SYARAT murid tahun enam sekolah jenis kebangsaan (SJK) ke sekolah menengah awam sama ada terus ke tingkatan satu ataupun perlu belajar di kelas peralihan terlebih dahulu berdasarkan gred mata pelajaran Bahasa Melayu bukan sahaja wajar sekali, ia kemestian yang sedikit pun tidak boleh ditolak ansur. Oleh itu, tidak ada kepentingan langsung untuk dikaji semula syarat adil seperti didesak beberapa pihak. Antaranya oleh ibu bapa dan juga guru.
Sehubungan ini, pemansuhan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang digantikan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dijadikan alasan oleh ibu bapa bahawa syarat ini tidak relevan adalah meleset sekali. Bagi mereka, pandemik Covid-19 banyak menjejaskan pendidikan murid ekoran pelbagai masalah pencapaian kepada keadaan dan kemudahan pembelajaran.
Oleh itu, tidak wajar sama sekali keputusan PBD diguna pakai, lebih-lebih lagi dalam menentukan sama ada seseorang murid itu perlu belajar di kelas peralihan sebelum boleh ke tingkatan satu pada tahun berikutnya.
Sebenarnya Kementerian Pendidikan (KPM) tidak lantas menggunakan keputusan PBD. Sebaliknya murid yang tidak memperoleh gred yang diperlukan itu diberi peluang untuk memperbaikinya dengan dinilai semula melalui Ujian Pengesanan Literasi Bahasa Melayu (UPLBM).
Justeru, tidak timbul sama sekali bahawa syarat ini tidak adil kepada mana-mana murid yang terlibat secara amnya dan murid bukan Melayu secara khususnya. Tohmah ibu bapa bahawa syarat ini merupakan hukuman kepada murid yang ikut terkandas dalam UPLBM setelah gagal dalam PBD sebelum ini adalah juga tidak tepat.
Sebenarnya keberadaan murid di kelas peralihan akan banyak membantu dalam penguasaan bahasa Melayu. Ini kerana tujuan kelas peralihan bukan sahaja untuk memperbaiki pengetahuan tetapi juga meningkatkan penguasaan murid tentang bahasa Melayu. Sudah tentu ia bukan hukuman untuk menyekat murid daripada terus maju, sebaliknya ia imbalan penuh manfaat agar murid tidak terus ketinggalan kerana lemah dalam bahasa Melayu.
Kebimbangan ibu bapa terbabit tentang faktor usia murid yang perlu belajar di kelas peralihan berbanding dengan yang dapat terus ke tingkatan satu sepatutnya tidak timbul. Ini kerana pertama-tamanya, pendidikan anak di SJK adalah pilihan ibu bapa yang memang sedia maklum bahawa ada keperluan wajib belajar di kelas peralihan apabila anak mereka lemah dalam bahasa Melayu yang merupakan bahasa pengantar utama di sekolah menengah awam.
Kelas peralihan yang mahu dianggap sesetengah pihak adalah label kepada anak mereka sebagai murid lemah kerana tidak dapat terus ke tingkatan satu hendaklah diterima dengan hati terbuka dan dada yang lapang. Ini kerana itulah hakikatnya bahawa anak mereka lemah dalam bahasa Melayu dan perlu dibimbing supaya menjadi cekap.
BAHASA KEMAJUAN
Oleh itu, bahasa Melayu sebagai bahasa kemajuan hendaklah dikuasai sebaik-baiknya untuk dimanfaat sebagai alat kemajuan. Cadangan sesetengah guru bahawa murid yang lemah dalam bahasa Melayu ini tetap dibenarkan ke tingkatan satu dengan syarat pada masa sama mereka harus dibantu pihak sekolah untuk memperbaiki pengetahuan dan meningkatkan penguasaan bahasa Melayu mereka.
Dari satu segi, ia baik kerana berupa tindakan bijak, iaitu sambil menyelam sambil minum air. Akan tetapi dari segi lain, ia pasti beban kerana perlu melakukan dua perkara dalam bahasa Melayu sekali gus sedangkan mereka lemah di dalamnya.
Sehubungan ini, ada guru yang menyoal tentang keperluan mempertingkat pendidikan bahasa Melayu di SJK agar kelemahan dalam bahasa Melayu tidak terus menjadi masalah. Mereka seolah-olah menyalahkan KPM yang tidak pernah pun melakukan perkara ini.
Sebenarnya KPM cuba mengatasi masalah ini dengan mahu menambah waktu pendidikan bahasa Melayu selain menyelaraskan sukatan pelajaran Bahasa Melayu antara yang di sekolah kebangsaan (SK) dengan yang di SJK. Namun, kedua-dua ini ditolak dengan alasan ia akan menjejaskan identiti SJK.
Komen kesatuan guru tertentu bahawa ia tidak pasti sama ada syarat KPM ini baik atau sebaliknya, bukan sahaja memperlihat sikap menongkah tetapi tahap profesionalisme pendidik yang rendah. Sepatutnya syarat KPM itu disokong setiap guru kerana ia dilakukan atas pertimbangan pendidikan semata-mata untuk kebaikan murid sendiri.
Sehubungan ini, sepatutnya kesatuan guru itu memberi penjelasan kepada ibu bapa dan bukannya mengetengahkan kegusaran ibu bapa yang tidak berasas itu dengan semacam mempersalah KPM. Dalam berbuat demikian, bukan sahaja didapati mahu menjadi popular, ia juga kelihatan tidak cerdik pada pihak guru sendiri walaupun tugas mereka adalah untuk memandaikan murid dan pelajar.
Sesungguhnya syarat KPM itu syarat lama yang digunakan sebelum ini dan rata-ratanya dipersetujui ibu bapa, apatah lagi guru dari dahulu lagi. Oleh itu, apabila terdapat kesatuan guru yang kini mahu mempertikainya walaupun atas alasan hanya mahu menyuarakannya bagi pihak ibu bapa, ia memberi gambaran sama ada tahap kecerdasan kepimpinannya rendah atau sebaliknya, iaitu tidak rendah sehingga dapat merancang semacam usaha untuk memanipulasi sistem pendidikan negara dengan cuba menentang arahan, syarat dan dasar sedia ada. – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Majlis Profesor Negara.










