Dari kapcai ke MotoGP - Utusan Malaysia

Dari kapcai ke MotoGP

RON HOGG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEJUARAAN Cub Prix Malaysia pastinya perlumbaan yang cukup dikenali dalam kalangan peminat motosikal tempatan. Ia merupakan perlumbaan kapcai paling beprestij di negara ini.

Mana-mana pelumba yang berjaya di peringkat ini, peluangnya untuk dinaik taraf ke perlumbaan peringkat Asia Tenggara mahupun dunia seperti Kejohanan Motosikal Dunia (MotoGP) dan Kejohanan Superbike Dunia (WSBK) sangat cerah.

2022 merupakan tahun ke-28 Safe Aim Mutual Sdn. Bhd. (SAM) menguruskan perlumbaan ini yang diadakan di seluruh negara.

Sempena pusingan pertama kejuaraan itu yang berlangsung hari ini dan esok di Litar Lumba Antarabangsa Sepang (SIC), wartawan Utusan Malaysia, ANUAR NORICK SABARUDDIN menemu bual Pengurus Promosi SAM, RON HOGG, baru-baru ini.

UTUSAN: Boleh ceritakan sejarah penglibatan SAM dalam kejohanan ini?

RON: Penubuhan SAM diasaskan oleh ayah saya pada 1977 sebagai sebuah syarikat perlindungan insurans am.

Minat mendalam ayah dalam sukan permotoran selain menjadi pelumba kereta rali, beliau kemudian beransur-ansur beralih menganjurkan Kejuaraan Cub Prix Malaysia pada 1994 bersama penaja, Philip Morris, iaitu pengedar rokok Marlboro.

Memasuki tahun ke-28 penganjuran, bagaimana perkembangannya?

Dahulu cuma lima pusingan dan sudah tentulah sangat berbeza dengan keadaan dan situasi teknikalnya berbanding pada masa kini.

Ketika itu, ada banyak perlumbaan kapcai lain, namun kebanyakannya dianjurkan oleh jenama-jenama popular motosikal yang lebih kepada kempen pemasaran.

Ketika itu lebih banyak one make race atau perlumbaan satu jenama atau model sahaja. Hanya SAM menganjurkan perlumbaan peringkat nasional.

Apa tujuan utama penganjuran?

Slogan kami, Melahirkan Wira Malaysia Masa Hadapan. Inilah tema kami sejak 1994 hingga hari ini.

Berakhirnya zaman penajaan syarikat-syarikat rokok, bagaimana cabaran SAM untuk meneruskan penganjuran?

Sebenarnya kami tidak berasa sebarang kesukaran pun untuk mencari penajaan. Ini kerana kami berada dalam kelompok yang banyak terlibat dalam industri permotoran seperti pembekal, pembuat dan pengedar motosikal tempatan serta syarikat-syarikat minyak pelincir, petroleum, alat ganti dan aksesori motosikal yang turut sama sebagai rakan kongsi penganjuran.

Berapakah ramai pelumba tempatan yang bermula dengan Kejuaraan Cub Prix Malaysia berjaya beraksi di MotoGP?

Tidak kurang 10 pelumba dihasilkan daripada kejohanan ini berjaya bersaing di peringkat dunia. Antaranya Shahrul Yuzy, Amirul Hafiq, Azlan Shah, Hafizh Syahrin, Khairul Idham Pawi, Adam Norodin, Kasma Daniel, Zaquan, Syarifuddin Azman dan Zulfahmi.

Melihat pencapaian memberangsangkan ini, ada perancangan SAM mempunyai pasukan lumba antarabangsa sendiri?

Tidak. Ini adalah ketetapan kami dari hari pertama menjadi penganjur kejohanan. Kami lebih suka memfokuskan diri terhadap pembangunan industri perlumbaan motosikal tempatan.

Difahamkan SAM juga menganjurkan perlumbaan motosikal peringkat Asia. Sudah tentu penganjuran berskala besar dan lokasi di luar negara melibatkan kos jauh lebih tinggi selain lebih mencabar. Bagaimana SAM menghadapinya?

Secara peribadi, penganjuran perlumbaan peringkat Asia ini memberikan kami lebih kepuasan. Kami akui, ketika awal penganjuran, kami berasakan mungkin perlumbaan peringkat ini agak terlalu besar. Namun, kami mampu bertahan.

Kini banyak negara lain menjadikan perlumbaan Asia ini sebagai platform untuk menyediakan pelumba-pelumba mereka ke peringkat dunia.

Begitu juga dengan pembuat, pembekal dan pengedar jenama-jenama motosikal di Asia melihat kepentingan untuk turut serta menyokong dan melahirkan pasukan-pasukan lumba dari negara mereka untuk bertanding dalam kejohanan yang kami anjurkan ini.

Merebut gelaran juara mutlak Asia nampaknya menjadi satu kepentingan bagi kemasyhuran jenama-jenama mereka.

Penglibatan syarikat-syarikat tempatan sebagai penaja sukan lumba motosikal nampaknya semakin berkurangan. Komen?

Setiap syarikat selalunya mempunyai matlamat jangka pendek dan jangka panjang. Kebanyakan daripada mereka yang pernah bersama-sama kami mempunyai tempoh masa penganjuran antara tiga hingga lima tahun.

Justeru, kadang-kadang penjenamaan mereka seperti ‘hilang’ setelah beberapa musim perlumbaan.

Namun, syarikat-syarikat seperti RCB, iaitu satu jenama 100 peratus milik tempatan yang sudah terlibat dalam penajaan di peringkat MotoGP, masih terus bersama kami sehingga kini.

Begitu juga Petronas yang turut sama ‘bersekongkol’ bersama kami untuk 20 tahun bagi melahirkan wira-wira Malaysia masa hadapan.

Apa cabaran dalam penganjuran perlumbaan pasca Covid-19?

Kami harus menganjurkan perlumbaan-perlumbaan untuk musim ini tapi mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan dan Kementerian Dalam Negeri.

Contohnya, mesti diadakan di litar perlumbaan kekal, tiada lagi litar-litar sementara yang diubah suai dalam kawasan bandar atau tapak industri.

Walaupun bilangan litar yang ada di seluruh negara mencukupi untuk penganjuran satu musim, kawasan promosi sedia ada agak terhad. Kami masih lagi mencari litar-litar lain yang sesuai untuk penganjuran perlumbaan musim ini.

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.