Tentera Darat harus waspada dua ancaman

Tentera Darat harus waspada dua ancaman

BERMULA dengan 25 anak muda Melayu, Tentera Darat kini dilengkapi pelbagai kelengkapan moden dan canggih. – UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TARIKH keramat 1 Mac mungkin bagi kita nampak seperti hari-hari biasa yang lain. Akan tetapi tarikh ini begitu signifikan kepada kemerdekaan negara selain 31 Ogos itu sendiri. Manakan tidak, salah satu tonggak pertahanan negara dan elemen dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyambut sambutan hari kelahirannya pada tarikh tersebut setiap tahun.

Bermula daripada hanya 25 anak muda Melayu yang berani menyahut seruan untuk berperang, Tentera Darat kini melalui pertambahan dan pemodenan dari segi anggota serta kelengkapan. Selepas 89 tahun ditubuhkan, banyak kejayaan dicatatkan sama ada dalam atau luar negara selain sukan mahupun penglibatan dalam operasi.

Paling membanggakan, cogan kata ‘rakyat dan tentera berpisah tiada’ terus dipegang ATM dan Tentera Darat khususnya. Namun, satu perkara harus diingat. Nilai pengorbanan pahlawan negara ini bukannya diletakkan di tapak kaki kita walaupun selepas negara mencapai kemerdekaan.

Hal ini boleh dilihat apabila ada segelintir pihak yang terus melemparkan pelbagai tuduhan atau kecaman kepada anggota keselamatan di saat mereka diuji ketika banjir baru-baru ini. Segala pengorbanan anggota tentera yang berjaga siang malam di perbatasan negara terus hilang sekelip mata.

Namun, bukan itu yang perlu dibimbangkan kepimpinan mahupun anggota Tentera Darat kerana anda sememangnya wira. Anggaplah tuduhan atau kecaman segelintir pihak disebabkan emosi yang ketika itu sedang berdepan ujian berat.

Hakikatnya ada dua hal lain yang betul-betul menakutkan dan boleh memberi kesan kepada imej mahupun kredibiliti si baju hijau ini. Pertama, ‘jerung’ yang sentiasa memerhati peluang serta ruang untuk meraih laba hasil penjualan aset pertahanan yang akhirnya boleh bertukar kepada projek gajah putih.

Mereka mungkin berselindung di bawah payung naungan kuasa besar atau orang kenamaan (VIP). Sekiranya juak-juak ini membiak, tidak mustahil masalah perolehan aset terus berlaku sebagaimana dialami projek kapal tempur pesisir pantai (LCS) dan kapal peronda generasi baharu (NGPV).

Perkara sebegini pernah terjadi dan jangan lupa sejarah kerana ia boleh dijungkir kembali sebagai renungan dan iktibar. Malah, saya turut difahamkan sejak dahulu pun ada juak-juak politik atau orang kenamaan yang cuba melobi aset bagi pembelian senjata AK47 dari negara bekas Kesatuan Soviet ketika proses penggantian raifal HK33 dan M16.

Namun, mujur ada pegawai yang berani menentang usaha berkenaan dan mereka akhirnya dibekalkan dengan raifal M4 untuk kegunaan unit tersebut. Perlu diingat, ‘jerung’ ini bukanlah soldadu yang pergi bertempur, sebaliknya hanya menanti laba atau dalam erti kata lain mengaut untung atas angin.

KOMUNIS

Musuh sebegini sukar dikesan jika dibandingkan dengan musuh yang boleh dilihat dengan mata kasar sebagaimana zaman menentang pengganas komunis suatu masa dahulu. Selain itu, penggunaan media sosial yang keterlaluan juga sedikit sebanyak memberi kesan kepada kredibiliti sesebuah agensi itu.

Di satu sudut, tidak dinafikan ia membantu mempromosi kerjaya dan menerapkan sifat hormat kepada pahlawan negara. Akan tetapi di sisi lain, ia mungkin boleh menjejaskan atau secara tidak langsung mendedahkan perkara yang tidak sepatutnya kepada umum sehingga mencetuskan pelbagai spekulasi.

Paling mengharukan jika hal terbabit kemudiannya didedahkan kepada media sosial dan diadili warganet dengan bersandarkan emosi tanpa pengetahuan yang kukuh.

Perlu diingat, zaman sekarang adalah zaman limpahan dan penyebaran segala macam maklumat atau bahan tanpa mengira sama ada dalam bentuk video atau sekadar coretan. Namun, kita perlu menilhat sejauh mana ia berkualiti, tepat atau mungkin berlaku pengulangan serta pertindihan antara satu dengan yang lain. Malah, segala macam maklumat dan bahan ini boleh menimbulkan perspektif yang akhirnya membawa kepada kekeliruan.

Tambah parah jika ada netizen tidak dapat berfikir secara kritis dan bahan paparan terus diadili di media sosial sebagaimana pernah berlaku sebelum ini. Penggunaan media sosial seperti Twitter, Instagram, TikTok dan Facebook menjadi medium kepada limpahan maklumat ini.

Bagaimanapun, tanpa ada pengetahuan tentang limpahan maklumat, sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa. Tidak terkecuali organisasi mahupun pucuk kepimpinan Tentera Darat.

Justeru, ATM khususnya Tentera Darat perlu bertindak untuk menangani ancaman ini selain peperangan asimetrik atau simetrik yang menjadi kepakaran perkhidmatan ini.

Malah coretan ini bukan sekadar untuk ATM dan Tentera Darat sahaja, akan tetapi untuk semua agensi kerajaan terutama melibatkan aktiviti penguatkuasaan.

Sesekali teringat pepatah Inggeris, when too much of a good things isn’t a good thing. – UTUSAN

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×