Di mana adab kita?

Di mana adab kita?

aidiladha
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEBERAPA peristiwa yang berlaku sejak akhir-akhir ini mengundang pelbagai persoalan di minda saya. Hari demi hari, ada-ada sahaja cerita negatif yang tular di dada akhbar dan media sosial.

Adakah kerana terlalu mementingkan kehidupan duniawi, maka ada yang sanggup menggadaikan maruah demi kepuasan diri? Di manakah adab susila kita sebagai bangsa bermaruah?

Ada yang sanggup berbuat apa sahaja untuk menjadikan diri mereka tular dan seterusnya popular. Mereka rela memperbodohkan diri demi mencari publisiti murahan.

Kadangkala setelah ditegur, semakin menjadi-jadi pula aksi mereka. Malah, ada juga yang menyokong si pelaku dengan pelbagai alasan. Akibatnya, berlakulah konflik di alam maya antara yang menentang dan yang menyokong. Sehinggakan sanggup memaki hamun dan menggunakan perkataan-perkataan jelik demi menyuarakan rasa hati masing-masing. Walhal, kita semua tahu bahawa matlamat tidak menghalalkan cara.

Jika semua orang merasakan mereka berhak berbuat apa sahaja ketika marah, maka akan porak perandalah keadaan masyarakat kita. Begitu juga kes-kes buli yang semakin berleluasa termasuk dalam kalangan murid sekolah.

Ramai pelajar yang cedera sehingga membawa maut akibat dibuli oleh pelajar lain. Ada yang membuli untuk menunjukkan kuasa, demi keseronokan dan kepuasan diri. Di mana silapnya sehingga mereka boleh bertindak di luar batas kemanusiaan?

Adakah kita telah gagal membentuk keperibadian mulia dalam diri anak-anak? Jika nilai-nilai mulia gagal diterapkan sejak kecil, tidak mustahil setelah dewasa nanti ada yang bersikap beraja di mata, bersultan di hati.

ALKOHOL

Kelulusan akademik yang tinggi tanpa diimbangi keimanan dan keperibadian baik akhirnya akan membunuh peradaban dan ketamadunan bangsa.

Kes pergaduhan di kawasan awam juga kerap dilaporkan termasuk kes-kes membabitkan senjata tajam dan senjata api. Lebih malang lagi apabila ada anggota penguat kuasa serta orang awam yang turut tercedera. Kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib ketika bertugas pada 2018 masih menjadi igauan dalam kalangan rakyat sehingga hari ini.

Di jalan raya pula, banyak kemalangan berlaku akibat pemandu gagal mematuhi peraturan, cuai, memandu di bawah pengaruh alkohol, dadah dan sebagainya. Kes memandu melawan arus juga semakin menjadi-jadi. Sama ada berlaku akibat kecuaian atau disengajakan, tindakan tegas harus diambil demi keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

Kes buli di jalan raya juga turut mendedahkan pengguna kepada bahaya dicederakan atau kenderaan mereka dirosakkan oleh pembuli. Semua pihak termasuk pihak berwajib mesti segera bertindak dan tidak hanya menganggapnya sebagai kes terpencil. Ini menggambarkan keadaan masyarakat yang tidak sihat dan akan bertambah buruk jika dibiarkan berlarutan.

Cegah sebelum parah. Sepatutnya pelaksanaan dasar pendidikan negara harus mampu melahirkan insan-insan yang berbudi pekerti tinggi. Jangan sampai anak bangsa melupakan agama dan peradaban akibat hanya mementingkan kepuasan duniawi. – UTUSAN

PENULIS ialah pelajar program asasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×