WASHINGTON: Lebih sejuta pendatang tanpa dokumen meninggalkan Amerika Syarikat (AS) secara sukarela sejak Presiden Donald Trump memegang jawatan.
Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, Kristi Noem berkata, ratusan ribu pendatang asing tanpa izin yang mempunyai rekod jenayah turut ditahan sejak Januari, malah tiada seorang pendatang tanpa dokumen berjaya memasuki negara sepanjang tiga bulan kebelakangan ini.
“Ini adalah kali pertama dalam sejarah negara kita kita menyaksikan tahap keselamatan sebegini di sempadan negara.
“Keutamaan utama kami adalah dua perkara: mengukuhkan keselamatan sempadan dan menahan penjenayah berbahaya,” katanya pada sidang akhbar di Chicago, semalam.
Beliau berkata, pihaknya memberi tumpuan mengusir penjenayah dalam kalangan pendatang tanpa dokumen, termasuk pembunuh, perogol, pengedar dadah dan penyeludup manusia.
Noem berkata, ribuan pendatang mengusir diri sendiri menggunakan aplikasi dibangunkan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, manakala ratusan ribu lagi pulang ke negara asal tanpa melalui program kerajaan.
“Kami percaya lebih sejuta orang pulang sendiri sejak pentadbiran ini bermula,” katanya.
Trump sebelum ini berikrar untuk mengusir jutaan pendatang tanpa dokumen dan memperluas peranan agensi utama yang bertanggungjawab dalam operasi itu, Jabatan Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE).
“Presiden Trump memberi kami peruntukan bagi mengambil 10,000 pegawai baharu ICE. Iklan kekosongan itu baru seminggu dibuka, tetapi kami sudah menerima lebih 80,000 permohonan,” kata Noem.
Dalam masa sama, beliau mengecam pegawai di Illinois dan negeri-negeri yang dikuasai parti Demokrat kerana didakwa menghalang usaha kerajaan persekutuan mengusir migran tanpa dokumen.- AGENSI










