Jadikan hiburan juga pahala

Jadikan hiburan juga pahala

ISLAM mengharuskan hiburan kerana ia adalah fitrah atau naluri semula jadi manusia yang sukakan sesuatu yang menghibur dan menggembirakan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISLAM mengharuskan hiburan. Ini kerana ia adalah fitrah atau naluri semula jadi manusia yang sukakan sesuatu yang menghibur dan menggembirakan. Hiburan itu pula mempunyai pelbagai cara dan berbeza antara satu dengan yang lain. Ada orang yang terhibur dengan melihat keindahan alam semula jadi. Mendengar desiran angin di pantai atau keindahan air terjun. Ada yang cukup terhibur mendengar kicauan burung-burung. Malah ramai yang terhibur mendengar lagu dan juga menonton filem atau drama.

Nabi Muhammad SAW turut memberi gambaran hiburan adalah sesuatu yang harus di dalam Islam. Ia berdasarkan hadis baginda yang bermaksud: Sesungguhnya Abu Bakar masuk kepadaku, sedang di sampingku ada dua gadis hamba daripada orang Ansar sedang menyanyi dengan nyanyian yang dinyanyikan oleh orang Ansar pada hari peperangan Bu’ath. Aku berkata, kedua-dua orang ini bukanlah penyanyi. Abu Bakar berkata, adakah di rumah Nabi ini terdapat serunai syaitan? Sedangkan pada hari ini adalah Hari Raya Aidilfitri. Rasulullah SAW bersabda, “Wahai Abu Bakar, sesungguhnya setiap kaum ada hari rayanya dan ini adalah hari raya kita”. (Riwayat Bukhari)

Realiti hidup, kita tidak boleh lari daripada hiburan. Dalam setiap rumah akan ada televisyen, radio dan kini gajet paling ‘penting’ adalah telefon pintar. Telefon pintar bersaiz tapak tangan ini kini amat ‘berkuasa.’ Bukan hanya boleh berhubungan antara satu dengan lain tetapi menjadi alat komunikasi yang amat penting. Boleh dikatakan semua ‘benda’ termasuk hiburan dan filem dapat ditonton menerusinya.

Untuk itu, amat penting bagi umat Islam terlibat dalam menyediakan kandungan (content) yang patuh syariah. Kalau dalam drama dan filem, selain mengelak perbuatan syirik, hendaklah juga menjaga batas aurat dan pergaulan bebas lelaki dan perempuan bukan mahram. Insiden ‘bocornya’ babak panas drama Perempuan Itu baru-baru ini adalah antara contoh tindakan yang bercanggah dengan syarak. Sudah tentu ia tidak sesuai dijadikan bahan tontonan umum mahupun untuk promosi. Lebih malang, filem
itu diterbitkan oleh orang Islam. Sepatutnya mereka maklum akan batas dan had yang dibenarkan. Ia pula dikatakan untuk siaran Ramadan kali ini. Walaupun tujuan adegan itu barangkali bagi menunjukkan kesilapan manusia atau sifat kita yang tidak maksum, melakonkannya tetap dilarang dan berdosa. Ringkas kata, Islam tidak benarkan matlamat menghalalkan cara.

Filem yang bermutu tidak akan menjadikan unsur seks, ganas dan seram semata-mata sebagai pelaris. Sesebuah filem yang bermutu lazimnya mengandungi tiga elemen
utama iaitu teks, watak dan lokasi. Filem tanpa teks ibarat pernyataan tanpa mesej. Ia merangkumi skrip (idea, cerita, pergerakan watak, visual, audio dan muzik), plot, dialog dan audio. Filem tanpa pelakon pula ibarat jasad kaku tanpa pemikiran. Latar membentuk pengaruh positif dalam penceritaan (Profesor Dr. Naim Ahmad, 2011).

Justeru, kriteria patuh syariah hendaklah meliputi ketiga-tiga elemen tersebut. Malah bagi memastikan filem itu berada dalam piawaian syarak, pembinaan karakter perlu
mengambil kira hukum fiqh yang berkaitan dengan filem. Yang diharapkan daripada para penggiat filem dan drama adalah karya-karya menarik yang mempunyai mesej kemasyarakatan, akhlak dan moral.

Antara yang boleh dijadikan contoh adalah drama Rumah Kedai. Ia sebuah siri drama televisyen komedi Malaysia yang disiarkan di TV3. Ia disiarkan setiap hari sepanjang
Ramadan mulai 5.30 hingga 6 petang (Isnin ke Jumaat) dan 4.40 hingga 5 petang (Sabtu dan Ahad). Siri ini disiarkan selama enam musim sejak 18 April 1988 hingga 24 Mac 1993. Barisan pelakonnya bukanlah yang tampan-tampan atau seksi tetapi orang berbakat dan berjaya menjiwai watak dengan berkesan. Antaranya pelawak Allahyarham Sudiro Sukiman, Allahyarham Harun Salim Bachik dan Rosnah Mat Aris. Rumah Kedai mendapat sambutan hangat di kaca televisyen dan diteruskan sehingga musim keenam pada 1993. Ketika era kegemilangannya, drama ini begitu dinantikan terutama ketika menjelang waktu berbuka puasa. Drama ini membawa mesej kemasyarakatan dan dibawa dengan komedi santai.

Menyedari hidup kita yang sementara di dunia ini, janganlah hendaknya kita diperdaya oleh bisikan dan hasutan syaitan sehingga terdorong melakukan maksiat untuk mengejar populariti dan sebagainya. Sebaiknya, orang seni pun berusaha mencari pahala dalam berkarya. Ingatlah firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan ada di antara manusia – orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita dan perkara hiburan yang melalaikan; yang berakibat menyesatkan (dirinya dan  orang ramai) dari agama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan; dan ada pula orang yang menjadikan agama Allah itu sebagai ejek-ejekan; merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan.” (Luqman: 6)

Menurut Ibn Kathir, perkataan lahwa al-hadis atau ‘hiburan yang melalaikan’ dalam ayat ini adalah merujuk kepada nyanyian dan muzik. Dikaitkan pula ia sebagai kesesatan kerana terdapat nyanyian dan muzik yang bertentangan dengan Islam. Ayat ini sebenarnya merujuk kepada satu golongan manusia yang lebih senang mendengar seruling, nyanyian dan suara muzik berbanding mendengar dan membaca ayat al-Quran. Dalam ayat tersebut, Allah SWT memberi peringatan kepada golongan ini dengan ancaman azab yang menghinakan. Walaupun ia menyentuh nyanyian dan muzik, ayat tersebut boleh diperluaskan kepada filem atau drama tidak patuh syariah yang dipenuhi unsur melalaikan.

Menurut Profesor Dr. Yusuf al-Qaradawi, antara hiburan yang dapat menghiburkan jiwa, menenangkan hati dan menyedapkan telinga adalah nyanyian yang tidak dicampuri dengan kata-kata kotor, keji dan menggalakkan kepada perlakuan dosa dan maksiat.

Berdasarkan Garis Panduan Hiburan Dalam Islam yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), panduan persembahan artis adalah seperti berikut;
 Berinteraksi dengan penonton secara sopan dan disertai kata-kata yang boleh membina nilai kemanusiaan.
 Berpakaian kemas, sopan dan tidak memakai pakaian yang boleh mendedahkan diri kepada eksploitasi penonton, serta tidak bercanggah dengan kehendak Islam.
 Tidak melakukan gerak geri dan perkataan yang boleh menimbulkan dorongan kepada maksiat dan menghina Islam.
 Tidak mengucapkan kata-kata yang menggalakkan perbuatan maksiat dan menghina agama Islam. – UTUSAN

PENULIS ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×