SAYA ditanya hujung minggu lalu, apakah akan muncul DAP baharu 2.0 selepas ini ekoran pengunduran pengasasnya, Lim Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng sebagai Setiausaha Agung parti?
Saya jawab, “tidak mustahil.” Muka-muka pemimpin baharu yang naik memberi gambaran ia boleh berlaku.
Dalam komen awalnya mengenai pemilihan Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook sebagai Setiausaha Agung baharu DAP (menggantikan Guan Eng) bagi penggal 2022-2025, media tempatan menggelarnya ‘lembaran baharu kepada parti roket itu.’
Sebagai Setiausaha Agung, Anthony kini memegang kuasa menetapkan hala tuju dan masa depan parti. Jawatan Setiausaha Agung DAP adalah sama seperti seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) dalam sebuah organisasi, manakala Pengerusi DAP seumpama pengerusi lembaga pengarah sahaja. Walaupun seorang Setiausaha Agung parti tidak punyai kuasa mutlak, dia memiliki kuasa eksekutif mengenai semua isu dasar.
Anthony merupakan Setiausaha Agung DAP yang keenam selepas pendahulunya, Devan Nair, Goh Hock Guan, Kit Siang, Kerk Kim Hock dan Guan Eng (yang memegang jawatan itu selama lapan tahun mulai 2004 hingga tahun ini). Di bawah peraturan baharu parti, seorang Setiausaha Agung tidak lagi boleh menyandang jawatannya melebihi tiga penggal.
CABARAN UNTUK ANTHONY LOKE
Antara cabaran besar bagi Anthony adalah menyusun strategi untuk kembali ke Putrajaya. Bagi mencapai matlamat keramat itu, tidak ada jalan lain kecuali DAP mesti bergabung dalam satu ikatan yang kukuh untuk melawan seteru lamanya, Barisan Nasional (BN) yang kini telah menunjukkan prestasi cemerlangnya di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.
Soalnya, apakah beliau punyai strategi membina jambatan baharu yang kukuh dengan pemimpin-pemimpin parti pembangkang lain seperti PKR, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Parti Amanah Negara (Amanah) dan sebagainya?
Cabaran kedua Anthony lebih rumit lagi, iaitu membina persepsi baharu bahawa DAP bukan lagi sebuah parti Cina, bahkan parti politik pelbagai kaum yang dapat diterima oleh semua lapisan masyarakat terutama orang Melayu. Tugas membina persepsi baharu ini mesti dilaksanakan sebaik dan secepat mungkin kerana selama ini, imej parti yang menonjol adalah ‘imej kecinaannya’ – satu faktor yang menghalang parti itu menembusi kawasan-kawasan majoriti pengundi Melayu.
Cabaran ketiga baginya adalah berdiri sendiri, tidak lagi di bawah pengaruh dan bayang-bayang dinasti keluarga Lim. Anthony mesti mempamerkan satu model kepimpinan baharu yang bukan hanya bertenaga tetapi tidak lagi disaluti oleh kepompong lama imej parti itu.
Anthony perlu terima hakikat bahawa walaupun Kit Siang sudah mengundurkan dirinya dan Guan Eng tidak lagi menjadi Setiausaha Agung, kedua-duanya mastih ada peranan dalam Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) parti. Penganalisis politik dan geostrategis, Dr. Azmi Hassan berpendapat, legasi yang ditinggalkan oleh keluarga Lim masih kuat dan terasa.
LEBIH MESRA MELAYU
Mengikut Azmi lagi, kelebihan yang ada pada Anthony adalah beliau dilihat lebih mesra Melayu dan fasih berbahasa Melayu berbanding pemimpin-pemimpin sebelumnya. Pastinya ini boleh membantu beliau menarik lebih ramai lagi sokongan pengundi Melayu kepada partinya pada masa depan.
Selain itu, kata Azmi lagi, wajah-wajah pemimpin Melayu muda seperti Young Syefura Othman dan Marina Ibrahim mungkin dapat membantu Anthony memikat lebih ramai pengundi Melayu terutama di kawasan luar bandar.
“Dalam PRN Johor baru-baru ini, Marina menang paling banyak undi bukan sahaja bagi DAP bahkan semua parti yang bertanding,” kata Azmi lagi.
DAP yang ditubuhkan pada 18 Mac 1966, terkenal dengan slogannya, Malaysian Malaysia. Parti ini memperjuangkan Malaysia sebagai negara yang bebas, berunsur sosialisme demokratik, berdasarkan prinsip-prinsip hak asasi manusia, kesamarataan, keadilan sosial dan ekonomi dan berasaskan institusi demokrasi Parlimen.
Bentuk sosialisme yang menjadi pilihan parti itu selama ini bersifat antikomunis dan antikapitalis, tidak memihak kepada mana-mana pengaruh kuasa besar dunia, Timur atau Barat. Kejayaan DAP bergabung dalam Pakatan Harapan untuk memenangai Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018 membuktikan pakatan sama boleh dijalin lagi pada masa depan.
TIDAK PERLU ROMBAK IMEJ PARTI
Bagi Syahredzan Johan, yang pernah menjadi setiausaha politik kepada Kit Siang, tidak perlu bagi imej parti Cina itu dirombak semula.
“Bagi saya, parti ini berada di laluan yang betul untuk menjadi parti yang diterima oleh rakyat Malaysia, terutama orang Melayu,” kata peguam itu.
“Ini terutama dalam kalangan generasi muda. Lebih ramai golongan muda Melayu yang menyertai parti ini selepas melihat DAP sebagai parti yang menghargai pemimpin muda, yang jelas dalam bilangan wakil rakyat muda dalam kalangan kami,” tambahnya lagi.
Naib Pengerusi DAP Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berpendapat, rekod prestasi DAP di Pulau Pinang dan negeri-negeri lain seperti Selangor dan Negeri Sembilan telah membantu imejnya.
“Ini benar terutamanya di Pulau Pinang, di mana kerajaan pimpinan DAP tidak mengakibatkan sebarang penindasan terhadap orang Melayu atau mana-mana masyarakat,” katanya.
Bagi Syerleena Abdul Rashid (wakil rakyat Dewan Undangan Negeri Seri Delima di Pulau Pinang), adalah sesuatu yang ‘malang’ bahawa landskap politik di Malaysia masih berkisar tentang politik identiti.
Katanya, “politik berasaskan kaum menghalang kemajuan dan hanya boleh memudaratkan negara kita. DAP sentiasa menjadi parti yang menekankan kepelbagaian budaya dan menyediakan peluang sama rata kepada rakyat tanpa mengira jantina, bangsa dan agama.” – UTUSAN
DATUK Salleh Buang pernah bertugas sebagai Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Beliau kini konsultan bebas sepenuh masa, pengarang dan kolumnis akhbar.










