Perlu fokus pulih ekonomi rakyat

Perlu fokus pulih ekonomi rakyat

ekonomi
KERAJAAN Singapura telah mengumumkan kenaikan gaji pekerja dalam sektor pembersihan dengan nilai bersamaan RM10,060 pada 2028. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA 25 Januari lalu, kerajaan Singapura telah mengumumkan kenaikan gaji pekerja dalam sektor pembersihan kepada 3,260 dolar Singapura (SGD) atau bersamaan RM10,060 pada 2028.

Mereka akan mula menerima kenaikan gaji secara berperingkat bermula pada 2023 dengan jumlah 2,210 SGD (RM6,887). Ini bermaksud, pekerja sektor pembersihan di Singapura akan menikmati peningkatan gaji sebanyak 48 peratus dalam tempoh enam tahun.

Keputusan ini diambil oleh kerajaan Singapura bagi menaik taraf dan merapatkan jurang gaji pekerja pembersihan dengan sektor lain.

Kerajaan Singapura juga telah meningkatkan gaji minimum bagi pemegang pas Kebenaran Pekerja (EP) daripada 4,500 SGD kepada 5,000 SGD (sekitar RM15,000). Perubahan ini dibuat Singapura bagi meningkatkan motivasi dan kualiti tenaga kerja di republik itu.

Ironinya, cerita tentang gaji di Malaysia agak berbeza. Kerajaan dan majikan masih berat hati dan lewat untuk meningkatkan gaji pekerja ketika rakyat terbeban dengan kesan krisis Covid-19, khasnya usaha meningkatkan gaji minimum kepada RM1,500.

Ada pihak mendakwa menaikkan gaji pekerja boleh menyebabkan syarikat gulung tikar dan menyumbang kenaikan harga barang. Faktanya, kos sara hidup rakyat di Malaysia telah meningkat meskipun gaji pekerja tidak berubah sejak 10 tahun yang lalu.

Ia sekali gus mencerminkan perbezaan pemikiran dan keberanian pemimpin kedua-dua negara untuk membantu golongan pekerja. Malah, ia turut membuktikan mentaliti pemimpin dan majikan Malaysia masih ke belakang dalam mengubah nasib pekerja, khasnya dalam fasa pemulihan Covid-19.

Tidak perlu pergi jauh untuk membandingkan Singapura. Lihat sahaja kesan Covid-19 kepada pekerjaan dan gaji di Johor. Kadar pengangguran di Johor meningkat kepada 3.5 peratus pada 2020.

Pengangguran

Angka pengangguran di Johor ini paling tinggi dalam tempoh tiga tahun jika dibandingkan tahun 2017 (3.4 peratus), 2018 (tiga peratus) dan 2019 (2.7 peratus).

Penengah gaji bagi Johor menurun kepada RM2,124 pada 2020 berbanding RM2,512 sebulan sebelum ini akibat pandemik. Bermaksud, separuh pekerja di Johor bergaji bawah RM2,500 sebulan.

Kadar miskin tegar di Johor pula telah meningkat kepada 5.9 peratus berbanding 3.9 peratus pada 2019 akibat Covid-19.

Kos sara hidup yang tinggi di Johor menyebabkan 1,435 guru sekolah menengah membuat permohonan untuk bertukar di negeri lain pada 2021. Situasi ini memberi gambaran umum tentang bebanan hidup di Johor, termasuk penjawat awam.

Kerajaan Johor telah memperuntukkan hampir RM500 juta pakej rangsangan ekonomi bagi mengatasi krisis pandemik yang dihadapi Bangsa Johor.

Namun, cabaran ekonomi Johor masih lagi tidak menentu apabila peningkatan kes Covid-19 disebabkan varian baharu boleh menjejaskan ekonomi rakyat dalam fasa pemulihan.

Realitinya, sebahagian besar anak Johor mahu kembali bekerja di negeri sendiri. Pandemik telah mengajar mereka keperitan berjauhan dengan keluarga dan jaminan kerja yang tidak menentu.

Mereka juga sedar bahawa satu hari nanti mereka akan pulang ke Johor untuk membina keluarga bagi meneruskan kehidupan.

Bersuara

Persoalannya, sejauh manakah kerajaan negeri mampu menyediakan pekerjaan dengan gaji lebih baik bagi memastikan kesejahteraan dan kemakmuran hidup Bangsa Johor?

Bangsa Johor telah bersuara dalam pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini. Maka sudah sampai masa kerajaan Barisan Nasional (BN) menunaikan janji manifesto untuk membawa kestabilan masa depan negeri itu agar rakyat dapat menikmati kehidupan yang lebih baik.

Fokus utama kerajaan BN Johor tidak lain lagi adalah meningkatkan kemakmuran ekonomi negeri itu,

khususnya dalam meningkatkan peluang pekerjaan kepada pekerja tempatan, khususnya anak muda. Ini satu cabaran buat kerajaan BN Johor yang perlu berfikir di luar kerangka biasa, mencipta peluang pekerjaan berkualiti dengan gaji dan jaringan keselamatan sosial yang lebih baik buat Bangsa Johor.

Anak muda Johor sepatutnya layak menerima gaji dan pekerjaan bermaruah yang boleh menandingi negara jiran Singapura. Apa yang lebih jelas, selepas pandemik, warga Johor memerlukan sebuah kerajaan negeri yang mampu menyediakan peluang ekonomi yang lebih baik.

Kerajaan BN Johor tidak seharusnya berbangga apabila tenaga anak jatinya ‘disewa’ untuk kepentingan ekonomi negara lain. Pembukaan sempadan pada 1 April ini tentunya akan merancakkan lagi ekonomi Johor.

Kerajaan BN Johor perlu membuat persiapan rapi supaya pekerja tempatan yang berulang alik Johor-Singapura tidak terjejas teruk.

Kedudukan selesa kerajaan BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor seharusnya menjadi kekuatan untuk menarik pelabur domestik dan antarabangsa ke Johor yang boleh mencipta pekerjaan dan gaji yang lebih tinggi buat anak tempatan.

Inklusif

Sudah pasti, kerajaan BN Johor akan melaksana dan menambah baik Pelan Pembangunan Mampan Johor (PPMJ) 2030, yakni satu pelan yang inklusif dirangka bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad, dalam agenda memacu kemajuan ekonomi dan membangunkan Johor yang lebih lestari.

Pelan ini akan menjadi pemacu utama kerajaan baharu pimpinan Datuk Onn Hafiz Ghazi. Covid-19 telah menyedarkan rakyat tentang kesan buruk mempunyai kerajaan yang tidak berfungsi dan untuk membangunkan ekonomi di Johor.

Pemimpin yang masih berfikir dengan cara lama dengan mengekalkan sistem ekonomi sedia ada akan memberi kesan buruk kepada kesejahteraan rakyat dan merapuhkan lagi sistem ekonomi Johor yang terjejas teruk akibat Covid-19.

Sebab itu, Bangsa Johor benar-benar memerlukan sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan mampu membangunkan ekonomi negeri sendiri. Jika kerajaan baharu Johor berjaya mengatur langkah dengan betul, tentunya kemakmuran negeri itu dapat dikembalikan.

Jika tidak, kehidupan Bangsa Johor akan lebih tertekan dengan keadaan ekonomi dan geopolitik yang tidak menentu. – UTUSAN

PENULIS ialah Koordinator Penyelidik di Institut Penyelidikan untuk Kemajuan Sosial (Refsa).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN