Pertemuan positif Malaysia-Vietnam

Pertemuan positif Malaysia-Vietnam

ISMAIL Sabri Yaakob menerima jambangan bunga sebaik sahaja tiba untuk acara sambutan rasmi di Presidential Palace, Hanoi. Turut mengiringi, Pham Minh Chinh. - PMO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEKALI lagi, Isnin ke Rabu lalu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meneruskan sesi kunjungan ke negara serantau. Kali ini kunjungan sulung ke Vietnam atas undangan rakan sejawatnya, Pham Minh Chinh.

Lawatan ini turut disertai Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun serta pegawai-pegawai kanan kerajaan lain.

Perdana Menteri mengadakan pertemuan dua hala dengan Pham Minh Chinh, selain dengan Presiden Vietnam, Nguyen Xuan Phuc; Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam (CPV), Nguyen Phu Trong dan Pengerusi National Assembly Vietnam, Vuong Dinh Hue.

Seperti ditekankan dalam ucapan Ismail Sabri selaku Naib Presiden UMNO dalam Perhimpunan Agung UMNO 2021 Sabtu lalu, dalam usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu, beliau menggunakan sepenuhnya bahasa kebangsaan dalam semua pertemuan yang kemudian diterjemah ke bahasa Inggeris.

Lawatan ini amat bermakna dan membuahkan hasil positif dengan kedua-dua pihak menyatakan komitmen masing-masing untuk terus melaksanakan kerjasama yang terangkum dan komprehensif di bawah Pelan Tindakan (POA) 2021-2025 pelaksanaan Perkongsian Strategik Malaysia-Vietnam.

Dalam usaha untuk meningkatkan Perkongsian Strategik Malaysia-Vietnam, Ismail Sabri menggariskan pendekatan menyeluruh dalam hubungan di antara kedua-dua negara, baik di peringkat kerajaan-kerajaan, mahupun masyarakat perniagaan dan hubungan rakyat dengan rakyat.

Pada tahun depan, 2023, Malaysia dan Vietnam akan meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara. Dalam konteks ini, Ismail Sabri  mencadangkan supaya kedua-dua negara menganjurkan program-program sesuai sebagai memperingati titik bersejarah ini.

Dalam lawatan ini, kedua-dua negara memeterai empat dokumen, iaitu Memorandum Persefahaman (MOU) Kerjasama dalam Aktiviti Perundangan; MoU Pengambilan, Penggajian dan Repatriasi Pekerja; Surat Niat berkenaan Kerjasama dalam Latihan Diplomatik serta Perjanjian Profesional antara Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Vietnam News Agency (VNA).

Sepertimana lawatan ke Indonesia, Brunei, Kemboja dan Thailand sebelum ini, kerjasama pascapandemik Covid-19 menjadi salah satu agenda utama di mana Perdana Menteri telah mengutarakan beberapa inisiatif baharu di samping meningkatkan kerjasama sedia ada ke tahap lebih tinggi. Ini selaras dengan tindakan Vietnam membuka sempadan antarabangsa mereka pada 15 Mac lalu manakala kerajaan Malaysia membuat keputusan sama dan beralih kepada fasa endemik bermula 1 April ini. Antaranya pengiktirafan sijil vaksinasi Covid-19 secara timbal balas. Tatkala Vietnam telah pun mengiktiraf sijil vaksinasi Malaysia pada Ogos 2021, Malaysia kini bersetuju mengiktiraf
sijil vaksinasi Vietnam selain mencadangkan pemuktamadan proses integrasi aplikasi MySejahtera dengan PC Covid Vietnam.

PETROLEUM DAN GAS

Dua lagi hasil utama lawatan membabitkan bidang perdagangan dan pelaburan selaras dengan kedudukan Vietnam selaku rakan dagang keempat terbesar Malaysia dalam ASEAN dan ke-11 di peringkat global serta status Malaysia selaku pelabur asing kesembilan terbesar di Vietnam dengan jumlah pelaburan kedua terbesar dalam kalangan negara-negara ASEAN. Pada 2021, perdagangan dua hala Malaysia-Vietnam bernilai AS$16.7 bilion yang merupakan peningkatan memberangsangkan sebanyak 41.6 peratus berbanding 2020.

Perdana Menteri menyatakan, sasaran nilai dagangan AS$18 bilion menjelang 2025 yang ditetapkan oleh kedua-dua negara masih kecil dan perlu dipertingkatkan. Ini mengambil kira nilai dagangan global Malaysia yang telah melepasi AS$477 bilion sementara nilai dagangan global Vietnam hampir mencecah AS$650 bilion. Oleh itu, persefahaman dicapai supaya Mesyuarat Keempat Jawatankuasa Perdagangan Bersama (JTC) diadakan dalam masa terdekat bagi mempertingkatkan nilai sasaran ini.

Satu lagi berita menggembirakan apabila Vietnam mengemukakan permintaan bekalan petroleum dan gas tambahan. Permintaan ini disambut baik oleh Ismail Sabri yang menyatakan persetujuan untuk membekalkan 300,000 tan metrik petroleum (RON95) kepada Vietnam sebagai langkah permulaan.

Dari segi pelaburan pula, Perdana Menteri merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Vietnam yang sentiasa membuka peluang kepada pelabur-pelabur Malaysia. Beliau menjemput pelabur-pelabur Vietnam untuk meningkatkan pelaburan di Malaysia dalam bidang pendigitalan, pembuatan pintar dan keselamatan siber. Malaysia telah pun mengadakan kolaborasi strategik di antara Institut Automotif, Robotik & IoT Malaysia (MARii) dan FPT Software Vietnam untuk membangunkan Centre of Excellence for Future Industry (CoEFI) bernilai hampir RM100 juta dalam bidang automotif, connected mobility, robotik, internet kebendaan (IoT) dan pendigitalan.

Vietnam juga menyatakan minat untuk meningkatkan kerjasama dalam membangunkan industri halal mereka. Untuk itu, Ismail Sabri menyatakan kesediaan untuk menawarkan kepakaran dan khidmat nasihat termasuk kepada syarikat-syarikat Vietnam yang berminat. Perdana Menteri juga membangkitkan potensi kerjasama dalam membekalkan makanan halal semasa Sukan SEA 2021 di Vietnam pada Mei ini selain kesediaan menawarkan produk-produk perbankan Islam bagi mempromosi dan
mengembangkan ekosistem industri halal di Vietnam.

Turut dinyatakan oleh Ismail Sabri ialah kegusaran berhubung insiden-insiden pencerobohan oleh nelayan asing termasuk nelayan Vietnam yang melakukan tindakan-tindakan agresif dan provokatif di perairan kita hingga menjejaskan aktiviti-aktiviti perikanan dan mata pencarian nelayan Malaysia.

Beliau juga menyatakan pandangan mengenai beberapa isu serantau dan antarabangsa dalam pertemuan dengan Pham Minh Chinh termasuk kesepakatan ASEAN, kedudukan Laut China Selatan, penyelesaian krisis politik di Myanmar, pelarian Rohingya dan konflik Rusia-Ukraine.

Sebagai kesimpulannya, Perdana Menteri amat gembira dan berpuas hati dengan hasil lawatannya pada kali ini. Tidak syak lagi lawatan ini berjaya mempertingkatkan kerjasama kedua-dua negara ke peringkat lebih tinggi dan ini akan dilonjakkan lagi melalui lawatan rasmi Presiden Vietnam ke Malaysia pada tahun ini. – UTUSAN

DATUK Nor Nazimah Hashim ialah Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN