MUKADIMAH
PERNAH menjadi menteri Persekutuan termuda pada usia 25 tahun memberikan kelebihan kepada SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN agar ‘jangan dipandang enteng’ biarpun parti pimpinannya baharu setahun jagung.
Kelebihan yang ada pada anak muda yang menubuhkan parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) ini adalah kebolehannya menjawab setiap soalan yang dilontar dengan lancar.
Tanyalah apa sahaja, beliau tidak teragak-agak mengulasnya. Tepat atau tidak jawapannya memenuhi kehendak orang yang tanya, soal kedua.
Kelmarin, wartawan Utusan Malaysia, AHMAD FADHLULLAH ADNAN bersembang dengan Syed Saddiq menerusi telefon. Beliau yang baru selesai sesi Parlimen sedang menuju ke Johor untuk memenuhi program kempen pilihan raya negeri (PRN) yang berbaki kurang 48 jam.
Berikut respons Syed Saddiq.
MASUK WARUNG KAMPUNG
Setakat ini, alhamdulillah kempen MUDA dalam PRN ini berjalan baik.
Kami gunakan dua platform, sama ada secara hibrid atau dalam talian untuk mendekati pengundi Bangsa Johor. Kempen sama ada secara dalam talian atau fizikal agak rancak dan disambut ramai. Kita juga masuk ke warung di kampung-kampung berjumpa pengundi.
TEKNOKRAT, PROFESIONAL
Penerimaan pengundi kepada MUDA sangat baik kerana ramai pengundi yang kita jumpa beritahu mereka ingin berikan peluang kepada pemimpin muda bertanding kali ini. Khususnya apabila mereka lihat calon MUDA terdiri daripada teknokrat dan profesional yang ada pengalaman sangat baik untuk berkhidmat di kawasan mereka.
Contohnya, Lim Wei Jiet yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang adalah seorang peguam. Amira Aisya Abdul Aziz pula sebelum ini berkhidmat untuk reformasi pendidikan. Juga calon-calon lain yang mereka ini sudah lama berkhidmat dengan cara masing-masing (di kawasan yang ditandingi). Banyak pengundi yang kita jumpa juga mahu memberi peluang kepada MUDA. Mahu lihat muka-muka baharu dalam DUN dan Parlimen nanti.
MUDA TAK BOLEH MENANG KERUSI?
Itu terpulang kepada rakyat. Kita perlu lakukan yang terbaik dan kita hormat apa sahaja keputusan rakyat. (Perlu diingat) MUDA diadakan bukan (hanya untuk mengambil tempat) dalam PRN atau pilihan raya umum (PRU). Tetapi MUDA ditubuhkan untuk jangka masa panjang bagi memberi fokus kepada politik khidmat dan politik dasar.
Kami faham MUDA underdog yang bukan parti berduit, ada jentera berbayar. Tetapi kami ikhlas ingin membawa perubahan besar kepada landskap politik negara. Ini kita akui mengambil masa jangka panjang.
BOLEH SAPU TUJUH KERUSI?
Kita lakukan yang terbaik di semua tujuh kerusi yang kita ambil bahagian. Semua kerusi kita beri perhatian sepenuhnya. Saya juga maklumkan (pada calon-calon yang bertanding), menang atau kalah, kita hormati keputusan rakyat. Dan terus bekerja seperti setiap hari adanya pilihan raya.
Kalau lihat saya turun, seperti hari itu hari pilihan raya. Tak pernah gagal turun (memberi khidmat) di Parlimen Muar dan akan diganti jika gagal (turun). Saya pamerkan apa sumbangan, projek baharu dibina, hab anak muda dan semuanya saya buat secara terbuka supaya dapat dijadikan rekod prestasi.
Jadi, menang atau kalah itu adat, kualiti perlu diutamakan kerana kita di sini (jadi parti politik) untuk jangka panjang kepada politik negara.
KEYAKINAN TUJUH KERUSI
Bagi saya, kita kena fokus tujuh kerusi itu sebab itu sahaja kerusi DUN yang MUDA bertanding berbanding parti lain lebih 30 kerusi, malah kesemua 56 kerusi. Bagi MUDA, kita akan berikan perhatian penuh kepada tujuh kerusi.
PERLU JADI SIGNAL
Saya berharap anak Johor akan keluar mengundi beramai-ramai pada 12 Mac ini (esok). Kerana pilihan kita akan menentukan nasib negeri lima tahun akan datang. Pada masa sama, perlu bersama-sama menghentikan politik keangkuhan dan politik domino yang tidak ada penghabisan.
Kita tahu kalau UMNO dan Barisan Nasional (BN) menang besar, mereka akan terus kepada (mengadakan) PRU15 yang jelas satu pembaziran kepada rakyat dan negara.
Kita perlu put to end keangkuhan politik domino yang mengheret rakyat (keluar mengundi) dalam kancah wabak Covid-19. Saya harap PRN ini beri signal harapan daripada rakyat untuk mahukan politik bermaruah dan bukannya menyelamatkan ‘tengkuk’ masing-masing. – UTUSAN