APA bezanya antara ahli politik (politician) dengan negarawan (statesman)?
Tun Abdul Razak Hussein dilantik sebagai Perdana Menteri pada September 1970 mengambil tempat Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj selepas putera raja itu mengosongkan kerusinya tidak lama selepas rusuhan Mei 1969. Tun Abdul Razak menjadi negarawan tersohor di rantau Asia dengan tindakan beraninya menjalin hubungan dengan China (yang pada masa itu orang tidak terfikir boleh berlaku) dan berlapang dada menjalin hubungan dengan Indonesia selepas peristiwa konfrontasi.
Tun Dr. Mahathir Mohamad (seorang doktor) menjadi Perdana Menteri pada Julai 1981 setelah Tun Hussein Onn mengosongkan kerusinya disebabkan isu kesihatan. Dr. Mahathir diiktiraf sebagai negarawan di peringkat global dengan visinya, Dasar Pandang ke Timur, Buy British Last, menentang aparteid di Afrika Selatan, menentang kekejaman Zionis Israel, membantu Bosnia, Palestin dan banyak lagi.
Lee Kuan Yew (seorang peguam) memulakan kerjaya politiknya sebagai ketua pembangkang dan menang besar dalam pilihan raya (Singapura) pada 1959. Beliau dilantik sebagai Perdana Menteri pada 5 Jun 1959 dan berjaya membangunkan pulau kecil itu sebagai sebuah negara maju yang dihormati seluruh dunia (walaupun pada asalnya adalah sebuah pulau kecil milik Sultan Johor).
Itu adalah antara contoh-contoh ahli politik di rantau ini yang kemudian berjaya mencapai status negarawan.
Mengikut James Freeman Clark, seorang ahli politik memikirkan pilihan raya berikutnya, tetapi seorang negarawan memikirkan generasi berikutnya. Seorang ahli politik fokus kepada kejayaan partinya, manakala seorang negarawan fokus kepada kejayaan negaranya pada masa depan.
Negarawan hidup untuk memandu, manakala ahli politik selesa mengikut aliran semasa (the statesman wishes to steer, while the politician is satisfied to drift).
Mengikut Edmund Burke, ahli politik memikirkan isu harian dan bertindak atas pengalamannya, manakala seorang negarawan memikirkan isu masa depan dan bertindak atas prinsip-prinsip kehidupan yang abadi untuk dijadikan legasinya pada masa depan.
Antara ramai calon yang bertanding di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini, apakah anda rasa sudah ada individu yang punyai ciri-ciri seorang negarawan? Jika ada, itulah calon yang paling sesuai dipilih oleh rakyat Johor menjadi pemimpin negerinya.
ISTANA
Mengikut laporan media minggu lalu, Barisan Nasional (BN) mahu Menteri Besar (MB), Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad terus menyandang kerusi itu selepas PRN Johor andainya BN menang besar. Mengikut parti itu, Hasni berpengalaman luas mentadbir negeri dan ada hubungan baik dengan istana.
Bagi Perikatan Nasional (PN), pada mulanya calon untuk mentadbir Johor adalah Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad tetapi beliau menolak. Lalu kemungkinan besar calonnya adalah Ketua Penerangan PN negeri, Mohd. Solihan Badri atau bekas MB, Datuk Dr. Sahruddin Jamal.
Bagi Pakatan Harapan (PH), khabarnya bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik menjadi calon parti itu untuk menyandang jawatan MB Johor jika PH menang besar.
Bagaimanapun, mengikut laporan media lagi, ada pemilih di Johor yang masih tidak yakin dengan Maszlee kerana prestasi beliau semasa menyandang jawatan Menteri Pendidikan dahulu.
Jumlah kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor adalah 56 di mana UMNO dan DAP masing-masing punyai 14 kerusi, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) 11, PKR (7), Parti Amanah Negara (Amanah) 6, MIC (2) dan Pas (1). Untuk mewujudkan sebuah kerjaan baharu yang stabil, parti (atau gabungan parti) yang menang mesti ada sekurang-kurangnya 30 kerusi DUN.
Selepas negara merdeka, senarai MB Johor adalah seperti berikut:
Senarai Menteri Besar Johor
1. Hassan Yunus (Muar)
Jun 1959 – Januari 1967
2. Othman Saat (Muar)
Februari 1967 – April 1982
3. Abdul Ajib Ahmad (Endau)
April 1982 – Ogos 1986
4. Muhyiddin Yassin (Muar)
Ogos 1986 – Mei 1995
5. Abdul Ghani Osman (Muar)
Mei 1995 – Mei 2013
6. Mohamed Khaled Nordin (Permas)
Mei 2013 – Mei 2018
7. Osman Sapian (Kempas)
Mei 2018 – April 2019
8. Sahruddin Jamal
(Bukit Kepong)
April 2019 – Februari 2020
9. Hasni Mohammad (Benut)
Februari 2020 hingga sekarang
Daripada senarai ini, orang Johor sedar kecuali dari Mei 2018 hingga Februari 2020, Johor adalah kubu kuat BN (UMNO) sejak pramerdeka lagi. Maka tidak hairanlah parti itu mencalonkan menteri besar yang ada sekarang untuk terus menyandang kerusinya pada masa depan.
Penganalisis politik bertanya, apakah kemunculan 700,000 pengundi muda baharu akan memberi impak kepada landskap politik negeri itu pada waktu ini? Mengikut sebuah portal berita, sekiranya peratusan yang keluar mengundi pada kali ini tinggi (85 peratus atau lebih), tidak mustahil undi popular BN akan turun berbanding Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Tidak mustahil dalam senario ini, jumlah kumulatif undi popular BN, PN dan PH mungkin turun sebanyak 20 hingga 25 peratus. Portal itu menambah, adalah satu kekhilafan jika mana-mana pihak berpendapat bahawa fenomena Bossku membawa kebaikan buat BN.
Sama-samalah kita lihat apa yang akan berlaku pada Sabtu ini. Kepada saudara-mara dan sahabat-handai di Johor, saya ucapkan selamat mengundi. Laksanakanlah kewajipan anda. – UTUSAN
DATUK Salleh Buang pernah bertugas sebagai Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Beliau kini konsultan bebas sepenuh masa, pengarang dan kolumnis akhbar.










