Dinamik Dasar Pandang ke Timur

Dinamik Dasar Pandang ke Timur

HASIL dan pulangan empat dekad Dasar Pandang ke Timur berjaya membina struktur dan sistem yang diperlukan untuk menjadi negara membangun berwawasan tinggi. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LEGASI penerapan Dasar Pandang ke Timur yang sudah genap 40 tahun menjadi pentas ukuran pemerkasaan kemajuan sistem dan negara. Polisi dan amalan yang berteraskan nilai, etika, budaya dan pemindahan ilmu dan teknologi yang diperlukan sebagai anjakan pembangunan negara membuahkan hasil dalam beberapa parameter yang dijadikan kayu ukur untuk perencanaan strategi pengolahan dalam fasa 40 tahun akan datang. Perubahan dimensi dan teras skop perjalanan negara sejak beberapa dekad lalu menjadi cabaran kepada kemampanan impak positif dasar ini.

Bertunjangkan serampang dua mata, penerapan nilai dan konsep serta rencana lonjakan kemajuan sains, teknologi berimpak tinggi dan bidang futuristik berlunaskan kapasiti pengetahuan hard asset dan kepakaran kritikal Korea Selatan dan Jepun khususnya. Berpaksikan sektor pembuatan dan pembinaan, elektrik dan elektronik, industri berat dan sektor komoditi berasaskan nilai tambah menjadi antara jalinan utama dalam rangsangan ekonomi dan anjakan mobiliti sosial. Ia menjadi faktor pemangkin kepada peralihan status negara membangun dalam indikator kepesatan pembangunan ekonomi dan kapasiti potensi pencapaian negara berpendapatan tinggi.

Kemelut pandemik Covid-19 serta pergolakan politik dalaman, selain terpaksa bergelumang dengan krisis kewangan dan ekonomi luaran serta polemik geopolitik sejak dua dekad lalu merencatkan usaha dan fokus dalam mencapai aspirasi negara berpendapatan dan berteknologi tinggi pada 2025. Hasil dan pulangan empat dekad Dasar Pandang ke Timur berjaya mempersiap faktor asas dan parameter dalam membina struktur dan sistem yang diperlukan untuk menjadi negara membangun berwawasan tinggi.

Kini negara memasuki fasa penentu kritikal dalam memecah kepompong lama dan terus mengorak langkah untuk memacu momentum dan hala tuju yang akan memerlukan sistem, konsep serta pegangan baharu dan bersepadu bagi membolehkan peralihan dipercepatkan. Batu asas kukuh yang dibina sejak hampir separuh abad lalu memerlukan daya tujahan lain serta faktor pelengkap dan penentu dalam memastikan kerelevanan dan keupayaan memacu peralihan negara. Industri kritikal termasuk kepakaran teknologi digital, modaliti siber generasi baharu, kapasiti kepakaran teknologi futuristik nano, kuantum, robotik dan kapasiti teras masa depan lain seperti kejuruteraan neural, teras sains alam semesta dan pemerkasaan kepintaran buatan, antara lain.

Peralihan fokus kepada ekonomi berteraskan pendigitalan masa depan, penciptaan ilmu baharu serta landskap ekonomi hijau menjadi kayu ukur kepada rencana ini dan olahan kepada dasar ini dalam dekad akan datang. Landasan dan potensi lain perlu diterokai dalam membina semula asas kesinambungan dan keefisienan dasar baharu ini dalam memaksimumkan impak positif kepada kedua-dua pihak.

CHINA

Jepun dan Korea Selatan yang kekal berada di landasan hadapan dalam industri kritikal masa depan tetap menjadi lapangan sandaran dalam mengekalkan bekalan sokongan ilmu dan kepakaran, di sebalik kebergantungan meningkat negara kepada China khususnya. Jaringan sokongan modal mudah dan lambakan sumber pelaburan dari China menjadi sasaran dan sandaran sejak dua dekad lalu.

Dalam mendepani perdebatan mengenai tahap kematangan akhir dan permulaan kemerosotan nilai tambah dan kompetitif Jepun khususnya berdasarkan beberapa indikator umum, potensi dan peranan yang dimainkan Tokyo mahupun Seoul kekal kritikal dan relevan dalam konteks penyusunan strategi masa depan, terutama kesiapsiagaan dan persediaan faktor perintis futuristik ditunjangi kepentingan inovasi dan pemusatan dominasi maklumat dan siber.

Sektor baharu lain, industri sumber alam yang menjadi kelebihan negara serta sumber hijau baharu yang dapat menjadikan kelebihan Jepun dalam konteks ini sebagai sandaran strategik masa depan.

Sektor pertahanan dan ketenteraan antara lain menjadi potensi untuk dipertingkatkan dalam memberi dimensi baharu kepada jalinan hubungan dengan Jepun dan Korea Selatan. Dalam analisis rubrik Dasar Pandang ke Timur ini, perkiraan hasil kepada negara tidak terikat kepada pulangan modal dan penjanaan insentif ekonomi semata-mata, sebaliknya amalan ikatan nilai dan etika murni dan berdisiplin dalam memberikan dorongan dan sasaran produktiviti yang berwawasan dan jitu. Perhitungan ini menggambarkan impak bersepadu dalam memberikan nafas dan penanda aras baharu untuk mentransformasikan strategik dasar ini dalam mengharungi cabaran baharu pascapandemik dan pembangunan semula strategi pemerkasaan negara dalam kontak serantau dan global.

Dalam sisipan ini, perencanaan kritikal baharu wajar dilengkapi dengan sokongan berterusan dan pelengkap daripada kepakaran dan kestabilan berterusan Barat khususnya Amerika Syarikat dalam memberikan kesepaduan holistik pulangan kepada negara. Dasar Pandang ke Timur 2.0 baharu ini perlu disuntik dengan jelingan strategik ke Barat sebagai wadah komprehensif berpaksikan gabungan sumber penjana kapasiti tinggi dan modal kelengkapan menyeluruh yang akan memberikan limpahan domino lestari dan terjamin dalam menelusuri likuan pembangunan progresif dan cabaran mendatang. – UTUSAN

PENULIS ialah Penolong Pendaftar di Universiti Malaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×