SEMUA maklum kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menunjukkan iltizam penuh untuk merealisasikan titah nasihat Raja-Raja Melayu mengenai perlunya pendekatan baharu kerjasama dwipartisan untuk mengembalikan kestabilan politik demi menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.
Bagi memenuhi objektif yang murni ini, kerajaan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik dengan Pakatan Harapan (PH) selaku blok pembangkang pada 13 September 2021.
Alhamdulillah, setakat hari ini, MoU tersebut mencatatkan perkembangan yang bagus sekali malah diakui oleh wakil-wakil PH dalam Jawatankuasa Pemandu yang bertindak sebagai perunding, pemudah cara dan perwakilan sah bagi kedua-dua pihak.
Daripada lima transformasi politik yang dipersetujui kedua-dua pihak, tiga butiran membabitkan Transformasi Pentadbiran adalah antara unsur paling penting dengan pelaksanaan pendaftaran umur membabitkan Transformasi Pentadbiran minimum pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik telah terlaksana.
Tinggal lagi dua butiran membabitkan Transformasi Pentadbiran iaitu Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat serta RUU Pindaan Perlembagaan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak melebihi 10 tahun yang dalam proses untuk dijayakan.
Saya serta para pegawai di Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang dan Jabatan Peguam Negara bekerja keras bagi memastikan kedua-dua RUU ini dapat dibentangkan mengikut jangka waktu ditetapkan, iaitu dalam tempoh tidak lewat daripada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen yang berakhir pada 24 Mac lalu.
Untuk itu, kami mengadakan kaji selidik awam dari 23 November ke 12 Disember 2021, menyediakan kertas kajian awal dasar dari 1 Oktober ke 22 Disember 2021, mengedarkan draf awal RUU kepada parti-parti komponen pada 24 Disember 2021 serta membentangkan draf RUU dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal pada 25 Januari lalu.
Seterusnya, pelbagai sesi libat urus bersama ahli-ahli Parlimen pada 8 dan 9 Februari lalu selain Majlis Tertinggi parti-parti komponen kerajaan dan pembangkang pada 2, 7 dan 8 Mac lalu.
Bagaimanapun, disebabkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac lalu, sesi libat urus dengan Majlis Tertinggi parti-parti komponen tergendala disebabkan kesibukan mereka dengan kempen PRN tersebut.
Ekoran keperluan untuk terus melakukan sesi libat urus ini, maka Perdana Menteri bersetuju menggunakan kuasa selaku Ketua Majlis Parlimen di bawah Peraturan Mesyuarat 11(3) untuk membentangkan kedua-dua RUU dalam sidang khas Parlimen pada 11 April nanti.
SIDANG KHAS
Perdana Menteri malah memberi jaminan bahawa kerajaan akan memberi ruang seluas-luasnya kepada semua ahli Parlimen untuk membahaskan kedua-dua RUU dengan melanjutkan sidang khas sekiranya tempoh satu hari tidak mencukupi.
Draf RUU pengehadan tempoh pemegangan jawatan Perdana Menteri kepada tidak melebihi 10 tahun adalah agak mudah kerana ia hanya melibatkan pindaan ke atas Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan membabitkan kemasukan tiga butiran baharu.
Pertama, kemasukan Ceraian 43 (2)(a)(ii) yang membawa maksud seseorang Perdana Menteri yang dilantik hendaklah tidak memegang jawatan itu untuk tempoh yang secara agregatnya adalah melebihi 10 tahun.
Kedua, kemasukan Fasal 43 (4A) yang membawa maksud jika seseorang Perdana Menteri yang dilantik sudah memegang jawatan itu untuk tempoh yang secara agregatnya melebihi 10 tahun, maka beliau hendaklah meletakkan jawatan tetapi boleh kekal untuk tempoh tidak melebihi enam bulan atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong dari tarikh Parlimen patut terbubar.
Ketiga, kemasukan Fasal 43 (4B) yang membawa maksud jika seseorang Perdana Menteri meletakkan jawatan berlandaskan kepada Fasal 43 (4A), maka keseluruhan Kabinet yang dibentuk oleh beliau juga hendaklah meletakkan jawatan.
Draf RUU berhubung antilompat parti pula akan melibatkan pindaan ke atas Perkara 10 serta kemasukan Perkara Baharu 49A (selain pindaan ke atas Perkara 60 dan pindaan ke atas Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan).
Pindaan ke atas Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan adalah membabitkan kemasukan Fasal 10 (3A) yang membawa maksud sekatan-sekatan ke atas hak untuk membentuk persatuan yang berkait dengan parti politik boleh juga dikenakan oleh perlembagaan ini.
Kemasukan Perkara Baharu 49A pula adalah membabitkan kemasukan empat fasal.
Fasal 49A (1) membawa maksud seseorang ahli Parlimen akan terlucut jawatan dan kerusinya akan dikira dikosongkan jika beliau:
1. Melepaskan keahlian atau dipecat daripada, atau berhenti atas apa-apa jua sebab daripada menjadi ahli parti politik itu.
2. Dipilih ke Dewan Rakyat selain sebagai ahli daripada suatu parti politik, dia menyertai suatu parti politik.
Fasal 49A (2) membawa maksud bahawa seseorang ahli Parlimen tidak akan terhenti menjadi ahli Dewan Rakyat menurut perkara ini hanya atas sebab:
1. Parti politik beliau dibubarkan atau dibatalkan pendaftarannya.
2. Beliau melepaskan keahlian parti politiknya apabila dipilih sebagai Yang Dipertua Dewan.
Fasal 49A (3) pula membawa maksud seseorang ahli Dewan Rakyat kerusinya telah menjadi kosong di bawah perkara ini boleh bertanding semula di dalam mana-mana pilihan raya berikutnya.
Walaupun terdapat sedikit perbahasan mengenai peruntukan bahawa seseorang ahli Parlimen yang dipecat daripada sesebuah parti politik akan dikira terlucut jawatan, saya percaya RUU berhubung antilompat parti ini juga akan mendapat sokongan majoriti.
RUU berhubung antilompat parti ini akan membawa sinar baharu yang lebih cerah kepada arena politik negara sekali gus akan memberikan kestabilan yang kita hasratkan. – UTUSAN
DATUK Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang).










