EXPO 2020 di Dubai melabuhkan tirainya hari ini selepas menjadi tuan rumah kepada siri ekspo dunia yang terbesar dan terbaik sejak bermulanya di London, 170 tahun lalu. Dubai yang berusia hanya 50 tahun mengejutkan dunia melalui kepemimpinannya sebagai sebuah negara yang berani bukan sahaja dalam kalangan negara Timur Tengah, Arab khususnya, tetapi seantero.
Tidak banyak negara membangun yang boleh mengikut gerak langkah serta keberanian Dubai dalam hal ini. Ambil sahaja Expo 2020 yang berlangsung selama 182 hari sejak Oktober tahun lalu. Ekoran pandemik yang mengganas mulai 2019, ekspo itu terpaksa ditunda pembukaannya. Namun, ia tidak kurang menggamit bilangan kunjungan yang datang dari luar inayah Emiriyah Arab Bersatu (UAE) mewakili seluruh dunia.
Sedangkan Malaysia baru sahaja mahu membuka sempadannya esok, Dubai telah melakukan lima bulan lebih awal tanpa banyak kerenah dan berdolak-dalik atau keluhan itu dan ini. Expo 2020 adalah contoh terbaik untuk menarik perhatian dunia serentak menyambut ulang tahun ke-50 negara tersebut.
Malah ia tiada mengenakan kuarantin dan juga sebarang ujian atau saringan sejak kebelakangan ini. Maka para pengunjung, puluhan ribu ramainya, melawat Expo 2020 pada setiap satu-satu masa ibarat keadaan telah kembali ‘pulih’ tetapi patuh peraturan dan perundangan. Kalimat prosedur operasi standard (SOP) tidak langsung kedengaran di sini, namun tidak pula membimbangkan. Kepemimpinannya amat meyakinkan. Suasana tetap ceria dan meriah melalui hidangan ratusan astaka mewakili hampir setiap negara seluruh dunia, selain daripada astaka-astaka dengan tema-tema tertentu.
Apa pun, tema utama Expo 2020 menyangkut kepada matlamat pembangunan lestari (SDG) anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu semenjak 2016 lagi. Ini diandaikan suatu game changer (pengubah mainan) buat masa hadapan bagi umat sejagat sebagai penghuni bumi yang sedang dilanda pelbagai musibah dan kecelakaan.
Ruangan ini pada minggu lalu mengutarakan suatu kajian tentang kegagalan kepemimpinan dalam soal keterampilan, sifat ketamakan serta keremehan sekali gus menyangkut dengan kefahaman kata pinjam ‘minda’ yang sempit dan tanpa roh. Semua ini jelas disimpulkan oleh Expo 2020 untuk direnungi setiap para pengunjung dari mana sahaja. Dan kepada mereka hanya puas berbicara sewajarnya mula mengambil langkah untuk melangsungkannya.
Dalam hal ini, Dubai pantas mencadangkan kepada dunia bahawa jika hendak seribu daya, tidak mahu seribu dalih! Masa untuk berpeluk tubuh sambil tersenyum sudah lama berlalu. Kini sudah sampai ketika membanting tulang membina masa hadapan serba baharu, adil dan saksama. Tepuk dada, tanya selera.
Dari aspek ini, Expo 2020 turut menyelami dengan lebih mendalam akan peranan pendidikan untuk masa hadapan. Ini melibatkan lebih 300 pakar pendidik dari 45 negara termasuk Malaysia dan menghasilkan empat jilid laporan melebihi 1,000 halaman untuk dihadam dan dilaksanakan. Malah bahan ini dijadikan perbahasan meja bulat semasa ekspo tersebut minggu lalu. Ia berkisar kepada empat tema utama, yakni pendidikan dan memekarkan insan, peranan konteks dalam pendidikan, pengalaman pembelajaran, serta peranan data dan bukti dalam pembentukan dasar.
KAYU UKUR
Semua ini menuntut penafsiran semula aspek pengukuran serta penilaian pendidikan sebagai kayu ukur berasaskan kaedah sains dan sumber bukti. Ini juga bermakna banyak aspek berkaitan amalan lama termasuk anjuran PISA serta TIIMS yang sering diuar-uarkan kini dianggap tidak lagi sesuai untuk terkehadapan.
Dalam usaha meninjau pendidikan masa hadapan dan konteks pendidikan yang lestari, tujuh risalah ditekankan. Pertama, setiap pelajar belajar secara berlainan.
Bermaksud mereka mempunyai cara tersendiri dan tidak semesti berseragaman. Kedua, pembelajaran berpaksi seluruh otak untuk membentuk kesyumulan insan. Ketiga, kepentingan konteks dan pengaruhnya kepada dunia amnya.
Keempat, cara pembelajaran yang aktif dan melibatkan percubaan serta pengalaman antara guru dan rakan sebaya. Kelima, potensi individu mendahului meritokrasi dan berkisar kepada pembentukan diri dan peribadi. Keenam, melabur ke arah sistem pembelajaran keseluruhan otak, dan ketujuh, merentas bidang serta sudut pandang sedia ada.
Semua ini wajar diterjemahkan sebagai dasar termasuk misalnya, menyusun semula kurikulum, pedagogi dan penilaian pembelajaran, menggantikan meritokrasi dengan potensi, melaksanakan enam domain kurikulum – alam sekitar, budaya, masyarakat, teknologi, kendiri serta antara peribadi memperkenal saringan awal berbentuk universal, menyokong dan memperkasa keserakanan antara sekolah-masyarakat. Umumnya agar lebih arif tentang belajar untuk belajar bagi masa-masa mendatang bagi menelusuri suatu sistem yang lebih kompleks melangkaui isu serta aktiviti pendidikan dahulu kala.
Semua ini juga diselaraskan dengan hasrat Kemuncak Kerajaan Dunia yang berlangsung beberapa hari sebelum Expo 2020 menyepi, antara 28 hingga 30 Mac lalu di medan ekspo sama. Soal kelestarian, masa hadapan, pandemik dan kesihatan adalah antara isu yang terus mendapat penekanan berbekalkan pelbagai natijah Expo 2020 hasil daripada langkah berani Dubai yang tidak lagi dapat disangkal. Pendek kata, kepemimpinan yang ditunjukkan terus berani dalam mengharungi cabaran hari muka. – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).











