‘Do or die Bersatu, tidak DAP’

‘Do or die Bersatu, tidak DAP’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

AKHIRNYA Pengerusi DAP Johor, LIEW CHIN TONG membuka dirinya untuk ditemu bual Utusan Malaysia.

Di sebuah kafe di Taman Eko Botani, Nusajaya, Johor malam kelmarin, Chin Tong menjawab soalan-soalan yang dilontarkan oleh wartawan ZULKIFLI JALIL dan JUANI MUNIR ABU BAKAR disertai jurufoto, FARIZ RUSODIO.

Berikut pengamatan Pengarah Pendidikan Politik DAP Kebangsaan itu terhadap senario PRN Johor.

UTUSAN: Mencabarkah PRN Johor berbanding tiga PRN sebelum ini?
CHIN TONG: Memang bagi DAP apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubar (22 Januari 2022), ia menjadi pilihan raya agak sukar buat DAP dan Pakatan Harapan (PH) kerana UMNO sangat inginkan dan mulakan perlawanan ini. Maka perlawanan ini tidak seimbang. Justeru, jadi cabaran sangat besar untuk DAP dan PH.

Tetapi bagi UMNO sendiri, mereka juga menghadapi cabaran besar termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Perikatan Nasional (PN). Bagi Bersatu dan PN, ini (PRN Johor) adalah do or die (hidup atau mati) mereka.

Mengapa do or die PN?
Ini kerana Johor merupakan homeground Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana tidak boleh menang kerusi langsung maka ada kesan kepada Pusat. Tetapi jika PN boleh menang kerusi, itu cerita lainlah.

Benarkah sukar untuk UMNO?
Selepas 2018, faktor ketakutan sudah tiada, faktor sinis juga tiada. Bagi pengundi Melayu, UMNO tidak tawarkan apa-apa yang baharu, hanyalah kestabilan dan kegemilangan dari zaman Datuk Seri Najib Tun Razak, itulah mesej mereka. Selain itu, mesej UMNO sebagai big brother (abang besar), barulah ada kestabilan. Mesej ini tiada kesan.

Do or die ini kepada DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) samakah?
DAP dan Amanah tidak sampai tahap itu. Kita akan menang sikit, kurang sikit, tambah sikit tetapi tidak pasti lagi. Tetapi tidaklah sampai dapat kosong. Keadaan sini (Johor) dengan negeri lain, agak lain sedikit. Jadi, saya berandaian kami tidak akan do or die atau mati katak.

Pas?
Saya tidak tahu apa Pas hendak buat di Johor. Pas, Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) saya tidak mahu komen. Bukan faktor besar di Johor. Nampak pertembungan antara Barisan Nasional (BN), PN dan PH. lain bukan player.

Ada beza sentimen PRN Johor ini dengan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14)?
Pada PRU14 masih terdapat pengundi dalam kalangan Melayu yang masih takut jika tiada BN. Apatah lagi di Johor yang merupakan kubu kuat UMNO. Tapi tidak bagi pengundi Cina dan India yang dilihat sejak 2013 lagi tidak takut untuk mengundi calon bukan Melayu. Sebelum itu mereka takut.

Tetapi dalam kalangan pengundi Melayu sehinggalah PRU14 masih ada ketakutan (mahu undi DAP) khususnya penjawat awam seperti polis dan tentera, takut undi mereka bukan rahsia. Takut kekecohan, rusuhan, takut Cina pegang.

Namun selepas tiga kerajaan, tiga perdana menteri, saya rasa ketakutan itu dah hilang dalam kalangan Melayu. Jadi, jangkaan terhadap ahli politik sudah lain.

Itu yang mendorong DAP letak dua calon Melayu?
DAP berharap untuk jangka panjang. Memang ada objektif jangka pendek iaitu memenangi kerusi, tetapi ada objektif jangka panjang iaitu mewujudkan parti yang tidak lagi berasaskan perkauman.

Bukankah DAP berteraskan kaum Cina?
Sebenarnya DAP tidak bermula sebagai parti Cina. Bermula 1966, kami ada naib pengerusi Melayu dan setiausaha agung pertama adalah Devan Nair. Kami akui mempunyai ramai ahli Cina dan India.

