Ambil iktibar kemelut politik luar negara

Ambil iktibar kemelut politik luar negara

VENEZUELA telah dipulau oleh masyarakat antarabangsa akibat dakwaan penipuan pilihan raya presiden yang menyaksikan Presiden Nicolas Moduro mengekalkan kuasa untuk tempoh enam tahun lagi. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KITA masih lagi bertuah kerana di sebalik ketidaktentuan politik dan kemurungan ekonomi dunia, Malaysia masih mampu mengharunginya dan tidak terjerumus ke kancah politik lebih besar. Ketidakstabilan politik akibat kegagalan pelaksanaan sistem demokrasi, kerencatan ekonomi dan ditambah pula ancaman berterusan pandemik Covid-19 menyebabkan banyak negara membangun terus berhadapan dengan ketidaktentuan.

Pakistan, Iraq, Venezuela, Mexico dan Libya adalah antara negara yang berhadapan pelbagai masalah dalaman yang diburukkan pula oleh ketidaktentuan politik global. Venezuela yang kaya dengan minyak telah dipulau oleh masyarakat antarabangsa akibat dakwaan penipuan pilihan raya presiden yang menyaksikan Presiden Nicolas Moduro mengekalkan kuasanya untuk tempoh enam tahun lagi. Amerika Syarikat dan sekutunya memulakan sekatan ekonomi menyebabkan rakyat Venezuela lari ke negara jiran sebagai pelarian ekonomi.

Kestabilan politik membenarkan kerajaan berfungsi dengan baik. Ini sekali gus menyumbang kepada kemakmuran masyarakat dan keselamatan negara. Mesej ini telah disampaikan dengan jelas, secara langsung dan tidak langsung oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sewaktu berucap menggulung perbahasan selaku Naib Presiden di Perhimpunan Agung UMNO, Sabtu lalu.

Walaupun berucap dalam platform parti, atas kapasiti beliau sebagai Perdana Menteri, adalah jelas ia mempunyai implikasi dasar kepada kerajaan. Sudah lama UMNO mengimpikan perkara ini, iaitu dapat menguasai kerajaan. Oleh itu, bila Ismail Sabri mengumumkan beberapa perkara dasar yang penting di dalam Perhimpunan Agung UMNO maka ucapan beliau mendapat sambutan hebat daripada perwakilan.

Antara perkara-perkara dasar penting yang diumumkan oleh beliau ialah keputusan kerajaan menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,200 ke RM1,500 bermula 1 Mei, memperkasakan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan memberikan DBP kuasa penguatkuasaan untuk memartabatkan bahasa Melayu serta membela wanita teraniaya dengan membekukan akaun bank bekas suami yang tidak membayar nafkah mereka.

Penegasan Ismail Sabri beberapa kali bahawa beliau adalah orang parti yang membuat keputusan selaku ketua kerajaan setelah berunding dengan parti atau mengikut perjuangan parti pastilah memberikan kelegaan dan ketenangan kepada ahli-ahli UMNO. Pengeluaran dana khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan banyak lagi keputusan lain kerajaan dikaitkan dengan perjuangan UMNO.

Boleh dikatakan bukannya mudah untuk mentadbir negara dalam perikatan politik yang amat rapuh. Pada bila-bila masa kerajaan perikatan politik ini akan tumbang sekiranya salah satu parti yang bergabung menarik diri. Ini telah banyak berlaku di negara lain seperti Jepun dan Perancis dahulu yang menyebabkan pilihan raya terpaksa dilakukan dengan jarak yang dekat.

Di samping itu, pihak pembangkang pula tidak seharusnya menggunakan ‘kesusahan’ yang melanda negara masa kini untuk terus menggunakan ugutan-ugutan politik kepada kerajaan bagi kepentingan peribadi.

SUHU PANAS

Kesepakatan antara kerajaan dan pembangkang untuk memperkukuhkan fungsi Parlimen sebagai sebuah institusi penyemak dan pengimbang dalam tadbir urus negara adalah strategi yang diambil kedua-dua belah pihak untuk mengurangkan suhu panas politik negara.

Impak daripada perjanjian ini boleh dilihat dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, baru-baru ini. Tidak banyak kempen kritikan terhadap Perdana Menteri kecuali beberapa isu yang diulang-ulang seperti kuasa rakyat, pembangunan dan rasuah.

Politik Malaysia era moden harus mengambil iktibar daripada kemelut politik negara luar. Kerajaan yang berkhidmat untuk rakyat harus lebih telus. Oleh itu, kita mengalu-alukan janji kerajaan untuk meneruskan siasatan terhadap dakwaan rasuah dan salah laku para pemimpin sebelum ini tanpa mengira kawan atau lawan, sepertimana didakwa dalam buku Tan Sri Tommy Thomas (bekas Peguam Negara). Begitu juga siasatan terhadap kematian arwah Muhammad Adib Mohd. Kassim (anggota bomba) dan pengwujudan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji yang akan diteruskan sepertimana dijanjikan oleh Perdana Menteri.

Kepimpinan pentadbiran negara masa kini mesti memastikan kerajaan yang ada sekarang stabil bagi memastikan agenda pembangunan negara dapat terus dilaksanakan.

Pembangunan ekonomi adalah antara kunci memastikan kestabilan dapat dipelihara. Dalam konteks ini, Bank Negara Malaysia (BNM) meramalkan pertumbuhan ekonomi Malaysia akan berkembang sehingga 6.5 peratus pada tahun ini dan tahun hadapan.

Apa yang diucapkan oleh Perdana Menteri merupakan peringatan bahawa permuafakatan politik dan kemakmuran ekonomi adalah kunci kepada kestabilan dan keselamatan negara. Beliau telah ‘mensekuritisasikan’ beberapa faktor yang boleh memberi ancaman kepada keselamatan negara.

Pertama, penyatupaduan masyarakat adalah penting. Mempolitikkan isu agama dan bangsa boleh menyebabkan konflik besar melanda.

Kedua, ekonomi Malaysia masih rapuh dan bergantung kepada kestabilan dunia. Kita adalah negara pedagang yang bergantung kepada permintaan dunia luar. Oleh itu, walaupun pandemik masih belum reda, kita perlu membuka sempadan negara bagi memastikan ekonomi negara berkembang dan sektor-sektor perkhidmatan seperti pelancongan berupaya mewujudkan semula peluang-peluang pekerjaan kepada rakyat.

Dukungan rakyat adalah penting agar agenda politik, sosial dan ekonomi yang digariskan oleh kepimpinan tertinggi negara dapat dicapai. Mempolitik dan mensensasikan isu terutamanya dalam media sosial tanpa menawarkan penyelesaian konkrit harus dihentikan agar kemakmuran dapat dicapai demi kepentingan semua. – UTUSAN

DR. Kamarulnizam Abdullah ialah Profesor di Institut Kajian Malaysia & Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN