Retrospektif 50 tahun The Godfather

Retrospektif 50 tahun The Godfather

FRANCIS Ford Coppola merupakan pengarah filem The Godfather yang diterbitkan pada 1972. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

FILEM The Godfather (1972) arahan Francis Ford Coppola menjadi pantulan gagasan American dream yang secara idealnya memberikan peluang sama rata kepada rakyat asal dan pendatang menikmati hidup yang sempurna di Amerika. Malah American dream juga yang terus ‘menghidupkan’ The Godfather selepas setengah abad pembikinannya.

American dream terlalu ideal dan kenyataan adalah di sebaliknya. Keadilan sosial yang dijanjikan kepada pendatang dimungkiri dan The Godfather mengangkat dan membongkar sisi gelapnya.

Watak utama Vito Corleone (Marlon Brando), seorang mafia yang berpengaruh adalah hasil manipulasi American dream. Vito Corleone keturunan Itali-Amerika menikmati kehidupan ultra mewah dengan kerjaya mafia dan Coppola membuktikan American dream sudah dipergunakan secara tidak bermoral.

Vito Corleone mengecapi kehidupan mewah dengan kegiatan menyalahi undang-undang dan moral. Dengan pengaruh yang ada, dia membunuh semua yang dianggap penghalang daripada terus berkuasa. Malah secara tidak langsung The Godfahter mengkritik kapitalisme Amerika yang terpesona dengan nilai ringgit bukan keadilan yang dijanjikan dalam American dream.

Filem ini dibuka dengan dialog berbunyi, “I believe in America.” Dialog itu disampaikan kepada penonton dalam keadaan layar gelap yang secara semiotiknya membawa maksud sisi gelap American dream. Kemudian kamera bergerak perlahan-lahan hingga kelihatan lelaki keturunan Itali-Amerika, Amerigo Bonasera.

Adegan awal ini adalah kunci pada adegan yang seterusnya dalam The Godfather. Bonasera juga seorang pendatang yang berjaya kerana American dream. Dia pengusaha perkhidmatan pengurusan pengebumian yang berpengaruh dan perniagaannya berskala besar. Tetapi makna American dream antara mereka jauh berbeza – Vito Corleone dengan kelicikan dunia mafia dan jenayah, sementara Bonasera dengan cara sah di sisi undang-undang.

Bagaimanapun, Bonesera mulai mempersoalkan American dream apabila anak perempuannya yang dibesarkan di Amerika dibunuh oleh teman lelaki daripada keluarga berpengaruh. Kerana Bonasera keturunan Itali-Amerika dan pendatang, keadilan undang-undang dinafikan. Pembunuh anaknya dibebaskan. Kerana itu dia datang menemui Vito Corleone untuk menuntut bela.

Coppola kelihatan sangat kritikal pada Amerika, boleh jadi kerana asal usulnya Itali-Amerika yang dimangsai diskriminasi secara sosial dan budaya. Di sebalik kehidupan dunia mafia, Amerika bagi Coppola penuh sesak dengan korupsi moral dan sosial. The Godfather cuba menunjukkan manusia berebut dalam kehidupan yang korup itu.

Tayangan pertama filem The Godfather pada 15 Mac 1972 menanda kelahiran sebuah mercu tanda penting dalam perfileman Amerika. The Godfather antara filem wajib tonton oleh sarjana dan pengkaji filem kerana melampaui paparan kehidupan mafia di Amerika pada 1945.

Ketika The Godfather dihasilkan, genre filem gengster bukanlah suatu yang baharu. Malah sudah menjadi genre filem yang popular dan menarik perhatian penonton. Ini kerana dunia gengster atau mafia sudah menjadi sebahagian kehidupan di Amerika.

TANDA ARAS

Bagaimanapun, keberadaan The Godfather telah memacak tanda aras baharu filem gengster. Ia sangat berbeza dengan yang lain. Gengster di tangan Coppola menjadi jenama baharu – ada nilai manusia dan pertentangan dengan realiti kehidupan yang membungkus. Kasih sayang, cinta dan ambil peduli diapungkan dalam filem yang bersalut ganas dan kejam ini.

