Pengundi Cina penentu PRN Johor? - Utusan Malaysia

Pengundi Cina penentu PRN Johor?

RAMAI pengundi Cina mulai sedar bahawa apa yang penting untuk kemajuan dan kemakmuran negara adalah kestabilan politik. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMAI penganalisis memfokuskan kepada pengundi keseluruhan dengan anggapan pilihan pengundi adalah sama ada UMNO dalam Barisan Nasional (BN), Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Perikatan Nasional (PN) atau PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) dalam Pakatan Harapan (PH). Tetapi yang menarik ialah hanya sebahagian yang melihat kepada faktor pengundi bukan Melayu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, yang memberikan kelebihan kepada PH untuk menawan Johor yang juga kubu kuat UMNO adalah daya faktor pengundi Cina. Kelihatan dalam 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) sama ada dalam PRU14 atau terkini, tidak jauh berbeza peratusan pengundi Cina dalam PRN Johor kali ini.

Malahan terdapat satu kajian tidak rasmi menunjukkan 40 peratus pengundi Cina tidak keluar undi, pengundi Cina bakal mengundi BN (30%), diikuti pengundi Cina mengundi PH (15 peratus) dan pengundi Cina mengundi PN (5%). Hanya 10 peratus masih belum memberikan jawapan pada awal persepsi sebelum PRN Johor.

Apa pun, paling menarik adalah 13 DUN majoriti Melayu daripada keseluruhan 42 DUN majoriti Melayu menunjukkan pengundi Cina sekurang-kurangnya 30 peratus dalam DUN tersebut.

Ini dituruti pengundi India sekurang-kurangnya lima peratus daripada keseluruhan pengundi DUN majoriti Melayu di enam DUN iaitu Buluh Kasap, Bukit Pasir, Machap, Panti, Pasir Raja dan Larkin.

Situasi ini menunjukkan enam DUN di mana pengundi India sekurang-kurangnya lima peratus adalah sebahagian daripada 13 DUN pengundi Cina sekurang-kurangnya 30 peratus yang mana pengundi bukan Melayu mempunyai peranan besar dalam menentukan kemenangan parti Melayu yang bertanding. Andaian ini disebabkan pada masa kini undi Melayu telah berpecah kepada empat iaitu BN, PN, PH dan lain-lain dalam satu kelompok.

Disebabkan perpecahan undi Melayu turut menyebabkan parti berasaskan Melayu menjadi persoalan. Mahu tidak mahu, sokongan pengundi bukan Melayu amat penting terutama pengundi Cina. Ini termasuk DUN majoriti Cina melebihi 45 perarus iaitu sebanyak 12 DUN. Enam DUN daripada sebahagian 12 DUN majoriti Cina ini menunjukkan pengundi India melebihi 10 peratus iaitu Bukit Permai, Kota Iskandar, Permas, Tiram, Paloh dan Layang-layang. Maka pengundi India dan Cina mempunyai impak besar ke atas PRN Johor.

Kemenangan PH dalam PRU14 di Johor adalah disebabkan perubahan sokongan pengundi Cina dan India, iaitu hampir 80 peratus pengundi Cina dan hampir 70 peratus pengundi India menyokong PH. Ini menyebabkan PH berjaya menguasai DUN Johor bersama Bersatu.

OPOSISI

Apabila Bersatu berpecah daripada PH menyebabkan kerajaan negeri dikuasai PH tumbang. Kemenangan Bersatu dalam PRU14 kerana berjaya menguasai undi bukan Melayu terutama undi Cina. Ini mendorong kepada PH mampu menguasai 50 peratus DUN Johor disebabkan undi Melayu berpecah.

Pada masa kini, trend persepsi awal di Johor terutama sebahagian pengundi Cina tidak mahu keluar undi dan sebilangan kecil masih belum membuat keputusan. Ini bermakna tidak salah jika sebuah parti berjiwa Melayu dan Islam berjaya mendominasi undi bukan Melayu terutama undi Cina.

Dominasi ini amat penting untuk kestabilan dan kemakmuran bersama dalam Keluarga Malaysia. Agenda ini perlu difokuskan kepada pengundi Cina yang tidak mahu keluar undi dan yang masih belum membuat keputusan bagi menjamin penguasaan 50 peratus DUN Johor.

Persepsi awal pengundi Cina dalam PRN Johor ke atas PH, iaitu kurang berjaya mengurangkan ketegangan hubungan antara etnik sehingga menggugat ketidakstabilan negara sama ada dari segi ekonomi mahupun sosial. Malah setelah menjadi kerajaan masih berperanan sebagai oposisi yang akhirnya ekonomi negara mulai merosot tanpa ada sebarang perancangan strategik untuk membangunkan ekonomi negara dan kesannya pada hari ini.

Ini memberikan gambaran sebahagian pengundi Cina juga menunjukkan defisit kepercayaan kepada kepimpinan PH. Ini kerana PH merupakan sebahagian kerajaan yang ada hari ini disebabkan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik.

Penghakisan kepercayaan ini berlaku disebabkan PH kurang inovasi politik dalam simbiosis sebagai oposisi dalam kerajaan untuk memberi manfaat dalam situasi ekonomi hari ini.

Apa yang menarik adalah parti Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) telah diberikan kepercayaan bagi sebahagian generasi anak muda berbanding Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan PH. Situasi ini berlaku kerana anak-anak muda yang menyertainya percaya dengan perjuangan yang ingin melihat negara ini tidak menjadi sebuah negara konservatif Islam mahupun sebuah negara total sekular.

Sebahagian anak muda Melayu menganggap platform MUDA menjiwai golongan muda Melayu yang berpendidikan dan menjalani kehidupan moden Melayu Islam ala Barat. Kajian ini turut mendapati sebahagian pengundi anak-anak muda Cina turut menyokong anggapan persepsi ini.

Tidak menghairankan kenapa PN kurang diminati di Johor oleh anak-anak muda kerana terdapat watak yang masih ingin memegang kepada politik ibadah dan bukannya politik dakwah. Sebahagian pengundi Johor lebih terbuka dan menerima kehidupan moden Melayu Islam ala Barat yang menolak politik ibadah tersebut.

Mereka menginginkan kehidupan Islam kesederhanaan dan tidak terikat dengan kehidupan ortodoks Islam.

Ini menyebabkan kekalahan UMNO Johor dalam PRU14 bukan kerana rakyat Johor menolaknya. Tetapi disebabkan perpecahan dalam kalangan ahli UMNO Johor pada PRU14 dengan berlakunya perubahan sokongan undi bukan Melayu terutama undi Cina.

Kini segalanya berubah setelah sekian berlakunya pertukaran dua kali kerajaan di peringkat Pusat dalam masa singkat. Ramai pengundi Cina mulai sedar, apa yang penting adalah kestabilan politik. Ini berpunca daripada kekuatan komponen parti yang boleh bekerjasama dalam mencapai persetujuan bersama antara kepimpinan setiap etnik di negara ini.

DR. Iskandar Hasan Tan Abdullah ialah Pensyarah Kanan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×