Untuk kami dan parti mara ke hadapan perlunya change the rule of game iaitu tidak boleh berasaskan kaum. Saya sendiri rasa 14 tahun dalam politik dan 8 Mac (semalam) genap 14 tahun saya jadi ahli politik ada jawatan sebab 2008 saya menang di Pulau Pinang.

Jadi, tidak benarlah DAP sasar jawatan Menteri Besar (dengan letak calon Melayu)?
Tiadalah.

Antara sebab PRN Johor ini kerana bimbang pelabur masih tarik hand brake. Kemudian lari kerana politik dan ekonomi kita tidak stabil. Setujukah?
Saya mahu sentuh dua perkara. Pertama, kertas putih pertahanan. Saya bekas Timbalan Menteri Pertahanan bersama Abang Mat (Mohamad Sabu) Menteri Pertahanan. Di Kementerian Pertahanan, kami usahakan kertas putih pertahanan selaku dokumen paling penting dalam sejarah pertahanan.

Kami jemput pembangkang pada masa itu dan berunding dengan mereka. Akhirnya pada 2 Disember 2019, mereka sokong kertas ini secara bipartisan. Ketua Pembangkang ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan tiga bulan kemudian jadi Menteri Pertahanan. Apabila ditanya wartawan, adakah kertas ini akan diteruskan, beliau cakap teruskan sebab saya yang sokong dalam dewan.

Saya ingin jelaskan, dalam keadaan parti yang tiada big brother atau tiada satu pun parti yang dominan, kesinambungan dasar datang daripada bipartisan dan bukan datang parti dominan.

Yang keduanya pula?
Keduanya, dalam konteks Johor. Saya bersama Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan dan wakil PKR, kami jumpa Hasni (Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad) beberapa kali sejak November 2020 dan kerajaan ketika itu mempunyai sokongan 29 kerusi di samping ada masalah dengan Bersatu tidak ingin sokong mereka.

Kami jumpa beliau, akhirnya ada keputusan kerajaan akan ambil kira cadangan dan pandangan pembangkang serta kami bersetuju tidak jatuhkan belanjawan dan kerajaan secara janji mulut. Beliau mengutarakan cadangan dan kerajaan beri peruntukan kepada pembangkang. Ini dicapai pada November 2020.

Malah Hasni dalam DUN cakap kami adalah rakan strategik, jadi tiada orang hendak tumbangkan Hasni.

Makna kepada pelabur tadi?
Untuk pelabur, apa yang telah dipersetujui oleh kedua-dua parti, baik pembangkang atau kerajaan akhirnya ada kesinambungan.

Jadi, ini (bimbang pelabur tarik hand brake) rasanya sebab UMNO tiada idea baharu. Mengapa UMNO tidak dapat lonjakan yang mereka inginkan?

Akhirnya kalau ada post mortem, UMNO akan menang tipis atau kalah tipis, tidak menang 29 kerusi di Johor (12 Mac ini). Najib akan dipersoalkan kerana dalam kempen ini tidak nampak Hasni. Padahal ini adalah PRN malah Hasni popular dan diterima rakyat, tetapi tenggelam dalam kempen. Tetapi bagi Najib ada 40 peratus sokong, ada 40 peratus tidak sokong.

Jika kempen BN tiada Najib, kempen boleh fokus kerana Hasni lebih ramai diterima berbanding Najib. Tetapi PRN ini seolah referendum terhadap Najib yang akhirnya tidak memanfaatkan UMNO kerana tidak boleh keluar daripada (impak PRU) 2018.

Tapi mengapa DAP tidak jadikan Hasni ‘bahan’ kempen?
Ini kerana Najib dibenci orang Melayu. Saya nampak beliau (Najib) 40 peratus sokong, 40 tidak. Tetapi di Johor yang benci ramai, daripada yang suka dia. Beliau memang ada peminat, diakui ramai sokong dia. Tetapi dalam PRN dan PRU, hanya dapat undi menyokong tidak cukup selepas pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran undi automatik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN