Berjayakah Rusia disisihkan?

Berjayakah Rusia disisihkan?

APABILA resolusi Perhimpunan Khas PBB (UNGA) mengutuk Rusia menyerang Ukraine diusulkan pada awal Mac lalu, 141 ahli menyokong, lima menentang dan 35 mengambil sikap berkecuali. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENARIK jika diteliti pola pengundian berkait resolusi untuk menyingkirkan Rusia daripada Majlis Hak Asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) yang mempunyai 47 ahli kesemuanya. Peraturan UNHRC memerlukan dua pertiga sokongan daripada 193 ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mengundi dan undi berkecuali tidak diambil dalam pengiraan. Oleh kerana 93 ahli PBB menyokong berbanding 24 menentang walaupun 58 negara berkecuali, maka peruntukan dua pertiga sokongan telah dipenuhi dan Rusia disingkirkan daripada UNHRC.

Usul penyingkiran ini terbit daripada tindak-tanduk tentera Rusia dalam perang di Ukraine terutama di bandar Bucha yang menyaksikan orang awam terbunuh secara berluasa. Rusia bukan ahli pertama disingkir kerana Libya pada 2011 menerima nasib serupa apabila Muammar Gadafi dituduh berlaku kejam terhadap rakyat negara itu yang menunjuk perasaan.

Apabila resolusi Perhimpunan Khas PBB (UNGA) mengutuk Rusia menyerang Ukraine diusulkan pada awal Mac lalu, 141 ahli menyokong, lima menentang dan 35 mengambil sikap berkecuali. Jelas, wujud pola pengundian perbezaan yang amat ketara di antara resolusi UNGA dan UNHRC walaupun sasarannya adalah sama iaitu Rusia. Jumlah negara yang menentang naik mendadak daripada lima ke 24 manakala serupa jua dengan negara berkecuali daripada 35 bertambah ke 58.

China sebagai sekutu kuat Rusia mengambil pendirian berkecuali untuk resolusi UNGA tetapi dalam kes UNHRC, pendirian menentang pula diambil. India pula yang dianggap amat bergantung kepada bekalan senjata Rusia, membuat keputusan berkecuali untuk kedua-dua resolusi tersebut. Kedua-dua kuasa besar Asia ini juga menduduki kerusi UNHRC.

Tetapi paling menarik adalah pendirian beberapa negara ahli ASEAN yang berubah dengan agak mendadak. Sikap Vietnam dan Laos serupa dengan China iaitu berkecuali dalam hal resolusi UNGA tetapi berubah hati dengan menentang untuk resolusi UNHRC. Dua lagi ahli ASEAN iaitu Filipina dan Myanmar tidak mengubah pendirian kerana menyokong kedua-dua resolusi. Perlu diberi perhatian, wakil Myanmar yang mengundi tidak mewakili junta tentera kerana agak pelik jika junta tentera mengutuk perbuatan Rusia dalam hal hak asasi kemanusiaan.

Tetapi yang paling mencuri perhatian adalah pendirian enam negara ahli iaitu Brunei, Kemboja dan empat ‘kuasa besar’ ASEAN iaitu Thailand, Indonesia, Singapura dan Malaysia. Keenam-enam negara ahli ini membuat keputusan menyokong resolusi UNGA tetapi memilih untuk berkecuali dalam hal resolusi UNHRC pula.

Antara negara ahli ‘kuasa besar’ ASEAN ini, pendirian Singapura adalah paling menarik perhatian. Bukan sangat kerana Singapura dianggap sebagai sekutu kuat Amerika Syarikat (AS) dan kedua-dua negara ini mempunyai persefahaman pertahanan ala Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), tetapi kerana Singapura adalah ahli ASEAN paling lantang mengkritik tindak-tanduk Rusia terhadap Ukraine. Bukan itu sahaja, malah Singapura adalah satu-satunya negara ahli ASEAN yang mengenakan sekatan ekonomi terhadap Rusia terutama sekali membabitkan institusi kewangan.

POPULAR

Tetapi lebih menakjubkan lagi ialah kenyataan yang dibaca oleh wakil khas Singapura ke PBB sebelum pengundian seolah-olah Singapura akan menyokong resolusi UNHRC kerana beliau mengutuk tindakan kejam Rusia di Ukraine.

Tidak kurang juga ada rakyat Malaysia yang mempersoalkan pendirian berkecuali negara sedangkan perlakuan kejam tentera Rusia terhadap orang awam Ukraine adalah begitu nyata sekali. Walaupun Kremlin menafikan semua tuduhan tersebut tetapi pemangkin malapetaka yang menimpa orang awam iaitu pencerobohan yang dilakukan oleh Rusia tidak dinafikan kesahihannya.

Andaian paling popular mengapa berlaku perubahan pendirian daripada resolusi UNGA kepada UNHRC adalah kerana resolusi UNGA tidak sangat memberi kesan kepada Rusia kerana ia tidak mempunyai kekuatan perundangan tidak seperti resolusi Majlis Keselamatan umpamanya. Kesan minimum resolusi UNGA ini juga berkemungkinan negara yang membuat pendirian menyokong usul berpendapat Kremlin tidak akan mengenakan tindakan balas. Dalam masa sama, pendirian menyokong ini sedikit sebanyak mampu mendapat maklum balas positif dari negara NATO.

Tetapi kesan resolusi UNHRC adalah agak berat kerana keputusan akan menyebabkan Rusia disingkir daripada menduduki kerusi UNHRC. Sebab itu diandaikan sudah pasti Kremlin memerhati dengan lebih teliti pendirian yang diambil oleh setiap negara ahli PBB.

Tetapi ada kemungkinan juga enam negara ahli ASEAN dan negara lain yang menukar pendirian daripada menyokong resolusi UNGA tetapi berkecuali dalam hal UNHRC adalah kerana siasatan bebas terhadap apa yang berlaku di Bucha belum lagi tamat kerana proses pengumpulan maklumat dan pemeliharaan bahan bukti sedang dilaksanakan. Seharusnya juga setiap keputusan dalam hal Bucha umpamanya dibuat bersandarkan data yang sahih.

Seperti mana ketika AS diserang pada 11 September 2001, Presiden George W. Bush mengamalkan strategi belah bahagi iaitu jika negara tidak menyokong AS terutama sekali dalam hal menyerang Afghanistan dan Iraq, maka negara terbabit sebenarnya menyokong pengganas. Sama jua hal Ukraine, nampak gayanya dunia sekali lagi dipaksa membuat pilihan, sama ada untuk bersama AS dan NATO atau Rusia. Sebab itu jua pengerusi kumpulan G20 iaitu Jakarta masih berteka-teki sama ada Rusia akan disingkirkan kerana tekanan dari negara Barat adalah begitu hebat sekali.

Apakah nasib Rusia yang disingkirkan daripada kumpulan G8 apabila Rusia menjajah Crimea dan wilayah Donbas pada 2014? Kemusykilan itu masih lagi menjadi tanda tanya. – UTUSAN

PENULIS ialah geostrategis dan Felow Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×