SELEPAS Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, MCA didapati masih jauh ketinggalan dalam memperoleh sokongan signifikan dari kawasan majoriti pengundi Cina berbanding parti lawan.
Kini, jalan di depannya hanya satu, iaitu MCA perlu menyerap lebih ramai bakat muda berpotensi tinggi, baik sebagai calon pilihan raya mahupun tenaga dalam parti. Di samping itu, MCA mesti menentukan hala tuju perjuangan yang lebih jelas.
MCA ialah parti pengasas Parti Perikatan bersama UMNO dan MIC pada 1955 dalam Pilihan Raya Persekutuan Malaya pertama. Ketiga-tiga parti berganding bahu membuka tirai kerjasama politik pelbagai kaum.
Perkongsian kuasa politik tersebut meninggalkan implikasi yang besar kepada perkembangan politik negara. Malangnya, formula kerjasama politik itu kurang mendapat sambutan pengundi mulai 1990-an setelah persaingan politik kaum semakin menebal.
Para pengundi lebih cenderung menyokong politik permusuhan berbanding politik permuafakatan. MCA semakin ditolak oleh pengundi Cina. Sebagai gantinya, DAP bangkit sebagai pemenang kerusi terbesar di kawasan majoriti pengundi Cina.
Sehingga hari ini, MCA didapati masih belum pulih sepenuhnya daripada sindrom kekalahan walaupun sekarang sudah masuk tahun keempat selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Dalam PRN Johor baru-baru ini, walaupun MCA sudah melawan DAP dengan semangat dan kegigihan tinggi, berjaya merebut kembali empat kerusi, namun ramai pemerhati dan penganalisis politik mendapati para calon parti itu masih tidak berupaya menunjukkan satu haluan perjuangan yang teguh dan jelas. Sungguhpun di bawah naungan BN tetapi apabila diserang, mereka tiba-tiba panik dan buntu untuk membalas sindiran dan tikaman secara berkesan.
Hal ini kerap kali berlaku kerana wakil-wakil MCA didapati teragak-agak atau tidak tentu arah. Mereka mungkin tidak pernah berfikir secara masak atau belum bersedia langsung.
PENGAJIAN ISLAM
Apakah mereka benar-benar yakin kepada acuan kerjasama politik yang diamalkan selama ini? Tidakkah mereka sendiri percaya perjuangan yang dibawa itu semestinya boleh memanfaatkan masyarakat khususnya orang Cina?
Jika jawapannya ya, maka MCA perlu berani mempertahankan haluan perjuangan politik berbilang kaum secara yakin dan teguh. Suarakan pendirian secara lantang bahawa jalan keluar masyarakat Cina hanya satu, iaitu mencari rakan politik yang sesuai dan ikhlas untuk kemakmuran dan kesejahteraan bersama.
Di luar sana, tidakkah parti lawan juga sentiasa bertungkus lumus mencari peluang melalui pelbagai usaha penggabungan dan percaturan politik agar dapat membentuk kerajaan semula? Apa yang diamalkan MCA sekarang sebenarnya hanya mewarisi perjuangan terpuji bekas pemimpin-pemimpin MCA dahulu.
Sesebuah parti politik hanya akan berkekalan dengan adanya ahli-ahli yang bercita-cita tinggi dan agresif. Dalam hal ini, MCA perlu menyerap seramai mungkin anak-anak Cina pelbagai lapisan umur untuk menyokong perjuangan mereka. Jangan hanya menggali perigi apabila dirasakan dahaga.
Kumpullah pelapis-pelapis yang mempunyai penguasaan bahasa kebangsaan yang tinggi tarafnya. Mereka ini perlu fasih dalam menulis, bertutur serta berhujah dan berdebat. Seelok-eloknya, mereka perlu mempamerkan kepelbagaian latar belakang seperti sains politik, sejarah, pengajian Melayu, psikologi, ekonomi, pendidikan malah pengajian Islam sekiranya dapat dicari.
Bidang kepakaran dan pengalaman mereka perlu meluas, dinamik dan sanggup memperlengkapkan diri untuk memahami aspirasi masyarakat secara mendalam.
Keyakinan diri yang tinggi akan membantu mereka menangani pelbagai permasalahan masyarakat dan cabaran politik kelak.
Akhir sekali, anak-anak Cina yang memilih bidang politik sebagai kerjaya perlu memastikan diri mereka memang berjiwa politik dan bersedia mengorbankan masa, tenaga malah wang demi kemajuan demokrasi negara dan kesejahteraan rakyat. – UTUSAN
PENULIS ialah pelajar Ijazah Pengajian Media di Jabatan Media & Komunikasi, Universiti Malaya.










