KRITIKAN Felow Kanan Institute of Southeast Asian Studies (ISEAS)- Yusof Ishak Institute, National University of Singapore, Dr. Norshahril Saat terhadap kerapuhan perjalanan dan masa depan politik Perdana Menteri kita, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sememangnya telah diduga. Ini kerana kebelakangan ini ramai felow dari ISEAS memberi perhatian terhadap isu pergolakan politik di negara-negara jiran ASEAN.
Sebagai ahli akademia dan penyelidik dalam isu politik tanah air, kita meraikan pandangan dan kritikan sebegitu. Namun, banyak perkara yang disentuh dalam kritikan beliau adalah tidak tepat kerana pengalamannya merasai wadah perjuangan UMNO, iaitu parti terbesar umat Melayu di Malaysia belum cukup untuk mengukur kewibawaan kepemimpinan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri setelah mendapat mandat kepercayaan dan keyakinan daripada pucuk pimpinan dan parti-parti yang mengangkat beliau menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Alasan dikemukakan yang membayangkan Ismail Sabri dalam kedudukan tersepit dalam parti dan kerajaan adalah tidak tepat kerana kepercayaan parti terhadap kewibawaan Naib Presiden UMNO itu masih utuh. UMNO sudah menjangkau usia 76 tahun, bukanlah parti yang calang-calang malah memiliki pengalaman luas memimpin, apatah lagi telah menerajui kerajaan dan mempelopori polisi yang banyak memelihara martabat orang Melayu.
Hubungan kekeluargaan dalam kalangan ahli UMNO tidak harus diperlekehkan. Sejak Datuk Onn Jaafar menerajui parti sehinggalah kepimpinan hari ini, hubungan dan dinamika dalam kalangan pemimpin UMNO dilihat terus utuh walaupun kadang-kadang tercalit isu-isu konflik tetapi berupaya menyelesaikan permasalahan dengan bijaksana dan tidak meruntuhkan imej serta reputasi parti.
Buktinya, keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka baru-baru ini mengangkat semula reputasi dan kewibawaan parti itu di bawah kesedaran yang masih menganggap UMNO adalah wadah dukungan pemeliharaan politik orang Melayu yang masih relevan. Kewibawaan Ismail Sabri menerajui kerajaan hari ini juga dilihat masih relevan dan memperoleh kepercayaan dan keyakinan rakyat.
Tidak seperti digambarkan bahawa parti memperlekeh atau memperkecilkan daya usaha dan sumbangan Ismail Sabri, sebenarnya rakyat menilai kewibawaan beliau sejak dilantik menjadi Perdana Menteri. Pemilihan yang tepat mengangkat beliau sebagai Perdana Menteri diukur daripada sifat keperibadian berhemah, rendah diri dan disenangi oleh semua orang, menjadikan beliau Perdana Menteri yang relevan dengan situasi politik negara hari ini.
BUAH TANGAN
Tidak cukup itu, wadah dasar Keluarga Malaysia yang diperkenalkan telah mengangkat teras perpaduan rakyat tanpa mengira ideologi politik dan diterima sebaiknya dalam kalangan parti gabungan kerajaan mahupun pembangkang. Dasar Keluarga Malaysia yang konstruktif dan menepati hasrat rakyat masa kini dilihat mengukur kewibawaan Ismail Sabri untuk memberikan nafas baharu terhadap hala tuju dan masa depan politik Malaysia mutakhir.
Inilah kekuatan Ismail Sabri yang dilihat sebagai tokoh berwibawa memimpin kerajaan dan juga antara pemimpin berpengaruh dalam UMNO. Ucapan penggulungannya dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) baru-baru ini disambut baik oleh para perwakilan, menunjukkan ‘buah tangan’ setelah mendengar dan merasai keluhan rakyat menjadikan beliau sentiasa memperoleh sokongan padu daripada ahli-ahli dan dianggap relevan dengan gaya kepimpinan parti itu hari ini.
Tidak bermakna sekiranya bukan peneraju utama parti, beliau tidak dapat menjalankan tugas sebagai seorang Perdana Menteri dengan baik. Selagi kepimpinan beliau dapat diterima dan tidak disanggah oleh ahli-ahli Parlimen, kerajaan pimpinannya masih kekal relevan serta terus memperoleh kepercayaan rakyat. Saya tidak fikir gaya kepimpinan politik Ismail Sabri diperjudikan oleh pucuk pimpinan sedangkan peluang inilah seharusnya digunakan sebaiknya oleh pimpinan parti untuk memperkasakan masa depan UMNO selaku peneraju kerajaan hari ini dan akan datang.
MEMBUNUH
UMNO bukanlah parti yang memperlekeh atau memperjudikan nasib perjuangan politiknya dengan mengatur strategi untuk ‘membunuh’ para pemimpinnya. Sebaliknya dalam konteks hari ini, wadah perjuangan parti itu harus dilihat lebih relevan mendepani cita rasa dan keperluan rakyat dan bukan menangguk di air keruh dengan membelakangkan peranan Ismail Sabri yang menjadi penyelamat kepada pergolakan politik negara mutakhir.
UMNO sentiasa mengutamakan permuafakatan dalam semua keputusan melibatkan parti itu dan bukan sebagaimana digambarkan oleh felow ISEAS tersebut. Apakah agenda ISEAS untuk mencampuri isu politik negara ini walhal mereka tidak dapat memperoleh maklumat dan turun padang meninjau situasi sebenar yang berlaku dan tidak mudah menuding jari kepada pucuk pimpinan UMNO terhadap situasi dalaman parti dengan tafsiran sendiri semata-mata?
Ini menyangkal kritikan felow ISEAS berkenaan yang membayangkan pemimpin negara terpaksa akur dengan keputusan yang bakal dibuat oleh beberapa pemimpin UMNO untuk menyingkirkan Ismail Sabri dari pentas politik negara. Seharusnya penganalisis politik itu membuat pertimbangan yang wajar berdasarkan pengamatan, menghayati sejarah dan perjuangan UMNO dan tidak lekas membuat kesimpulan wujudnya pergolakan krisis politik dalam parti yang menjadi tonggak masa depan umat Melayu.
Persepsi negatif yang dilontarkan olehnya boleh mengeruhkan hubungan baik kedua-dua negara sekiranya ia tidak dapat ditangani dengan baik, apatah lagi dari segi sejarah pun Malaysia dan Singapura mempunyai pengalaman politik berbeza mengikut acuan kepimpinan negara masing-masing.
Hakikatnya, kedudukan Ismail Sabri semakin kukuh selepas PAU apabila banyak isu keluhan rakyat dan ahli-ahli UMNO dapat ditangani dengan baik, apatah lagi kepimpinan beliau sebagai Perdana Menteri sehingga kini tidak disanggah oleh mana-mana pihak. Ini membayangkan beliau adalah calon tepat Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang berjaya meraikan perpaduan rakyat hari ini. – UTUSAN
DR. Syed Agil Alsagoff ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Bahasa Moden & Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM).










