“PIAGAM yang telah diterima pakai pula, perlu dipastikan memberi kesan dan memenuhi matlamat penggubalannya, terus dihormati dan terus diyakini untuk terus didukung sepanjang masa.” – Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Sebagai rakyat yang mengangkat ikrar Rukun Negara, antara pegangan falsafah yang perlu kita yakini adalah Keluhuran Perlembagaan. Keyakinan ini bererti kita harus mengangkat peruntukan Perlembagaan Persekutuan sebagai sesuatu yang luhur dan agung di tempatnya tersendiri dalam memelihara kedaulatan negara. Ini termasuklah meyakini setiap peruntukan dalam perlembagaan itu mengikat kerangka perundangan, ekonomi, malah sosial.
Antara pasak utama dalam Perlembagaan Persekutuan yang membentuk jati diri Malaysia adalah kedudukan istimewa Islam sebagai Agama Persekutuan selaras Perkara 3.
Keistimewaan ini dipanjangkan di peringkat negeri. Undang-Undang Tubuh negeri mengagungkan Islam sebagai agama rasmi kecuali Sarawak.
Kelangsungan keistimewaan Islam sebagai pasak negara juga diikat kemas melalui ketinggian Perlembagaan Persekutuan:
-Perkara 3(2), 3(3) dan 3(5) yang mempertanggungjawabkan Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja negeri sebagai Ketua Agama Islam.
-Perkara 11(4) yang membenarkan penggubalan undang-undang bagi maksud mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama dalam kalangan orang yang menganuti Islam.
-Perkara 12(2) yang memungkinkan penubuhan institusi-institusi Islam bagi maksud pendidikan ajaran Islam.
-Perkara 37 dan Bahagian III, Jadual Keempat yang meletakkan tanggungjawab memelihara Islam dan berdiri tetap di atas pemerintahan yang adil dan aman sebagai sumpah diikrarkan Yang di-Pertuan Agong semasa pertabalan.
-Perkara 38(2)(b) yang meletakkan perbuatan, amalan atau upacara agama sebagai fungsi Majlis Raja-Raja.
-Perkara 97(3) yang membenarkan pengasingan pendapatan zakat, fitrah, baitulmal atau hasil agama Islam ke dalam akaun kumpulan wang yang asing daripada pendapatan lain.
Tambahan pula, Perlembagaan Persekutuan turut menekankan kerangka perundangan syariah yang berdiri bebas daripada sistem perundangan sivil. Ini jelas melalui peruntukan berikut:
-Perkara 5(4) menyebut dalam hal penangkapan bagi sesuatu kesalahan yang boleh dibicarakan oleh mahkamah syariah, hakim mahkamah syariah akan memainkan peranan sebagaimana peranan majistret di bawah perundangan sivil;
-Perkara 76(6) yang mengecualikan kuasa Parlimen daripada menggubal undang-undang berkaitan hukum syarak sebelum kerajaan negeri dirundingi.
-Perkara 121(1A) yang mengasingkan bidang kuasa mahkamah sivil daripada bidang kuasa mahkamah syariah.
-Perkara 145(3) yang mengecualikan hak Peguam Negara daripada pendakwaan di mahkamah syariah.
-Perkara 150(6A) yang mengehadkan kuasa Parlimen untuk menggubal apa-apa undang semasa tempoh Proklamasi Darurat hanya kepada peruntukan mengenai perundangan sivil dan bukannya hukum syarak.
PUNDAK
Meskipun negara ini tidak pernah mentakrifkan identiti dirinya sebagai sebuah negara demokrasi, namun secara halus sistem demokrasi berparlimen di bawah pentadbiran raja berperlembagaan diterima pakai sejak kemerdekaan negara.
Mengambil elemen demokrasi berparlimen dalam penentuan teraju negara bererti setiap rakyat mempunyai peluang untuk terlibat dalam mentadbir negara ini. Namun, jika pun pentadbiran negara diwakili oleh seorang yang tidak beragama Islam, keluhuran Perlembagaan Persekutuan yang diletakkan sebagai undang-undang utama persekutuan seperti di bawah Perkara 4(1) mewajibkan setiap perlindungan dan penghormatan yang diberikan kepada keistimewaan Islam diperakui dan dipelihara.
Ini bermaksud setiap wakil rakyat yang mewakili suara penyertaan rakyat haruslah meletakkan tanggungjawab memelihara Islam sebagai amanah di pundak masing-masing. Ini kerana kegagalan memelihara kedudukan Islam seperti yang dimaktubkan dalam peruntukan Perlembagaan Persekutuan bukan sahaja mengakibatkan kecanggungan yang ketara malah lebih besar lagi sebenarnya merupakan penghinaan dan pengkhianatan kepada negara yang boleh dianggap sebagai perbuatan menderhaka.
Titah Timbalan Yang di-Pertuan Agong yang juga Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah perlu diperingati semua rakyat untuk meyakini dan mendukung Keluhuran Perlembagaan dan setiap peruntukan yang tersemat di dalamnya.
Kepincangan negara mutakhir ini dalam memelihara kemurniaan ajaran Islam adalah kerana kedangkalan rakyat dalam memahami pasak negara yang membentuk Malaysia sehinggakan ramai yang tidak segan melanggar asas jati diri sebagai warganegara.
PENULIS ialah pengamal undang-undang; Ketua Biro Undang-undang & Hak Asasi Pertubuhan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (Wafiq); Ahli Jawatankuasa Pusat Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (Macsa).










