Masih relevankah undang-undang antikeganasan?

Masih relevankah undang-undang antikeganasan?

SOSMA digubal khusus untuk membendung ancaman keselamatan yang mampu mengguling atau melemahkan negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUKAR untuk menafikan merit kebimbangan 86 ahli Parlimen yang menolak usul melanjutkan penguatkuasaan selama lima tahun lagi subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) kerana ia bersangkut kait dengan kuasa penahanan tanpa bicara selama 28 hari. Kebimbangan sebegini lahir kerana peluang terbuka luas bagi penyalahgunaan kuasa peruntukan kerana tiada unsur semak dan imbang pihak mahkamah.

Begitu jua 85 ahli Parlimen yang menyokong usul tersebut mempunyai justifikasi kukuh mengapa mereka akur untuk memberi satu lagi kaedah tambahan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam berdepan aktiviti keganasan di mana pelakunya semakin kreatif untuk elak kegiatan mereka terbongkar kerana perlakuan pengganas sentiasa berada satu tapak di hadapan pihak berkuasa keselamatan. SOSMA digubal khusus sebagai satu perundangan untuk membendung ancaman keselamatan yang mampu mengguling atau melemahkan negara dan dalam perundangan itu juga dinyatakan dengan spesifik, apakah yang dimaksudkan dengan ungkapan keselamatan.

Peruntukan SOSMA juga dengan begitu nyata menegah penggunaannya terhadap individu atau kumpulan kerana fahaman dan kegiatan politik mereka. Perlu jua ditekankan, SOSMA digubal demi memperkukuhkan satu lagi perundangan antikeganasan sedia ada iaitu Undang-Undang Pencegahan Keganasan (POTA) 2015.

Senario ini serupa dengan apa yang dialami oleh New Zealand selepas peristiwa tembakan rambang di Christchurch pada 2019 yang mengorbankan 50 jemaah dua buah masjid bandar raya tersebut. New Zealand sememangnya sudah ada perundangan antikeganasan tetapi ternyata tidak memadai untuk menyekat kejadian tersebut.

Dalam ketika penggubalan dasar baharu oleh kerajaan Perdana Menteri, Jacinda Ardern, tercetus sekali lagi peristiwa keganasan pada 2021 yang didalangi oleh Ahamed Aathil Samsudeen. Pelaku tersebut sememangnya dalam perhatian polis selama 53 hari sehingga tercetusnya insiden keganasan.

Pada 2020, mahkamah menolak permohonan polis untuk menahan Ahamed kerana perundangan antikeganasan sedia ada tiada peruntukan mengenai kejadian keganasan yang belum berlaku. Kekangan seperti ini memaksa Ardern menggubal peruntukan tambahan yang mana pihak keselamatan dibenarkan menahan individu yang dalam proses merancang aktiviti keganasan.

Hakikatnya adalah perundangan antikeganasan tidak boleh statik dan sentiasa perlu diperbaiki dan dikemas kini supaya pihak berkuasa keselamatan tidak terkekang dengan kelemahan dan kecacatan perundangan sedia ada.

Sebagaimana New Zealand, Amerika Syarikat (AS) juga menghadapi bentuk ancaman keganasan yang begitu dinamik sehingga memerlukan perundangan yang lebih mantap dan bersesuaian dengan keadaan semasa. Sebab itu jua, Akta Pencegahan Keganasan Domestik (DTPA) diperkenalkan tahun lepas ekoran peristiwa rusuhan berbentuk anarki yang menimpa bangunan Capitol.

MOU

DTPA khusus menumpu keganasan domestik yang berpunca daripada fahaman white supremacy. Lazimnya setiap rang undang-undang (RUU) yang membabitkan hal keselamatan dan kedaulatan di AS adalah bersifat bipartisan kerana draf usul dibuat secara bersama di antara dua parti politik utama. iaitu Republikan dan Demokrat.

Matlamatnya supaya mandat kelulusan RUU ini mendapat sokongan maksimum semua pihak apabila dibentangkan di Dewan Kongres dan Senat. Umpamanya Akta Pencegahan Keganasan dan Reformasi Perisikan (IRTPA) yang diperkenalkan oleh Presiden George Bush pada 2004 adalah untuk memperkemaskan semua perkara membabitkan perundangan keganasan rentetan serangan 11 September 2001.

Apabila diusulkan di Dewan Kongres, seramai 336 ahli kongres menyokong sementara 75 menentang. Sementara di Dewan Senat pula, 96 menyokong dan hanya dua senator menentang.

Memang benar ketika kerajaan membentangkan RUU POTA dan juga SOSMA, semangat bipartisan tidak diambil kira kerana ahli Parlimen dari Barisan Nasional pada ketika itu adalah dalam kalangan kumpulan yang mempunyai majoriti kukuh. Sokongan daripada ahli Parlimen kerajaan pada ketika itu sudah memadai menentukan RUU yang sensitif tersebut mampu diluluskan dengan selesa.

Senario politik sudah banyak berubah dalam hal komposisi ahli Parlimen dalam Dewan Rakyat pada ketika ini dan kegagalan kerajaan meluluskan peruntukan tahanan tanpa bicara adalah manifestasi jelas. Jika pihak pembangkang mempunyai kegusaran dengan kuasa menahan tanpa dirujuk kepada mahkamah, maka sesuatu boleh dilakukan demi mengendurkan kebimbangan bagi mengurangkan peluang kuasa ini disalah guna untuk kepentingan politik pihak tertentu umpamanya.

Sepatutnya memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai di antara kerajaan dan Pakatan Harapan memudahkan lagi perbincangan bentuk perundangan antikeganasan yang boleh diterima oleh kedua-dua pihak. Tetapi sebaliknya faktor MoU digunakan kedua-dua pihak untuk menuding kesalahan kepada pihak lain.

Begitu jua apabila Menteri Dalam Negeri mendakwa sebahagian daripada 30 ahli Parlimen kerajaan secara sengaja tidak hadir semasa usul dibentangkan, maka masalah dalaman ini perlu diselesaikan dengan segera. Jangan pula masalah politik dalaman kerajaan menyusahkan rakyat.

Dalam senario kebanyakan negara seperti AS dan Eropah sentiasa memperkemas perundangan antikeganasan masing-masing, jangan pula kita cuba mencairkan perundangan sedia ada hanya semata-mata kerana perselisihan politik kepartian. – UTUSAN

PENULIS ialah geostrategis dan Felow Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×