucut hak dan dijadikan hasil kepada kerajaan.

Selain itu, KPDNHEP juga mengambil tindakan lebih tegas dengan menggantung lesen berkaitan ke atas mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan penyelewengan dan penyeludupan barangan kawalan dan bersubsidi. Sekiranya mana-mana pihak didapati melakukan penyelewengan ke atas bahan api petrol dan diesel ini, lesen di bawah Petrol Development Act 1974 (PDA) dan Control of Supplies Act 1961 (CSA) akan digantung, manakala bagi mana-mana pihak yang melakukan penyelewengan ke atas minyak masak, tindakan penggantungan lesen di bawah Control of Supplies Act 1961 (CSA) dan penggantungan kuota yang diberikan di bawah Program Skim Rasionalisasi Harga Minyak Masak (COSS).

Bermula 1 Januari sehingga 11 Mac lalu, sebanyak dua syarikat stesen minyak dan dua syarikat pemborong yang disyaki terlibat dalam kegiatan penyelewengan petrol dan diesel telah digantung lesennya.

Bagi kes penyelewengan minyak masak, sebanyak 15 syarikat pembungkus minyak masak dan lima syarikat pemborong yang disyaki terlibat melakukan kegiatan penyelewengan telah digantung lesennya. Berdasarkan statistik ini menunjukkan tahap keseriusan kementerian untuk membendung ketirisan subsidi dan penyelewengan terhadap barangan kawalan dan bersubsidi ini daripada terus berleluasa.

Negeri mana yang sering berlaku kes penyeludupan ini?
Kebiasaannya kes-kes membabitkan penyelewengan dan penyeludupan barang kawalan berjadual khususnya barangan bersubsidi berlaku di negeri-negeri yang bersempadanan dengan negara jiran iaitu Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan. Di Sabah pula di kawasan Pantai Timur Sabah.

Selain itu, sempadan perairan yang luas juga memudahkan penyeludupan berlaku khususnya di Sabah dan Sarawak yang sukar dikawal sepenuhnya oleh kementerian.

Berapa banyak operasi atau pemeriksaan penguatkuasaan dilaksanakan bagi menangani kes ini?
Berdasarkan statistik sepanjang lima tahun kebelakangan ini bermula 2018 sehingga 2022, sebanyak 67,630 operasi atau pemeriksaan berkaitan barangan kawalan dan bersubsidi dijalankan kementerian.

Bagi menangani kes penyelewengan dan penyeludupan ini, KPDNHEP melalui Bahagian Penguat Kuasa telah melaksanakan pelbagai operasi khas seperti Op TitikI (petrol dan diesel), Op Goreng (minyak masak), Op Inap (gas memasak), Op GP (tepung gandum), dan Op Ampai (gas memasak). Di bawah operasi-operasi ini, pemeriksaan yang dijalankan adalah secara berfokus dan menyeluruh ke atas pelbagai rantaian pengedaran barangan kawalan dan bersubsidi ini termasuklah di peringkat pengilang, pengedar, pemborong dan peruncit.

Selain itu, KPDNHEP juga sentiasa mengadakan jaringan kerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasaan lain yang berkaitan dengan melakukan pemeriksaan dan operasi bersama seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Pasukan Gerakan Am (PGA), Polis Diraja Malay­sia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JK­DM), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM), Pasukan Polis Marin (PPM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

KPDNHEP akan terus giat dan memperkasakan penguatkuasaan membanteras ketirisan barang kawalan termasuk petrol, diesel dan minyak masak sama ada secara bersendirian mahupun secara bersepadu dengan lain-lain agensi penguatkuasaan untuk memastikan subsidi dinikmati oleh golongan sasar dan mengekang tanggungan subsidi yang semakin meningkat.

Apa langkah-langkah yang diambil oleh KPDNHEP bagi mempergiatkan lagi penguatkuasaan terhadap kes penyelewengan dan penyeludupan?
Antara langkah-langkah yang telah diambil kementerian bagi mempergiatkan lagi tindakan penguatkuasaan dan pemeriksaan terhadap kes penyelewengan dan penyeludupan ialah:

* Mempergiat pemeriksaan dan pengauditan di setiap peringkat rantaian pengedaran barang kawalan berjadual.

* Menjalankan pemeriksaan pematuhan lesen dan permit ke atas peniaga dan pengusaha restoran.

* Membuat risikan ke atas pengilang, pembungkus, pemborong dan peruncit dengan sasaran terpilih yang disyaki menyeleweng barang kawalan bersubsidi termasuk risikan ke negara jiran.

* Menggantung kuota dan lesen ke atas syarikat yang didapati terbabit melakukan penyelewengan dan penyeludupan.

* Menetapkan had pembelian. Contohnya, minyak masak polibeg sebanyak tiga paket untuk memastikan lebih ramai pengguna isi rumah dapat menikmati subsidi yang diberikan oleh kerajaan;

* Mengheret penjenayah ke mahkamah tanpa mengenakan kompaun ke atas kesalahan yang dilakukan.

* Mengemaskini akta dan prosedur operasi standard (SOP) dari semasa ke semasa untuk memastikan penalti ke atas penjenayah setimpal dengan kesalahan dilakukan.

* Menjalankan siasatan di bawah AMLATFPUAA 2001 dengan membekukan aset alih dan bukan aset alih penjenayah.

* Mempertingkatkan dan memperkukuh jaringan kerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasaan lain seperti JKDM, ATM, PDRM dan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM).

Pengguna yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan salah laku oleh peniaga boleh mengemukakan aduan secara tepat berserta butiran lengkap melalui saluran berikut:

* WhatsApp 019-279 4317
* Portal e-aduan.kpdnhep
* Pusat Panggilan 1-800-886-800
* E-mel [email protected]
* Ez ADU KPDNHEP – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×