PERKEMBANGAN terbaharu dalam politik negara ini boleh dianggap sebagai satu persimpangan antara politik etnik dan agama dengan politik merentasi politik lama.
Walaupun Akta Anti Lompat Parti akan diluluskan di Parlimen, isu ahli politik yang ingin berhijrah setelah menang mungkin akan berlaku dalam suasana berbeza.
Ramai ingin membunuh katak yang melompat tetapi ramai dalam kalangan kita terlupa, katak juga mampu menyelam dalam kolam lain tanpa melompat. Apa yang pasti, peruntukan undang-undang hanya menyekat tetapi tidak menyelesaikan keseluruhan dilema politik yang berlaku.
Dilema ini pasti akan hadir jika berlaku ketidakseimbangan antara setiap parti yang menang dalam kerusi Parlimen tidak mencapai majoriti. Berkemungkinan berlaku gabungan jika tidak dibenarkan melompat tetapi berkemungkinan juga terjadi parti berubah pendirian.
Mungkin sesuatu parti yang menyertai sesuatu gabungan kemudian tidak berjaya membentuk kerajaan secara majoriti. Tambahan pula parti yang berlawanannya telah menghampiri untuk membentuk majoriti tetapi tidak melepasi majoriti mudah.
Apa yang berlaku berkemungkinan parti yang ada dalam gabungan tadi menyertai gabungan parti yang berlawanannya untuk membentuk kerajaan dan akhirnya gabungan asal parti tersebut hilang kuasa dalam tawar menawar untuk membentuk kerajaan.
Situasi kedua pula, berlaku penghijrahan beramai-ramai ahli politik yang memenangi kerusi Parlimen dari parti kedua terbesar majoriti dalam Parlimen. Penghijrahan untuk keluar parti membuatkan parti tersebut hilang punca. Seolah-olah parti itu ditinggalkan dan dibubarkan untuk menghidupkan kuasa kepada satu parti yang mendapat minoriti kerusi Parlimen supaya dapat membentuk sebuah kerajaan dengan gabungan parti lain.
Sememangnya Akta Anti Lompat Parti memperuntukkan mana-mana ahli Parlimen yang ingin lompat kepada parti lain perlu melepaskan kerusinya. Tetapi jika kedua-dua situasi tersebut berlaku, adakah kerusi Parlimen perlu dilepaskan kerana yang berlaku adalah parti, bukannya ahli Parlimen secara individu?
Parti berubah pendirian atau parti dimatikan dengan cara meninggalkan tidak bermaksud menjurus kepada ahli Parlimen secara individu. Walaupun asalnya, parti tersebut berada dalam gabungan A kemudian meninggalkannya dan menyertai gabungan B untuk membentuk kerajaan. Ini tidak boleh dianggap sebagai lompat parti.
Begitu juga jika semua ahli Parlimen dalam parti C ditinggalkan dan dibubarkan kemudian menyertai parti D. Adakah ini dikira sebagai lompat parti sedangkan parti C tersebut sudah dibubarkan selepas keputusan pilihan raya umum? Kemudian secara kolektif kesemua ahli Parlimen parti C asal kemudian menyertai parti D bagi membentuk kerajaan setelah satu proses tempoh masa rundingan tawar menawar dengan alasan parti C sudah bubar.
Terdapat juga situasi yang mungkin berlaku jika mana-mana ahli Parlimen dari sesuatu parti melawan keputusan dan kehendak presiden partinya terutama parti yang membentuk kerajaan. Apa yang menarik adalah presiden parti tersebut kemudian memecat ahli Parlimen terbabit daripada semua jawatan dan menjadi ahli biasa.
MOU
Ini boleh membawa kepada makna kekosongan kerusi ahli Parlimen tersebut sepatutnya berlaku. Situasi ini boleh digambarkan sebagai presiden parti tidak lagi mempercayai ahli Parlimen dalam partinya. Maka jika kes ini berlaku, adakah ahli Parlimen boleh menyeberangi parti lain yang boleh memberikan kepercayaannya sebagai ahli Parlimen?
Krisis ini amat perlu dinilaikan kerana jika parti tidak lagi mempercayai ahli Parlimen tersebut, bagaimanakah kemampuan ahli Parlimen tersebut untuk menguruskan Parlimen di bawahnya atas nama parti yang memecatnya daripada semua jawatan?
Jika Akta Anti Lompat Parti yang mengambil tindakan ke atas ahli Parlimen yang melompat tetapi tidak mengambil tindakan ke atas keputusan parti, maka era politik baharu tidak mampu menyihatkan demokrasi dengan situasi yang berlaku hari ini.
Berkemungkinan berlaku adalah ahli Parlimen tidak melompat tetapi menyebelahi satu pihak dalam proses undian Parlimen. Situasi ini berlaku kerana wujudnya protes ke atas keputusan presiden parti atau berlakunya ketidakpuasan hati ke atas presiden parti.
Situasi ini akan menguntungkan gabungan parti yang mempunyai majoriti mudah tanpa adanya perjanjian persefahaman (MoU) antara pihak oposisi atau pihak kerajaan.
Walaupun ahli Parlimen tersebut tidak lompat tetapi setiap proses undian Parlimen sudah pasti tidak menguntungkan partinya jika presiden parti yang memecatnya dari parti tersebut atas isu berkenaan. Kemudian beliau menjadi ahli Bebas untuk menyokong mana-mana parti. Adakah beliau disabitkan kesalahan dalam Akta Anti Lompat Parti?
Negara ini masih terikat dengan sistem kepartian politik. Setiap keputusan adalah dibuat oleh parti terutama presiden parti. Ini bermakna, setiap ahli Parlimen perlu akur dan mengikut kehendak presiden parti. Bukannya datang dari suara demokrasi setiap ahli Parlimen yang secara kolektifnya berada dalam sistem legislatif negara ini. Ini bermaksud demokrasi kestabilan negara akhirnya bergantung kepada parti khususnya presiden parti yang dipilih oleh rakyat. Bukannya ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat, untuk rakyat dan kepada rakyat. – UTUSAN
DR. Iskandar Hasan Tan Abdullah ialah Pensyarah Kanan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan.