Genre gengster bermula awal dekad 1930-an. Little Ceaser (1931) dikatakan filem gengster pertama dalam dunia perfileman Amerika. Bermula dari situ banyak filem yang menjejaki Little Ceaser dan mengambil peluang daripada keterpesonaan penonton terhadap genre baharu itu.

Antara yang sangat menonjol ialah Scarface (1932) arahan Howard Hawkes dan White Heat (1949) arahan Raoul Walsh.

Tetapi The Godfather sangat berbeza. Kegiatan mafia diangkat sebagai perniagaan keluarga yang kemudiannya diperturunkan kepada generasi selepasnya.

Mafia dalam pengertian The Godfather adalah organisasi jenayah yang sistematik dan sangat terancang, menjadi perniagaan keluarga yang diturunkan daripada generasi kepada generasi. Coppola memperlihatkan kerakusan budaya Amerika dalam mengukur dan mengenal pasti keluhuran amalan dan sistem sosialnya.

The Godfather juga mengingatkan kita tentang sebuah karya besar yang teradun dengan kepedulian seni yang tinggi. Kepayahan yang merintangi pembikinan filem ini bukan kerana mengadaptasi novel berpengaruh oleh Mario Fuzo. Tetapi kepayahan yang ditanggap oleh pengarah untuk menghasilkan karya yang memantul realiti sosial Amerika.

The Godfahter terus hidup dan relevan dengan semua garis perubahan dalam sosiopolitik dan budaya yang berlapis-lapis. Setengah abad tidak pernah menjadikan The Godfather sebuah ‘filem lama’ malah sentiasa terapung sisinya yang baharu dan menuntut pengkajian yang mendalam.

Ketika mengarah The Godfather, Coppola baharu berusia 31 tahun dan merupakan the angry young man dalam perfileman Amerika. Bagaimanapun, namanya agak tersorok dan tercorot kerana pengkaryaan yang mendatar. Tidak ada yang mengejutkan atau luar biasa pada zamannya. Maka tidak hairanlah kalau Coppola bukan pilihan pertama untuk mengarah The Godfahter yang mulanya berlatar dekad 1970-an dengan sulam seli budaya hippies.

Robert Evans yang bertanggungjawab mengambil Coppola mengarah The Godfather dalam buku memoirnya, The Kid Stay In The Picture menulis: “Saya memilih pengarah Itali-Amerika supaya penonton boleh menghidu aroma spageti. Tetapi Paramount Studio menawarkan kepada banyak pengarah lain yang saya tidak begitu gemar kerja mereka.”

Masa yang sama Coppola sendiri berdepan dengan halangan, antaranya untuk menawarkan watak utama Vito Corleone kepada pelakon Marlon Brando. Coppola tidak nampak pelakon lain dan gandingannya sebagai Micheal Corleone ialah Al Pacino. Maka dia bertegas untuk memastikan The Godfather digerak dan dihidupkan oleh kedua-dua pelakon itu.

The Godfather pernah memenangi Oscar Filem Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik (Marlon Brando) dan Lakon Layar Adaptasi terbaik (Francis Ford Coppola) pada Anugerah Academy ke-45 pada 1973. Bagaimanapun, Brando menolak menerima trofi Oscar. Dia hanya menghantar wakil naik ke pentas dan membawa kenyataan 15 halamannya.

Brando memprotes layanan buruk dunia perfileman Amerika terhadap pelakon yang datang dari luar Amerika. Kini selepas setengah abad, persembahan luar biasa Brando, Al Pacino dan Coppola terus diperkatakan. Karya yang baik ternyata tidak pernah memusuhi zaman malah sentiasa selari dengan semua zaman. – UTUSAN

PENULIS ialah Editor Kuseman.com.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×